Hukum Asal Perbuatan dan Benda
Oleh: M. Taufik NT
Ramai yang menggeneralisasikan kaedah “hukum asal benda adalah boleh”. Mereka tidak membezakan antara benda dan perbuatan ketika menetapkan status hukumnya. Akibatnya, keluarlah pelbagai “fatwa” yang membolehkan banyak perbuatan hanya berdasarkan prinsip ini tanpa mengkaji lebih jauh. Hanya berdasarkan bahawa nama perbuatan tersebut tidak disebutkan dalilnya maka automatik dihukumi boleh.
Perbezaan al-Af’âl dan al-Asyâ’
Al-Asyâ‘ adalah segala sesuatu (benda/material) yang digunakan oleh manusia seperti roti, epal, daging dan lain-lain. Al-Af’âl (perbuatan) adalah apa saja yang dilakukan manusia, baik ucapan atau tindakan, seperti makan, minum, berjalan, berdiri dan sebagainya.
Al-Asyâ’ berbeza dengan al-af’âl, walaupun terkait rapat, iaitu perbuatan manusia selalu berhubungan dengan atau menggunakan al-asyâ‘ agar keperluannya terpenuhi. Perbuatan makan berhubungan dengan benda-benda seperti nasi, roti dan selainnya. Perbuatan minum berkaitan dengan benda-benda seperti air, madu, khamr dan lain-lain.
Seluruh benda mempunyai status hukum syariah, sebagaimana halnya dengan perbuatan. Sering terbayang dalam fikiran manusia bahawa benda/material dan perbuatan merupakan satu kesatuan. Akibatnya. mereka menyimpulkan bahawa status hukum perbuatan selari dengan status hukum benda yang berhubungan dengan perbuatan tersebut.
Sedangkan syariah Islam membezakan benda dengan perbuatan. Para ulama yang meneliti nas-nas dan hukum-hukum syariah mendapati bahawa syariah telah membataskan hukum-hukum pada perbuatan dengan lima kategori status iaitu: wajib, haram, sunnah/mandûb, makruh dan mubah. Adapun yang berkaitan dengan benda (al-asyâ‘), syariah hanya memberikan sifat halal dan haram, tidak memberikan hukum wajib, haram, sunnah dan makruh.
Hukum Asal Perbuatan
Terkait perbuatan manusia, dalam Al-Fikru al-Islâmi dinyatakan:
«الْأَصْلُ فِي الْأَفْعَالِ التَّقَيُّدُ بِالْحُكْمِ الشَّرْعِيِّ»
Hukum asal suatu perbuatan adalah terikat pada hukum syariah.
Perbuatan manusia tidak boleh diberi status hukum syariahnya kecuali jika ada dalil yang menunjukkan hukum tersebut. Sebabnya, tidak ada hukum syariah sebelum Rasul SAW datang yang membawa (menyampaikan) hukum tersebut. Allah SWT berfirman:
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبۡعَثَ رَسُولٗا ١٥
“Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul.” [TMQ al-Isra’ (17): 15]
Tidak boleh dikatakan bahawa hukum asal perbuatan adalah mubah. Sebabnya, mubah adalah apa yang ditunjukkan oleh dalil syariah yang mengandungi dua pilihan: antara mengerjakan atau meninggalkan. Mubah sebagai hukum syariah memerlukan dalil yang menunjukkan kedudukan hukum tersebut. Selama tidak ada dalil yang menunjukkan kemubahannya maka hukum syariah tentang hal itu tidak ada.
Tidak adanya dalil tidaklah menunjukkan hukum apapun atas perbuatan tersebut. Akan tetapi, ia hanya menunjukkan belum adanya hukum atas perbuatan itu, serta menunjukkan kewajipan mencari dalil untuk mengetahui hukum Allah atas perbuatan tersebut, sehingga dapat ditentukan sikapnya. Dengan demikian mengetahui hukum syariah dalam suatu perbuatan tertentu adalah wajib bagi setiap mukallaf. Dengan itu, dia dapat memutuskan sikapnya atas perbuatan itu, adakah dia perlu mengerjakan atau meninggalkannya. Imam al-Qarafi mengutip Imam al-Ghazali dan Imam as-Syafi’i yang menyatakan adanya ijmak (kesepakatan) bahawa:
«أَنَّ الْمُكَلَّفَ لَا يَجُوزُ لَهُ أَنْ يُقْدِمَ عَلَى فِعْلٍ حَتَّى يَعْلَمَ حُكْمَ اللَّهِ فِيهِ»
Seorang mukallaf (orang yang terbebani hukum) tidak boleh melakukan suatu perbuatan hingga dia mengetahui hukum Allah atas perbuatannya.
Hal ini kerana tolok ukur perbuatan bagi seorang Muslim adalah berupa perintah dan larangan Allah SWT. Setiap perbuatan yang dilakukan seorang Muslim kelak, Allah akan meminta pertanggungjawabannya berdasarkan kesesuaiannya dengan perintah dan larangan tersebut.
فَوَرَبِّكَ لَنَسْئَلَنَّهُمۡ أَجۡمَعِينَ ٩٢ عَمَّا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ٩٣
“Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak), Mengenai apa yang mereka telah lakukan.” [TMQ al-Hijr (15): 92-93]
وَلَا تَعۡمَلُونَ مِنۡ عَمَلٍ إِلَّا كُنَّا عَلَيۡكُمۡ شُهُودًا ٦١
“Dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu.” [TMQ Yunus (10): 61]
Kerana itulah para Sahabat RA sering bertanya terlebih dulu tentang apa yang ingin mereka kerjakan. Usman bin Madh’un RA pernah datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya adakah beliau diizinkan melakukan ikhtishâ’ (pengebirian), juga siyâhah (mengembara) dan tarahhub (menjalani hidup seperti rahib).
Adapun sikap diam Rasulullah SAW terhadap sesuatu perbuatan, sedangkan manusia melakukan perbuatan itu, itu bukan bererti tidak ada ketentuan hukum dari syariah atas perbuatan tersebut. Sebaliknya, sikap diam baginda atas perbuatan orang-orang yang berada di bawah kekuasaan baginda dan baginda ketahui, adalah dalil yang menunjukkan kebolehan perbuatan tersebut.
Sebagai contoh, sikap sebahagian Sahabat yang mengambil dalil atas kebolehan ‘azl (menumpahkan air mani di luar tempatnya) kerana Nabi SAW mendiamkan itu. Dalil tersebut adalah riwayat yang ditunjukkan oleh perkataan mereka, “Kami melakukan ‘azl, sedangkan al-Quran masih turun.” Ungkapan “sedangkan al-Quran masih turun” menunjukkan bahawa Rasul SAW masih ada di tengah-tengah mereka, namun baginda tidak melarang hal tersebut.
Begitu juga sebahagian mujtahid beralasan atas kebolehan memakan daging dhab (sejenis biawak gurun) kerana sikap diam Rasulullah atas perbuatan tersebut. Telah diriwayatkan bahawa Khalid bin Walid RA pernah masuk bersama Rasulullah SAW ke rumah Maimunah. Lalu disajikan kepada baginda daging dhab panggang. Rasulullah menhulurkan tangannya (untuk mengambil daging tersebut). Setelah mengetahui bahawa itu adalah daging dhab, beliau menarik kembali tangannya. Adapun Khalid pula mengambil dan memakan daging tersebut, sementara Rasulullah SAW memperhatikan Khalid (HR al-Bukhari).
Sikap Rasulullah SAW yang mendiamkan Sahabat memakan daging dhab, selain ucapan baginda yang tidak mengharamkan itu, menjadi dalil atas kebolehan memakan dhab.
Hukum Asal Benda
Hukum syariah didefinisikan sebagai seruan Asy-Syâri’ yang berkaitan dengan perbuatan (af’âl) manusia. Fokus hukum syariah adalah perbuatannya, bukan asyâ` (benda)-nya.
Sebagai contoh jual-beli adalah perbuatan yang dihalalkan, sementara riba adalah perbuatan yang diharamkan berdasarkan firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ ٢٧٥
“Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” [TMQ al-Baqarah (2): 275]
Hukum ini menyangkut perbuatan, iaitu jual-beli dan riba. Hanya saja, perbuatan jual-beli ini berkaitan dengan benda. Ada yang dihalalkan Allah SWT seperti anggur, cili dan sebagainya. Ada pula yang diharamkan seperti khamr. Halalnya cili, contohnya, itu terkait dengan kebolehan perbuatan jual-belinya. Namun, tidak semua perbuatan yang terkait cili semua boleh, contohnya perbuatan mengoleskan cili ke mata seorang Muslim berbeza hukumnya dengan jual-beli cili.
Begitu juga riba. Riba diharamkan tanpa melihat benda apa yang menjadi objek transaksinya. Sebabnya, fokus hukum syariah adalah pada perbuatannya.
Adapun terkait benda maka kaedah yang berlaku adalah:
«الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ مَا لَمْ يَرِدْ دَلِيلُ التَّحْرِيمِ»
Hukum asal segala sesuatu adalah boleh, kecuali ada dalil larangannya.
Hukum ibâhah (kebolehan) tersebut dapat difahami dari nas-nas syariah secara global, seperti firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا ٢٩
“Dialah (Allah) yang menciptakan segala yang ada di bumi untuk kalian.” [TMQ al-Baqarah (2): 29]
Ada pula penentuan mubah dengan lafaz yang bersifat umum, contohnya:
أَلَمۡ تَرَوۡاْ أَنَّ ٱللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِ وَأَسۡبَغَ عَلَيۡكُمۡ نِعَمَهُۥ ظَٰهِرَةٗ وَبَاطِنَةٗۗ ٢٠
“Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin?” [TMQ Luqman (31): 20]
Juga ada nas lainnya yang bersifat umum sekaligus memberikan perinciannya, seperti:
ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزۡقٗا لَّكُمۡۖ ٢٢
“Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu.” [TMQ al-Baqarah (2): 22]
Ayat-ayat di atas dan yang semisalnya menunjukkan bahawa Allah SWT membolehkan segala sesuatu yang ada untuk manusia. Adapun yang dilarang adalah pengecualian. Pengecualian ini memerlukan dalil syariah khusus, baik dari al-Quran mahupun hadis, contohnya:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَيۡتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحۡمَ ٱلۡخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيۡرِ ٱللَّهِۖ ١٧٣
“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.” [TMQ al-Baqarah (2): 173]
وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡخَبَٰٓئِثَ ١٥٧
“Dia telah menghalalkan segala yang baik bagi mereka dan telah mengharamkan segala yang buruk bagi mereka.” [TMQ al-A’raf (7): 157]
Dari Abu Hurairah RA, dia berkata dari Nabi SAW bersabda:
«كُلُّ ذِي نَابٍ مِنْ السِّبَاعِ فَأَكْلُهُ حَرَامٌ»
”Setiap binatang buas yang bertaring, maka memakan dagingnya adalah haram.” (HR Muslim).
Ayat-ayat dan hadis di atas mengecualikan apa yang disebutkan daripada kehalalan. Kerana itu bangkai, darah, daging babi dan (daging) haiwan yang disembelih dengan (menyebut nama) selain Allah adalah haram. Demikian pula segala yang buruk, binatang buas dan apa saja yang ada dalil keharamannya; itulah yang haram.
Kemubahan benda tidak memerlukan dalil. Sebabnya, dalil-dalil yang bersifat umum dalam nas-nas syariah telah membolehkan segala sesuatu. Sebaliknya, keharaman suatu benda memerlukan dalil. Sebabnya, hukum haram adalah pengecualian dari keumuman dalil yang membolehkan sesuatu.
WalLâhu a’lam.
Rujukan:
- Isma’il, Muhammad Muhammad. Al-Fikru al-Islami. Maktabah al-Wa’ie, 1958.
- Nabhani, Taqiyuddin al-. Al-Syakhsiyyah al-Islâmiyyah. Cet. III. Vol. 3. Beirut: Dâr al-Ummah, 2005.
- Qarafi, Syihabuddin Ahmad bin Idris al-. Anwâr Al- Burûq Fî Anwâ’ al-Furûq. ’Alam al-Kutub, t.th.
Sumber: https://alwaie.net/
#HukumSyarak #HukumBenda #HukumPerbuatan