Islam Adalah Tolok Ukur Tingkah Laku Manusia
Pemikiran-pemikiran Islam merupakan sekumpulan pemahaman (mafâhîm), bukan sekadar informasi untuk diketahui belaka. Maksud pemahaman (mafâhîm) adalah bahawa pemikiran itu menunjukkan kepada sesuatu yang faktual (madlûlât wâqi’ah) di dalam kehidupan, bukan sekadar penjelasan atas hal-hal yang keberadaannya diperlukan oleh logik abstrak sahaja.
Mafâhîm itu boleh berupa konsep mendalam yang memerlukan kecemerlangan berfikir (istinârah) untuk memahaminya, atau berupa hal-hal yang jelas yang dapat difahami dengan mudah. Baik faktanya dapat dilihat secara langsung seperti pemecahan masalah (al-mu’âlajât), pemikiran, dan pandangan yang bersifat umum; mahupun fakta yang bersifat ghaib, seperti malaikat, syurga, dan neraka, tetapi pihak yang menyampaikannya kepada kita telah dipastikan kebenarannya oleh akal melalui deria kita.
Mafâhîm tersebut berfungsi sebagai panduan atau tolok ukur (dhawâbith) bagi perilaku manusia di kehidupan dunia ini dan menuju kehidupan akhirat, yang datang sebagai petunjuk, rahmat dan pelajaran, serta datang sebagai pemecahan (solusi) atas perbuatan-perbuatan manusia dan penentu cara melaksanakannya. Dan jika kita menelusuri mafâhîm ini di dalam nas-nas yang merupakan sumber lahirnya mafâhîm tersebut, kita akan dapati bahawa semuanya, tanpa terkecuali, datang dalam bentuk ini dan terhad kepada aspek ini sahaja.
Jadi, nas-nas Al-Quran dan Sunnah, baik secara manthûq-nya (iaitu apa yang ditunjukkan oleh lafaz kalimat), mafhûm-nya (iaitu apa yang ditunjukkan oleh makna kalimat), mahupun dalâlah-nya (iaitu apa yang dituntut oleh makna kalimat), semuanya terbatas dalam satu bingkai saja, iaitu akidah serta hukum-hukum yang terpancar daripadanya dan pemikiran-pemikiran yang dibangun di atasnya, dan tidak ada hal lain selain ini.
Atas dasar itu, menjadi suatu kewajipan bagi seorang Muslim untuk menyedari bahawa di dalam nas-nas syariat, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, kedua-duanya bertujuan untuk diamalkan dan khusus untuk tingkah laku seseorang dalam kehidupan.
Sumber: “Al-Fikr al-Islâmiy” – Muhammad Muhammad Ismail
#MuslimIdeal #MafahimIslamiyah #tingkahlaku #pemikiranislam