[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 28/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari Bahagian 27/46)
Daripada ‘Ubadah bin as-Samit RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW melarang menjual emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, dan tamar dengan tamar kecuali dengan timbangan yang sama dan secara tunai, tangan ke tangan. Baginda memerintahkan kami agar menjual emas dengan perak, dan perak dengan emas, serta gandum dengan barli secara tunai, tangan ke tangan, mengikut cara yang kami kehendaki.”
[HR al-Bukhari dan Muslim]
Inilah hukum bagi pertukaran mata wang (ṣarf). Transaksi kewangan antara dua mata wang yang berbeza milik dua negara merupakan transaksi ṣarf, dan hukumnya adalah harus berdasarkan hadis ini. Hal ini demikian kerana jika mata wang tersebut berupa wang kertas substitusi, maka hukumnya adalah sama seperti pertukaran emas dan perak.
Ini kerana peredaran wang kertas substitusi pada hakikatnya berasaskan wang logam. Bezanya hanyalah wang logam itu sendiri tidak beredar secara langsung, sebaliknya digantikan oleh wang kertas yang berfungsi sebagai wakilnya. Oleh itu, wang kertas tersebut mengambil kedudukan yang sama sepenuhnya dengan wang logam dalam penentuan kadar pertukaran.
Malah, ia mengambil hukum yang sama dalam semua perkara. Jika wang kertas itu menjadi wakil kepada emas, maka tidak sah berlaku lebihan (tafāḍul) padanya kecuali sekadar perbezaan yang berpunca daripada perbezaan berat emas tulen. Dan jika yang satu menjadi wakil kepada perak manakala yang lain menjadi wakil kepada emas, maka sah berlaku tafāḍul antara kedua-duanya.
Adapun jika mata wang itu tergolong dalam wang kertas bersandaran tuntutan, maka urus niaga yang berlaku menurut adat kebiasaan adalah gabungan antara pertukaran mata wang (ṣarf) dan jual beli yang berlaku secara serentak. Bahagian nilai yang disokong oleh emas, iaitu kadar emas yang meliputi sebahagian tertentu daripada nilai mata wang bagi kedua-dua mata wang yang saling dipertukarkan hendaklah diperlakukan sebagai transaksi ṣarf, kerana ia merupakan pertukaran harta dengan harta daripada emas dan perak.
Manakala baki nilainya, yang disandarkan kepada harta selain emas dan perak, merupakan transaksi jual beli kerana ia adalah pertukaran barang dengan barang, jika kadar emas dalam kedua-dua mata wang itu sama. Namun jika kadar emasnya berbeza antara keduanya, maka ia merupakan pertukaran barang dengan harta (mal).
Pertukaran mata wang (ṣarf) adalah harus, dan jual beli juga adalah harus. Oleh itu, pertukaran mata wang asing yang terdiri daripada wang kertas bersandaran tuntutan adalah harus dari sudut syarak dan tidak mengandungi sebarang larangan. Dalam pertukaran ini, dibenarkan berlaku perbezaan atau persamaan nilai, kerana emas yang menyokongnya hanya meliputi suatu kadar tertentu daripada nilainya. Justeru, pertukaran tersebut dianggap sebagai pertukaran antara dua mata wang yang berlainan, dan bukan pertukaran mata wang daripada jenis yang sama.
Berdasarkan hal ini, apa yang dikenali sebagai mata wang keras (hard currency) atau sistem pertukaran asing yang diamalkan di dunia hari ini adalah harus dari sudut syarak dan tidak mengandungi sebarang masalah, berdasarkan sabda Nabi SAW: “Juallah emas dengan perak sebagaimana kamu kehendaki, dengan syarat dilakukan secara tangan ke tangan (tunai).” [HR al-Bukhari dan at-Tirmizi] Serta firman Allah Ta‘ala: ‘Dan Allah menghalalkan jual beli…’.” [TMQ Al-Baqarah: 275].
Oleh itu, menukar emas dengan perak adalah harus; menukar pound sterling dengan dolar adalah harus; menukar rubel Rusia dengan franc adalah harus; menukar lira Syria dengan dinar Jordan adalah harus; dan menukar dinar Iraq dengan lira Lubnan juga adalah harus, dan demikian seterusnya, dengan syarat berlaku serah terima secara tunai. Nisbah antara kedua-dua mata wang tersebut dinamakan kadar pertukaran (harga tukaran).
Selagi mana syarak membolehkan pertukaran mata wang asing antara satu sama lain secara mutlak tanpa sebarang pembatas (qayyid), maka haram hukumnya meletakkan apa-apa pembatas terhadap urus niaga pertukaran mata wang asing bagi rakyat. Setiap individu, sama ada Muslim atau bukan Muslim, berhak membeli mana-mana mata wang yang dikehendakinya pada harga yang diinginkannya, serta menjual mana-mana mata wang yang dikehendakinya pada harga yang diinginkannya, sama ada di dalam atau di luar negara; semuanya adalah sama.
Tidak harus dikenakan sebarang bayaran atau caj ke atas transaksi-transaksi ini di sempadan negara, kerana ia tergolong dalam kategori al-‘āshir (pemungut cukai) yang hukumnya haram. Begitu juga tidak harus dikenakan sebarang bayaran di dalam negara, kerana ia merupakan cukai (dharibah) ke atas pertukaran mata wang, sedangkan perkara tersebut tidak disyariatkan oleh Allah.
Mengadakan cukai (dharibah) yang tidak dibenarkan syarak adalah haram. Berdasarkan hal tersebut, sistem kadar pertukaran berubah-ubah adalah harus bagi seluruh rakyat. Adapun sistem kadar pertukaran tunggal adalah haram, kerana ia meletakkan pembatas terhadap perkara yang telah dibenarkan oleh syarak secara mutlak; maka ia termasuk dalam bentuk pengharaman. Dan tidak halal bagi sesiapa pun untuk mengharamkan apa yang telah dibolehkan oleh Allah.
Selain itu, sistem kadar pertukaran tunggal juga merupakan suatu bentuk penetapan harga terhadap mata wang, dan penetapan harga terhadap barang dagangan adalah haram. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Anas RA yang berkata: “Pada zaman Rasulullah SAW, harga barang naik, lalu mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika engkau menetapkan harga.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya Allah-lah yang menyempitkan, yang melapangkan, yang memberi rezeki, dan yang menetapkan harga. Aku berharap dapat bertemu Allah Azza wa Jalla dalam keadaan tiada seorang pun yang menuntutku atas kezaliman yang telah aku lakukan terhadapnya, sama ada dalam hal darah atau harta.’” [HR Abu Dawud, at-Tirmizi, Ibn Majah, dan Ahmad]
Rasulullah SAW menganggap penetapan harga sebagai suatu kezaliman dan menuntut agar ia ditinggalkan dengan tuntutan yang tegas, yang menunjukkan bahawa menetapkan harga adalah haram.
Oleh itu, menetapkan kadar rasmi mata wang negara berbanding mata wang lain, serta memaksa rakyat mematuhinya adalah haram. Begitu juga meletakkan pembatas terhadap pengeluaran mata wang asing atau mata wang negara, ataupun meletakkan pembatas terhadap kemasukan mata wang asing atau mata wang negara, adalah haram.
Sebaliknya, rakyat wajib diberikan kebebasan untuk melakukan jual beli, sama ada di dalam atau di luar negara, melibatkan mata wang dan mata wang asing, sebagaimana mereka bebas melakukan jual beli terhadap apa-apa barangan lain. Hal ini berlaku bagi rakyat negara.
Adapun golongan kafir mu‘āhid (yang terikat dengan perjanjian), maka dikenakan ke atas mereka hukum-hukum yang termaktub dalam perjanjian tersebut. Manakala bagi kafir ḥarbiy, urusannya dikembalikan kepada pendapat imam (khalifah). Jika beliau mahu, beliau boleh mengizinkan mereka membawa masuk mata wang asing atau mata wang negara, atau membawanya keluar sama ada bersama mereka atau secara berasingan; dan jika beliau mahu, beliau juga boleh melarang perkara tersebut.
Khalifah berhak melakukan apa sahaja yang dipandangnya membawa maslahat kepada umat Islam. Ketentuan ini terpakai secara umum bagi semua jenis mata wang. Namun demikian, sekiranya didapati bahawa suatu mata wang tertentu, apabila dibawa masuk ke dalam negara, akan mendatangkan mudarat, atau sekiranya dibenarkan pembeliannya akan menimbulkan mudarat, maka mata wang tersebut sahaja yang wajib dilarang. Pertukaran dengan mata wang asing yang lain kekal harus sebagaimana hukum asalnya.
Hal ini berdasarkan kaedah syarak bahawa: “Sesuatu perkara yang asalnya harus, jika terdapat mudarat pada salah satu individunya, maka individu itu sahaja yang diharamkan, sedangkan perkara tersebut secara keseluruhannya kekal harus.” Hukum ini terpakai secara umum, sama ada ke atas rakyat mahupun bukan rakyat.
Inilah hukum syarak berhubung pertukaran mata wang (ṣarf) dan kadar pertukaran, atau dengan ungkapan lain, apa yang disebut sebagai mata wang keras (hard currency) atau sistem pertukaran asing. Hukum ini wajib dilaksanakan kerana ia merupakan hukum syarak, tanpa mengambil kira apa yang mungkin terlintas dalam fikiran sebahagian pihak tentang adanya maslahat atau ketiadaan maslahat. Ini kerana hukum tersebut tidak dibina atas dasar maslahat, sebaliknya ia dibina berasaskan dalil syarak.
Walaupun andaikata dilihat bahawa maslahatnya bertentangan dengannya, atau bahawa ia mengandungi mudarat, hukum ini tetap wajib diamalkan. Hal ini kerana kemudaratan tidak menjadikan sesuatu yang asalnya harus bertukar menjadi haram; bahkan kemudaratan yang berlaku pada satu individu sahaja menjadikan individu itu haram, sedangkan perkara tersebut secara keseluruhan kekal harus.
Keharusan pertukaran mata wang (ṣarf), kadar pertukaran, serta pelaksanaan sistem kadar pertukaran berubah-ubah adalah keharusan terhadap suatu jenis transaksi, bukan terhadap individu tertentu. Oleh itu, ia tidak menjadi haram sekalipun andaikata dianggap tidak membawa maslahat atau mendatangkan kemudaratan.
Oleh sebab itu, apa yang dilakukan oleh para pemerintah Muslim dengan mengikuti sistem kadar pertukaran tunggal, serta mengenakan batasan terhadap pengeluaran dan kemasukan mata wang asing, atau terhadap pengeluaran dan kemasukan mata wang negara, semuanya adalah haram dari sudut syarak dan merupakan suatu kezaliman terhadap manusia.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #PolitikIslam #Kewangan #Matawang #Perdagangan