Rukyatul Hilal Global sebagai Penentu Awal dan Akhir Ramadhan
Oleh: Ustazah Najmah Saiidah
Perdebatan terkait metode penetapan awal dan akhir Ramadhan tetap terus berlaku. Sebahagian masyarakat memahami bahawa penentuannya hanya boleh melalui rukyatul hilal, yakni terlihatnya bulan sabit menjadi penanda awal dan akhir bulan Ramadhan. Sementara sebahagian lainnya menyatakan bahawa metode hisab juga boleh digunakan untuk menetapkan permulaan dan akhir Ramadhan.
Ulama yang menetapkan metode rukyat pula terbahagi kepada dua. Pertama berpendapat bahawa satu rukyat berlaku untuk seluruh wilayah di dunia, ertinya semua Muslim di belahan bumi manapun wajib melaksanakan puasa Ramadhan jika sudah ada khabar yang terpercaya bahawa sudah terlihat hilal pada tanggal 1 Ramadhan di suatu tempat. Pendapat kedua menyatakan bahawa rukyat hanya mengikat penduduk yang satu mathla’ (kawasan) dengan orang yang melihat hilal. Sementara bagi penduduk yang negerinya jauh tidak terikat.
Ketetapan awal dan akhir Ramadhan merupakan perkara penting bagi umat Islam. Kesalahan dalam menetapkannya akan berkonsekuensi pada perbuatan yang diharamkan. Ia boleh menyebabkan umat Islam meninggalkan kewajipan puasa tanggal 1 Ramadhan kerana menyangka masih akhir bulan Syaaban. Begitu juga berpeluang melakukan keharaman puasa pada tanggal 1 Syawal kerana menganggap bulan Ramadhan belum berakhir. Jelas fenomena ini tidak boleh dibiarkan terus berulang.
Diantara pendapat-pendapat tersebut, yang manakah hujah paling kuat?
Awal dan Akhir Ramadhan Tiba ketika Hilal Kelihatan
Pendapat ini didasarkan pada hadis Rasulllah SAW:
1913- حَدَّثَنَا آدَمُ ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ ، حَدَّثَنَا الأَسْوَدُ بْنُ قَيْسٍ ، حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ عَمْرٍو أَنَّهُ سَمِعَ ابْنَ عُمَرَ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ قَالَ إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ لاَ نَكْتُبُ ، وَلاَ نَحْسُبُ الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا يَعْنِي مَرَّةً تِسْعَةً وَعِشْرِينَ وَمَرَّةً ثَلاَثِينَ.
“Kami adalah bangsa ummi, tidak menulis dan tidak menghitung. Satu bulan adalah seperti ini dan seperti ini.” Nabi bermaksud menyebut angka dua puluh sembilan untuk yang pertama, dan tiga puluh untuk yang kedua. Abu Abdillah Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahīh al-Bukhāri, (Kaherah: Dar al-Hadis, 2008)
Hadis lainnya yang senada diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud, Nabi SAW bersabda, “Kita adalah umat (kaum) yang ummi, yang tidak boleh menulis dan menghitung. Bulan itu begini (sambil menunjukkan kedua telapak tangannya dengan sepuluh jari), begini dan begini (diulang sebanyak 3 kali, maksudnya 30 hari).” (HR Abu Dawud). Menurut al-Abbadi, “tidak boleh menghitung..” maksudnya, tidak mengetahui perhitungan dan perjalanan bintang.. Kerana itu, hukum puasa dan yang lain dikaitkan dengan rukyat..(‘Aun al-Ma’bud, Syarah Sunan Abi Dawud, juz VI/433)
Sementara dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam An-Nasai nampak jelas bahawa Nabi SAW memerintahkan untuk melihat hilal ketika menetapkan awal dan akhir Ramadhan:
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ وَانْسُكُوا لَهَا فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا ثَلَاثِينَ
“Berpuasalah kalian kerana melihatnya, berbukalah kalian kerana melihatnya dan sembelihlah korban kerana melihatnya pula. Jika -hilal- itu tertutup daripada pandangan kamu, sempurnakanlah menjadi tiga puluh hari, ….” (HR. An-Nasai no. 2116).
Perintah untuk melihat hilal dan kewajipan menyempurnakan bilangan Syaaban sampai 30 hari disampaikan oleh Nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Umar:
Nabi SAW bersabda,
الشَّهْرُ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ لَيْلَةً ، فَلاَ تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْهُ ، فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعِدَّةَ ثَلاَثِينَ
“Apabila bulan telah masuk kedua puluh sembilan malam (dari bulan Syaaban, pen). Maka janganlah kalian berpuasa hingga melihat hilal. Dan apabila mendung, sempurnakanlah bulan Syaaban menjadi tiga puluh hari.” (HR. Bukhari no. 1907 dan Muslim no. 1080)
Dalam kedua hadis di atas, Rasulullah SAW hanya memberikan dua pilihan, yakni rukyatul hilal jika keadaan memungkinkan untuk terlihatnya hilal, dan yang kedua dengan menggenapkan bilangan bulan Syaaban menjadi tiga puluh hari iaitu ketika hilal tidak nampak disebabkan tertutupnya awan. Redaksi hadis tersebut mengisyaratkan untuk menggenapkan jumlah hari di bulan Syaaban dan tidak ada perintah untuk melakukan hisab, atau perhitungan berdasarkan ilmu astronomi.
Hukum merukyat hilal untuk Ramadhan dan Syawal adalah wajib. Kerana itu, ketika terhalang oleh awan, sehingga rukyat tidak dapat dilakukan, kita diperintahkan untuk menggenapkan, sekalipun ada kemungkinan bulan Ramadhan atau Syawal itu benar-benar sudah masuk.
Urgensi rukyatul hilal untuk memastikan datangnya bulan Ramadhan ditunjukkan oleh hadis Rasulullah SAW yang memberitakan bahawa baginda sentiasa mengingati bulan Syaaban lebih daripada bulan yang lain:
Daripada Abdullah bin Abi Qois, beliau mendengar Aisyah RA mengatakan,
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَفَّظُ مِنْ شَعْبَانَ مَا لَا يَتَحَفَّظُ مِنْ غَيْرِهِ، ثُمَّ يَصُومُ لِرُؤْيَةِ رَمَضَانَ، فَإِنْ غُمَّ عَلَيْهِ عَدَّ ثَلَاثِينَ يَوْمًا ثُمَّ صَامَ
“Rasulullah SAW sangat memberi perhatian kepada bulan Syaaban, tidak sebagaimana bulan yang lainnya. Kemudian baginda lanjutkan dengan puasa setelah terlihat hilal Ramadhan. Jika hilal tidak kelihatan maka baginda genapkan Syaaban menjadi 30 hari, kemudian berpuasa.” (HR. Ahmad, Abu Daud, Ad-Daruquthni)
Hukum merukyat hilal adalah fardhu kifayah. Cukup dilakukan oleh sebahagian umat Islam yang mampu. Disaksikannya hilal oleh orang terpercaya menjadikan kewajipan melihat hilal gugur atas kaum Muslim lainnya dan mereka wajib terikat dengan rukyat tersebut.
Informasi awal dan akhir Ramadhan wajib diumumkan oleh Imam sehingga seluruh rakyat mengetahuinya. Imam wajib mendasarkan penetapannya pada rukyat, tidak boleh dengan metode lain. Bahkan Imam Malik menyatakan tentang ketua negara yang berpuasa dan berhari raya tidak dengan merukyat hilal, tetapi dengan hisab, “Dia tidak patut diteladani dan diikuti.” (al-Qurthubi, al-Jami’ li Ahkami al-Qur’an, juz II/290)
Satu Rukyat untuk Seluruh Dunia
Keadaan geografi dan kedudukan bulan yang tidak sama untuk wilayah yang berbeza menyebabkan tidak terlihatnya hilal pada bahagian bumi tertentu dan mungkin muncul di belahan yang lain. Namun, tertutupnya hilal tidak semestinya belum masuk bulan Ramadhan. Ada kemungkinan di daerah lain, hilal sudah muncul dan ada orang yang menyaksikannya. Oleh sebab itu, ketika hari sudah masuk akhir bulan Syaaban (waktu maghrib tanggal 29), umat Islam hendaklah bersiap sedia untuk menyambut Ramadhan seandainya hilal terlihat di mana pun tempatnya.
Terkait hukum hilal dalam ilmu fiqh dikenal dengan istilah mathla’ iaitu wilayah munculnya hilal. Cakupan wilayah mathla’ ada yang membatasinya dalam satu negeri, satu pulau, dan ada juga berdasarkan jarak dimana dibolehkannya solat qashar. Pembatasan mathla’ berdasarkan jarak qashar solat, menurut Imam an-Nawawi merupakan pendapat yang lemah, kerana puasa tidak terkait dengan jarak qashar solat. (Lihat, an-Nawawi, al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, juz VI/245)
Pandangan ulama dalam perlakuan terhadap hilal jika dikaitkan dengan batasan mathla’ ini tidaklah sama. Menurut pendapat Mazhab Syafie, hilal yang terlihat pada salah satu negeri yang berdekatan jaraknya berlaku juga untuk negeri lainnya sekalipun di sana tidak kelihatan hilal. Oleh sebab itu, penduduk di negeri-negeri yang berdekatan tersebut (satu mathla’) wajib berpuasa (mengikuti rukyat negeri tetangganya). (an-Nawawi, al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, juz VI/245).
Sementara untuk negeri yang berjauhan, terdapat dua pendapat:
(1) Bagi penduduk negeri lain tadi tidak wajib berpuasa. Salah seorang ulama yang berpendapat demikian adalah Imam an-Nawawi. Pendapat bahawa rukyat suatu negeri hanya berlaku di wilayahnya dan tidak mengikat daerah lain didasarkan pada hadis Kuraib tentang sikap dan pernyataan Ibn ‘Abbas, dimana beliau tidak mengikuti rukyat penduduk Syam, yang disampaikan Kuraib, sebaliknya menyatakan, “Beginilah kami diperintahkan oleh Nabi.” Sikap Ibn ‘Abbas ini adalah ijtihad beliau. Ini adalah mazhab Ibn ‘Abbas, atau Mazhab Sahabat. Dilihat dari posisinya, mazhab sahabat bukanlah dalil sehingga ianya tidak boleh dijadikan hujah hukum, sebagaimana dikemukakan oleh Imam Taqiyuddin an-Nabhani, “…mazhab sahabat tidak termasuk dalil syarie.” (Taqiyuddin An-Nabhani, Asy-Syakhshiyyah Al-Islamiyah, III/411).
Selain kerana tidak didasarkan pada dalil syarie, pembatasan hilal hanya berlaku untuk wilayah dalam satu negeri tidak selaras dengan keumuman hadis Rasulullah SAW yang memerintahkan untuk memulai puasa Ramadhan ketika sudah melihat hilal: “Berpuasalah kerana melihatnya (hilal) dan berhari rayalah kerana melihatnya..” (HR.Bukhari dan Muslim). Khithab ‘amini menunjukkan bahawa perintah mulai puasa berlaku umum meliputi seluruh kaum Muslim, tanpa beza atau sempadan negeri, pulau atau jarak qashar.
(2) Wajib berpuasa walau hilal terlihat di negeri yang berbeza dan berjauhan jaraknya. Ini pendapat as-Shaimiri, al-Qadhi Abu Thayyib, ad-Darimi, Abu ‘Ali as-Sanji, dll. Al-Marwardi berkata, “Kerana kewajipan puasa. Ramadhan tidak berbeza, kerana perbezaan negeri..”(Lihat, an-Nawawi, al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, juz VI/245)
Demikian juga pendapat mazhab Maliki, hilal berlaku untuk seluruh penduduk negeri. Oleh kerana itu, kesaksian seseorang atas terlihatnya hilal mewajibkan semua penduduk Muslim di negeri itu mengikuti rukyat tersebut. Adapun Ibn al-Majisyun berpendapat, “Kesaksian rukyat itu hanya mengikat penduduk yang menjadi tempat di mana kesaksian itu berada, kecuali jika Imam a’dham (Khalifah) menetapkannya, maka semua manusia wajib terikat, kerana negeri ini bagi Khalifah adalah satu negeri. Kerana keputusannya wajib dilaksanakan oleh semuanya.” (Lihat, ‘Aun al-Ma’bud, juz VI/453).
Kesatuan hilal untuk seluruh belahan dunia sekalipun berbeza mathla’ merujuk kepada keumuman perintah Rasulullah SAW untuk melihat hilal. Demikian juga berdasarkan kesesuaiannya dengan hadis yang dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnad-nya daripada Abu Umair bin Anas, telah menceritakan kepadaku, ibu-ibu saudaraku dari kalangan kaum Anshar, dari kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW, baginda bersabda:
«غُمَّ عَلَيْنَا هِلَالُ شَوَّالٍ فَأَصْبَحْنَا صِيَاماً فَجَاءَ رَكْبٌ مِنْ آخِرِ النَّهَارِ فَشَهِدُوا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ r أَنَّهُمْ رَأَوْا الْهِلَالَ بِالْأَمْسِ فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ r (أَنْ يُفْطِرُوا مِنْ يَوْمِهِمْ وَأَنْ يَخْرُجُوا لِعِيدِهِمْ مِنْ الْغَدِ)»
“Hilal Syawal tertutup mendung bagi kami maka kami berpuasa pada pagi harinya. Lalu datang para penunggang pada hujung siang, lalu mereka bersaksi di hadapan Rasulullah SAW bahawa mereka melihat hilal kemarin, maka Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berbuka hari itu dan keluar untuk (solat) Eid pada esok harinya”.
Kesatuan Hilal Memerlukan Penerapan Hukum oleh Pemimpin
Keadaan semasa di mana tiada pemimpin yang menyatukan pendapat umat mengakibatkan terus berlakunya perbezaan awal dan akhir Ramadan. Sama ada disebabkan oleh perbezaan metode penetapan awal dan akhir Ramadan iaitu menggunakan kiraan hisab dan melalui rukyatul hilal. Juga perbezaan sama ada hilal berlaku secara global untuk seluruh dunia? Atau hilal hanya diterapkan di negeri yang berada dalam satu mathla’ (di negeri yang sama)?
Tanpa keberadaan pemimpin yang menyatukan, perbezaan ini dianggap suatu yang wajar sebagai pilihan peribadi. Namun, keadaan akan berbeza ketika pemerintahan Islam telah hadir dengan dipimpin oleh seorang khalifah. Khalifah akan melakukan penerapan hukum. Penetapan hukum yang akan diterapkan negara merupakan hak sekaligus tanggungjawab khalifah untuk menghilangkan keadaan-keadaan terjadinya khilafiyah di tengah masyarakat.
Dalam perspektif syariat Islam, adanya ikhtilaf dalam masalah hukum merupakan perkara yang boleh diterima selagi pendapat-pendapat tersebut memiliki dalil syarak. Namun perbezaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan jika mengancam persatuan umat seperti halnya ikhtilaf dalam masalah penetapan awal dan akhir Ramadhan ini.
Khalifah perlu memilih satu pendapat yang akan diberlakukan dalam satu negara. Rakyat tidak boleh menyelisihi pendapat atau hukum yang sudah ditetapkan khalifah. Seluruh rakyat wajib mentaatinya sehingga perbezaan pendapat tidak ada lagi. Kaedah fikh menyebutkan: Amru al-imam yarfa’u al-khilaf fi al-masa`il al-ijtihadiyah (Perintah Imam/Khalifah menghilangkan perbezaan pendapat dalam masalah-masalah hasil ijtihad/khilafiyah). (M. Khair Haikal, Al-Jihad wa al-Qital fi as-Siyasah al-Syar’iyah, III/1797; M. Shidqi al-Burnu, Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyah, I/268).
Pada dasarnya penetapan khalifah ini tidak berlaku untuk perkara yang termasuk ibadah mahdhah, seperti jumlah rakaat solat tarawih. Rakyat diberi kebebasan atau pilihan untuk mengikuti pendapat hukum sesuai dengan keyakinannya. Namun penetapan khalifah dalam masalah ibadah juga tidak diharamkan. Khalifah boleh sahaja melakukannya, apalagi jika terkait dengan persatuan umat dan kesatuan negara yang wajib dijaga khalifah, penetapan khalifah wajib dilakukan. Jadi, walau hukum dasarnya Khalifah tidak menetapkan (tabanni), namun demi kesatuan umat dan persatuan negara, Khalifah akan menetapkan beberapa hukum ibadah, seperti penentuan waktu ibadah haji, penetapan awal Ramadhan, dan penetapan Aidilfitri dan Aidiladha. (Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur, hal.21).
Dengan demikian, sekalipun penetapan awal dan akhir Ramadhan merupakan masalah khilafiyah, namun khalifah wajib menyatukan dalam bentuk penetapan (tabanni) hukum. Penetapan hukum yang dipilih hendaklah berdasarkan kekuatan dalilnya. Iaitu pendapat jumhur ulama yang mewajibkan penggunaan rukyatul hilal (bukan hisab) yang diberlakukan di seluruh dunia.
Kesimpulan ini sejalan dengan perkataan Wahbah Az-Zuhaili, “Pendapat jumhur inilah yang rajih menurut saya, untuk menyatukan ibadah kaum Muslimin dan mencegah perbezaan pendapat yang tidak dapat diterima lagi di masa sekarang.” (Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, II/610, Ahmad bin Muhammad Shiddiq al-Ghumari, Taujih al-Anzhar li Tauhid al-Muslimin fi al-Shaum wa al-Ifthar, hal.19).
Wallaahu A’lam. []
#rukyatulhilal #AwalRamadhan #AkhirRamadhan #rukyahglobal #hukumfikh #fikihramadhan #marhabanyaramadhan