Visi Kepimpinan Islam
Oleh: Ustaz Irfan Abu Naveed(Penyelidik Balaghah al-Quran & Hadis Nabawiyyah)
Islam adalah dîn yang diturunkan Allah untuk dimenangkan atas setiap agama dan aliran walaupun kaum musyrik membencinya (Surah at-Taubah [9]: 33; Surah ash-Shaff [61]: 9). Islam juga mesti diunggulkan untuk memimpin peradaban dunia, menjaga dunia dari kerosakan sekaligus menjadi rahmat bagi alam semesta (Surah al-Anbiya’ [21]: 107). Kerana itu, adalah relevan bahawa visi besar ini terkandung dalam doa yang Allah ajarkan kepada Rasulullah SAW dalam firman-Nya:
وَقُل رَّبِّ أَدۡخِلۡنِي مُدۡخَلَ صِدۡقٖ وَأَخۡرِجۡنِي مُخۡرَجَ صِدۡقٖ وَٱجۡعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلۡطَٰنٗا نَّصِيرٗا ٨٠
Katakanlah (Muhammad), “Tuhanku, masukkanlah aku dengan cara masuk yang benar, dan keluarkan pula aku dengan cara keluar yang benar, serta berikanlah kepada diriku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong (agama ini).” (TMQ al-Isra’ [17]: 80).
Ayat ini turun berkenaan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Yathrib (Al-Madînah al-Munawwarah). Dari Ibn ‘Abbas ra., “Dahulu Rasulullah SAW di Mekah, lalu diperintahkan untuk berhijrah, dan turunlah ayat tersebut (Surah al-Isra’ [17]: 80).” (HR Ahmad dan l-Hakim).
Ini menunjukkan bahawa dakwah pada hakikatnya memerlukan pertolongan Allah SWT. Ini digambarkan dalam untaian doa tersebut. Rasulullah SAW berdoa memohon pertolongan-Nya ketika keluar dari Kota Mekah sehingga sampai ke Kota Madinah (Yathrib). Ibn ‘Abbas ra., al-Hasan ra. dan Qatadah ra. mentafsirkan bahawa yang dimaksudkan mudkhala shidq[in] adalah masuk ke Kota Madinah dan mukhraja shidq[in] adalah keluar dari Kota Mekah. Al-Dhahhak ra. menafsirkan, iaitu keluar dari Kota Mekah dalam keadaan selamat daripada gangguan kaum musyrik, kemudian memasuki semula Kota Mekah sebagai pemenang dalam Peristiwa Fath Makkah.
Peristiwa hijrah bahkan berlaku dalam situasi yang sangat genting. Keadaan tegang ini telah timbul jauh sebelum Rasulullah SAW diizinkan dan diperintahkan berhijrah ke Madinah. Ia bermula dengan ketegangan desakan daripada kaum kafir Quraisy kepada Rasulullah SAW dan dakwahnya yang terus meningkat. Ini berlaku selepas kematian dua pendukung utama Rasulullah SAW, iaitu Ummul Mukminin, Sayyidah Khadijah ra., dan bapa saudaranya, Abu Talib. Kemudian diikuti oleh penolakan keji Bani Tsaqif di Tha’if dan penolakan pelbagai kabilah. Mereka menolak kesempatan agung menjadi pengemban, penyokong dan pelindung dakwah baginda. Masanya telah tiba, Allah memerintahkan Rasulullah SAW dan umat Islam untuk berhijrah ke Madinah. Baginda menyediakan era baharu untuk tegaknya kepimpinan Islam, Daulah Islam, di Madinah. Itulah wilayah yang paling sesuai menjadi titik permulaan bagi tamadun Islam yang mendunia. Benarlah, di sebalik setiap kesulitan ada pelbagai kemudahan.
Allah SWT mempersiapkan generasi terbaik yang layak untuk menjadi pengemban dan pelindung dakwah Islam, iaitu gabungan kelompok Muhajirin dan Ansar. Ini kerana risalah agung ini tidak dibawa oleh sesiapa pun melainkan mereka yang layak menerima keagungan risalah ini. Ketinggian martabat mereka di sisi Allah, digambarkan dalam firman-Nya:
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَواْ وَّنَصَرُوٓاْ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ حَقّٗاۚ لَّهُم مَّغۡفِرَةٞ وَرِزۡقٞ كَرِيمٞ ٧٤
“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (TMQ al-Anfal [8]: 74).
Al-‘Allamah asy-Syeikh Ali ash-Shabuni dalam Shafwat at-Tafâsîr (hlm. 516) menafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan alladzîna âwaw ialah kaum Muhajirin, sedangkan nasharû adalah kaum Ansar. Mereka adalah golongan yang disifatkan dengan sifat keutamaan. Satu sama lain saling tolong menolong dan saling mewarisi. Itulah sebabnya Rasulullah SAW mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Keadaan mereka digambarkan dalam syair:
«وجد النبي وصحبُه في يثربٍ # أهلا لهم في نُصرة وأمانِ »
Nabi SAW dan para sahabatnya menemui di Yathrib kaum yang menyambut mereka dengan pertolongan dan keamanan
«آخي النبي مهاجرا بنصيره # ليكون للحق العظيم يدان»
Nabi SAW mempersaudarakan sang Muhajir dengan penolongnya agar kedua-duanya menjadi dua tangan bagi kebenaran yang agung
«فتعانقوا من حول دين محمد # وبدَوا كما يتعانقُ النوران»
Mereka pun saling berpelukan di sekitar Dîn Muhammad SAW Tampaklah mereka seperti dua cahaya yang saling menguatkan.
Ini menunjukkan bahawa tegaknya agama ini memerlukan peranan orang-orang yang mulia, yang perlu dicontohi, bersatu dalam menolong agama-Nya. Al-Imam al-Alusi (w. 1270 H) dalam Rûh al-Ma’ânî (I/92) berkata:
«إِنْ لَمْ تَكُوْنُوْا مِنْهُمْ فَتَشَبَّهُوْا # إِنَّ التَّشَبَّهَ بِالكِرَامِ فَلاح»
“Meskipun kalian tidak seperti mereka, serupailah mereka, kerana sungguh menyerupai orang-orang yang mulia itu keberuntungan.”
Peristiwa hijrah telah membawa kepada kemenangan Rasulullah SAW ke atas kaum musyrikin Quraisy, malah juga kepada tegaknya kekuasaan dan kepimpinan Islam itu sendiri. Demikianlah, sesuai dengan doa penutup yang menegaskan visi kepimpinan dan kekuasaan dalam Islam. Dalam doa itu ada menyeru sulthân[an] nashîr[an], iaitu kekuasaan penolong yang menolong Islam.
Al-‘Allamah Ali ash-Shabuni dalam Shafwat at-Tafâsîr (hlm. 172) mentafsirkan kalimat [ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا ] iaitu: “Maksudnya, ‘Berikanlah kepada diriku dari sisi-Mu kekuatan dan perlindungan, yang dengan itu Engkau menolongku menghadapi musuh-musuh-Mu, dan dengan itu pula Engkau menegakkan agama-Mu.’ Allah pun mengabulkan doa baginda, menolong baginda terhadap musuh-musuhnya, dan meninggikan agama-Nya di atas segala agama.”
Kekuasaan ini dibuktikan dengan kewujudan Khilafah, seperti dalam firman-Nya:
وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ ٥٥
“…dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah Dia redhai untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan, menjadi aman sentosa….” (TMQ an-Nur [24]: 55).
Khilafah yang Allah janjikan dalam ayat agung ini ditegakkan dengan tujuan utama untuk menegakkan agama yang diredhai Allah (Islam). Oleh itu, tidak hairanlah jika ulama besar ahli fikih dan tafsir, Al-Hafizh Abu ’Abdullah al-Qurthubi (w. 671 H), dalam tafsirnya (I/265) menyifatkan Khilafah sebagai asas di antara asas-asas pendukung Islam dan umat Islam:
«وَأَنَّهَا رُكْنٌ مِنْ أَركْاَنِ الدِّيْنِ الَّذِيْ بِهِ قَوَّامُ الْمُسْلِمِيْنَ»
Ia (kepimpinan Islam) merupakan asas dari asas-asas agama ini, yang dengan itu berdiri menyokong kaum Muslim.
Sejarah membuktikan terkabulnya doa sulthân[an] nashîr[an]. Seperti yang diisyaratkan oleh al-Imam al-Hasan al-Bashri (w. 110 H), ”Tuhannya telah menjanjikan kepada dirinya bahawa Dia benar-benar akan mencabut kekuasaan dan kejayaan Parsi, kemudian menjadikan kekuasaannya di bawah kekuasaan Rasulullah SAW (umat Islam). Sama seperti Dia mencabut kekuasaan dan kejayaan Rom, kemudian menjadikan kekuasaan itu miliknya.”
Buktinya ialah dua empayar besar pada masa itu—Parsi ( فارس ) dan Rom ( الروم )—dirampas dari tangan mereka. Allah telah menyerahkan kedua-duanya ke tangan umat Islam. Janji ini terbukti nyata semasa Khilafah Rasyidah. Kekuasaan Parsi runtuh pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ra. (dengan kemenangan besar di Qadisiyah dan Nahawand). Kekuasaan Rom Timur (Byzantium) menjadi lemah dan sebahagian wilayahnya jatuh ke tangan umat Islam, bermula dari zaman Rasulullah SAW (Perang Mu’tah dan Tabuk) dan kemuncaknya pada zaman Khulafaur Rasyidin. Ia relevan apabila pengajaran doa agung di atas diikuti firman-Nya:
وَقُلۡ جَآءَ ٱلۡحَقُّ وَزَهَقَ ٱلۡبَٰطِلُۚ إِنَّ ٱلۡبَٰطِلَ كَانَ زَهُوقٗا ٨١
”Katakanlah, “Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap.” Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap”. (TMQ al-Isra’ [17]: 81).
WalLâhu a’lam.
Sumber : Alwaie
#nafsiyah #visikepimpinan #kepimpinanislam #visikemenanganislam #islam #kemenanganhakiki