[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 27/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari Bahagian 26/46 )
Di negara-negara yang tidak mengamalkan sistem kadar pertukaran tunggal (fixed exchange rate), dan di mana bank pusat tidak beriltizam untuk membeli atau menjual mata wang asing pada kadar tertentu, kadar mata wang asing tersebut akan berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan penawaran dan permintaan.
Sistem pertukaran di negara-negara yang membenarkan perubahan kadar mata wang asing mengikut keadaan penawaran dan permintaan dikenali sebagai sistem kadar pertukaran berubah-ubah (floating exchange rate system). Dapat diperhatikan bahawa kadar pertukaran dalam sistem ini tidak semestinya terhasil hanya daripada perbezaan tahap harga antara sesebuah negara dengan negara lain, malah ia juga boleh berpunca daripada sekatan terhadap pergerakan perdagangan antarabangsa atau ketidakseimbangan imbangan pembayaran negara-negara yang berbeza atas apa jua sebab.
Di sesetengah negara, sistem kadar pertukaran berubah-ubah dibenarkan secara sah, seperti di Lubnan. Negara tersebut membenarkan perubahan kadar pertukaran mengikut perubahan harian yang berlaku akibat faktor penawaran dan permintaan. Sebaliknya, di negara-negara lain sistem kadar pertukaran berubah-ubah adalah dilarang, seperti di Mesir.
Negara tersebut tidak membenarkan perubahan kadar pertukaran kerana ia mengamalkan sistem kadar pertukaran tunggal (fixed exchange rate). Namun demikian, meskipun negara itu menetapkan kadar rasmi bagi mata wang asing, tetap berlaku dalam kalangan individu urus niaga jual beli mata wang atau akaun asing pada kadar yang sama sekali berbeza daripada kadar rasmi yang ditetapkan.
Inilah realiti pertukaran mata wang dan realiti kadar pertukaran di negara-negara dunia: wang kertas yang mempunyai sandaran emas pada kadar tertentu yang diketahui daripada nilai nominalnya, manakala baki nilai nominal tersebut bergantung kepada tahap kepercayaan masyarakat terhadap aset-aset ekonomi yang menjadi sandarannya, atau bergantung kepada sejauh mana mata wang itu boleh digunakan untuk memperoleh barangan dari negara yang mengeluarkannya.
Hukum syarak terhadap realiti ini adalah seperti berikut. Berdasarkan penelitian terhadap semua bentuk akad jual beli yang berlaku dalam transaksi kewangan di pasaran global, didapati bahawa urus niaga jual beli berlaku dalam enam bentuk:
- Membeli mata wang dengan mata wang yang sama, seperti menukar wang kertas dinar Iraq yang baharu dengan wang kertas lama.
- Menukar satu mata wang dengan mata wang yang lain, seperti menukar dolar dengan pound Mesir.
- Membeli barangan dengan mata wang tertentu, kemudian menukar mata wang tersebut dengan mata wang lain dalam satu urus niaga, seperti membeli kapal terbang dengan dolar dan menukar dolar tersebut dengan dinar Iraq dalam satu urusniaga.
- Menjual barangan dengan mata wang tertentu, kemudian menjual mata wang tersebut dengan mata wang lain, seperti menjual bal kain kapas dengan pound sterling dan menukar dolar dengan pound sterling.
- Menjual bon tertentu dengan mata wang tertentu.
- Menjual saham tertentu dalam syarikat tertentu dengan mata wang tertentu.
Daripada enam jenis aktiviti ini, jenis kelima dan keenam, iaitu jual beli bon dan saham, tidak termasuk dalam bab pertukaran mata wang (ṣarf), kerana ia bukan pertukaran mata wang dengan mata wang.
Jual beli bon adalah haram dan batil kerana bon mengandungi faedah yang ditetapkan, maka ia termasuk dalam riba. Jual beli saham juga adalah haram dan batil kerana saham merupakan pemilikan dalam syarikat yang batil menurut syarak, seperti syarikat saham (syarikat berhad) dan yang seumpamanya.
Jenis ketiga dan keempat pula merupakan gabungan dua transaksi dalam satu akad, iaitu transaksi jual beli dan transaksi pertukaran mata wang (ṣarf). Ertinya, setiap satu daripadanya mengandungi dua aktiviti: satu aktiviti jual beli dan satu aktiviti pertukaran mata wang (ṣarf), maka kedua-duanya tertakluk kepada hukum pemisahan akad (tafrīq al-ṣafqah).
Memisahkan akad dalam satu urus niaga (tafrīq al-ṣafqah) bermaksud satu akad mengandungi satu transaksi, yang sebahagiannya sah dan sebahagiannya batil. Sebagai contoh, dua pihak melakukan pertukaran (ṣarf) sebanyak seratus dinar, lima puluh daripadanya diserahkan secara tunai, manakala lima puluh lagi ditangguhkan sebagai hutang. Maka hukumnya sah pada bahagian yang diserahkan secara tunai dan batil pada bahagian yang ditangguhkan. Dengan itu, satu akad yang sama dipisahkan: sebahagiannya sah dan sebahagiannya batil.
Contoh lain ialah berlakunya dua jenis transaksi dalam satu akad, seperti jual beli dan sewaan. Misalnya, seseorang menjual seekor kuda dengan harga sepuluh pound, dan pada masa yang sama menyewa rumah pembeli kuda tersebut dengan harga sepuluh pound dalam satu akad yang sama. Maka hukum jual beli diterapkan ke atas penjualan kuda, dan hukum sewaan diterapkan ke atas penyewaan rumah. Dengan itu, akad tersebut dipisahkan (tafrīq al-ṣafqah).
Demikian juga bagi jenis ketiga dan keempat, iaitu dua transaksi dalam satu akad: jual beli dan pertukaran mata wang. Maka hukum jual beli diterapkan ke atas penjualan barangan, dan hukum ṣarf diterapkan ke atas pertukaran mata wang.
Adapun jenis pertama dan kedua, kedua-duanya merupakan transaksi pertukaran mata wang (ṣarf), dan hukum-hukum ṣarf diterapkan ke atasnya. Ini kerana ṣarf ialah pertukaran harta dengan harta daripada emas dan perak, sama ada dengan jenis yang sama secara setara, atau dengan jenis yang berbeza sama ada secara setara atau tidak setara.
Hukum ṣarf terpakai ke atas mata wang sebagaimana ia terpakai ke atas emas dan perak. Namun, semua pertukaran tersebut mestilah dilakukan secara serah-terima serta-merta (tangan ke tangan) tanpa sebarang penangguhan, dan secara pertukaran langsung (barang dengan barang). Pertukaran antara dua mata wang yang berlainan jenis boleh berlaku sama ada secara setara atau berbeza nilai, berdasarkan timbangan dengan timbangan; manakala jika pertukaran berlaku antara mata wang daripada jenis yang sama, maka ia mestilah setara sepenuhnya.
Dalil keharusan melakukan pertukaran mata wang (ṣarf) ialah sabda Rasulullah SAW: “Juallah emas dengan perak sebagaimana kamu kehendaki, dengan syarat dilakukan secara tangan ke tangan (tunai).” [HR At-Tirmidzi].
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikIslamEkonomi #EkonomiIslam #Matawang