Bolehkah Menjual Atribut Kemeriahan Perayaan Agama Lain?
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Afwan ustaz mohon penjelasan. Apa hukumnya seorang Muslim membuat dan menjual trompet, mercun dan bunga api di saat menjelang perayaan Krismas & Tahun Baru? (Nur Jamal)
Mahu bertanya, bagaimana hukum status perniagaan menjual aksesori untuk hari raya atau perayaan non-muslim? (Hasyim Wirawan).
Jawapan:
Haram hukumnya seorang Muslim membuat dan menjual trompet, mercun, bunga api dan sebagainya untuk sambutan perayaan non-muslim, seperti Krismas dan Tahun Baru (Masihi), berdasarkan dua dalil syarie sebagai berikut:
Pertama, kerana perbuatan tersebut termasuk ke dalam tā’awun (tolong-menolong) dalam dosa, iaitu turut serta dalam menampakkan syiar-syiar agama kafir. Tolong-menolong dalam dosa ini telah diharamkan dalam Islam sesuai firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوۡا عَلَى الۡبِرِّ وَالتَّقۡوٰى وَلَا تَعَاوَنُوۡا عَلَى الۡاِثۡمِ وَالۡعُدۡوَانِ
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” [TMQ Al-Mā`idah (5): 2]
Imam Ibnu Taimiyyah dalam masalah ini –iaitu berjual beli sesuatu yang menolong tegaknya syiar-syiar agama non-muslim– telah berkata:
وَلَا يَجُوزُ بَيْعُ كُلِّ مَا يَسْتَعِينُونَ بِهِ عَلَى إِقَامَةِ شَعَائِرِهِمْ الدِّينِيَّةِ
“Tidak diperbolehkan menjual segala sesuatu yang akan membantu mereka (kaum kafir) untuk menegakkan syiar-syiar keagamaan mereka (kaum kafir).” (Ibnu Taimiyah, Iqtidhā` Al-Shirāt Al-Mustaqīm, 2/256)
Kedua, selain larangan tā’awun dalam dosa tersebut, perbuatan Muslim membuat dan menjual trompet, mercun, bunga api dan sebagainya, juga menjadi “wasīlah” (perantara) untuk perbuatan “tasyabbuh bil kuffār” (menyerupai kaum kafir) yang dilakukan oleh orang-orang Muslim lainnya. Sedangkan syarak telah mengharamkan seorang Muslim melakukan “tasyabbuh bil kuffār” (menyerupai kaum kafir) sesuai sabda Rasulullah SAW:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk ke dalam golongan mereka.” (HR. Abu Dawud dan Ahmad, hadis sahih)
Hal ini kerana biasanya yang membeli mercun, trompet dan sebagainya dalam rangka Krismas dan Tahun Baru itu bukan hanya orang-orang Nasrani, melainkan juga orang-orang Muslim, yang turut merayakan dua hari raya non-muslim tersebut. Maka perbuatan Muslim membuat dan menjual mercun, trompet dan sebagainya, diharamkan dalam Islam kerana menjadi “wasīlah” (perantara) yang mengakibatkan Muslim yang lain melakukan “tasyabbuh bil kuffār” (menyerupai kaum kafir).
Kaedah fiqih dalam masalah ini mengatakan:
اَلْوَسِيْلَةُ إِلىَ الْحَرَامِ حَرَامٌ
“Al-wasilah ilal harami haramun. Maksudnya, segala perantaraan kepada yang haram, hukumnya juga haram.” (Muhammad Hisyam Al-Badrani, ‘Ujālat Al-Mutafaqqih Ilā Ma’rifat Ushūl Al-Fiqh, hlm. 95)
Dapat ditambahkan bahawa Imam Syaukani dalam kitabnya Nailul Authār telah menjelaskan satu kaedah fiqih khusus dalam Bab Jual Beli yang berbunyi:
كُلُّ بَيْعٍ أَعَانَ عَلىَ مَعْصِيَةٍ حَرَامٌ
“Kullu bai’in a’ana ala ma’shiyatin haramun. Maksudnya, setiap jual beli yang membantu terjadinya suatu kemaksiatan, hukumnya haram.” (Imam Syaukani, Nailul Authār, 5/183)
Berdasarkan larangan “tā’awun” (tolong-menolong) dalam dosa dan larangan “tasyabbuh bil kuffār” (menyerupai kaum kafir) tersebut, Imam Ibnu Taimiyyah berkata:
وَلَا يُبَايِعُ الْمُسْلِمُ مَا يَسْتَعِينُ الْمُسْلِمُونَ بِهِ عَلَى مُشَابَهَتِهِمْ فِي الْعِيدِ مِنْ الطَّعَامِ وَاللِّبَاسِ وَنَحْوِ ذَلِكَ، لِأَنَّ فِي ذَلِكَ إِعَانَةً عَلَى الْمُنْكَرِ
“Seorang Muslim tidak boleh menjual apa-apa yang dapat membantu umat Islam untuk menyerupai kaum kafir dalam hari raya mereka (Krismas dan sebagainya), seperti makanan, pakaian dan sejenisnya (yang mengandungi hiasan-hiasan syiar agama mereka), kerana dalam jual beli tersebut terdapat perbuatan membantu kemungkaran.” (Imam Ibnu Taimiyyah, Majmū’ Al-Fatāwā, 25/319)
Kesimpulannya, haram hukumnya seorang Muslim membuat dan menjual trompet, mercun dan bunga api di saat menjelang perayaan Krismas & Tahun Baru. Hal itu kerana perbuatan Muslim itu adalah bentuk ta’āwun (tolong-menolong) kepada kaum kafir dalam berbuat dosa dan menjadi “wasīlah” (perantaraan) menuju perbuatan haram yang dilakukan Muslim yang lainnya, iaitu “tasyabbuh bil kuffār” (menyerupai kaum kafir). Wallāhu a’lam.
Sumber: NgajiShubuh (https://youtu.be/UC1-TCs5ysE)
#TasyabbuhBilKuffar #HukumPerayaan #FikihSosial