Agar Puasa Mewujudkan Takwa Yang Sempurna
Alhamdulillah, kita telah berada pada Bulan Ramadhan 1447 H. Ramadhan adalah bulan yang senantiasa dirindukan. Bulan yang selalu diharap-harapkan kedatangannya. Bulan yang bahkan telah ditunggu-tunggu kehadirannya jauh lebih awal sebelumnya. Sudah tentu oleh sesiapa sahaja yang beriman, yang meyakini keutamaan dan keistimewaannya. Sekurang-kurangnya, begitulah sikap generasi Muslim terdahulu. Imam Ibnu Rejab al-Hanbali, menukilkan kenyataan Mu’alla bin al-Fadhl, menggambarkan betapa kerinduan mereka terhadap Ramadhan sangat luar biasa. Dikatakan:
كَانُوا يَدْعُونَ اللَّهَ تَعَالَى سِتَّةَ أَشْهُرٍ أَنْ يُبَلِّغَهُمْ رَمَضَانَ، وَيَدْعُونَهُ سِتَّةَ أَشْهُرٍ أَنْ يَتَقَّبَّلَ مِنْهُمْ.
Mereka (generasi dulu) biasa berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadhan. Mereka juga berdoa enam bulan berikutnya agar amal-amal mereka diterima (Ibnu Rejab, Lathâ-if al-Ma’ ârif, 1/58).
Kerinduan generasi Muslim dulu yang luar biasa terhadap Bulan Ramadhan tentu didasarkan pada sejumlah keterangan daripada Baginda Rasulullah SAW tentang keutamaan bulan tersebut. Di antaranya, sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnu Rejab al-Hanbali, adalah Hadis Nabi SAW yang menyatakan:
لَوْ يَعْلَمُ الْعِبَادُ مَا فِي رَمَضَانَ لَتَمَنَّتْ أُمَّتِي أَنْ يَكُونَ رَمَضَانُ سَنَةً كُلَّهَا
“Andai hamba-hamba Allah SWT tahu keutamaan yang ada pada Bulan Ramadhan, umatku pasti berangan-angan agar Ramadhan itu terjadi sepanjang tahun.” (HR Ibnu Abi ad-Dunya; Ibnu Rejab, Lathâ-if al-Ma’ ârif, 1/58).
Rasulullah SAW pun pernah menyampaikan khabar gembira kepada para Sahabat:
أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ. فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ. تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةَ، وَتُغَلَّقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ، وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ. لِلَّهِ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ
“Telah datang kepada kalian bulan yang diberkati (Ramadhan). Allah telah mewajibkan atas kalian puasa di dalamnya. Pada Bulan Ramadhan pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu Neraka Jahim ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. Di sisi Allah ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Siapa sahaja yang terhalang daripada kebaikannya, sungguh dia merugi.” (HR Ahmad dan an-Nasa’i).
Sebahagian ulama menyatakan hadis di atas sebagai dasar sebahagian orang mengucapkan tahniah (selamat) kepada sebahagian yang lain kerana kedatangan Bulan Ramadhan. Bagaimana seorang Muslim tidak bergembira dengan pintu-pintu syurga yang dibuka? Bagaimana seorang pendosa tidak bergembira kerana pintu-pintu neraka ditutup? Bagaimana pula orang berakal tidak bergembira tatkala syaitan-syaitan dibelenggu? (Ibnu Rejab, Lathâ-if al-Ma’ ârif, 1/58).
Sebab itulah Baginda Rasulullah SAW juga selalu merindukan untuk berjumpa dengan Ramadhan. Sehinggakan Baginda mula berdoa sejak memasuki awal Bulan Rejab dengan doa:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
“Ya Allah, berkahilah kami pada Bulan Rejab dan Bulan Syaaban, serta sampaikanlah ke Bulan Ramadhan.” (Ibnu Rejab, Lathâ-if al-Ma’ ârif, 1/58).
Tidak hanya dirindukan oleh Baginda Rasulullah SAW para Sahabat dan kaum Muslim yang hidup, bahkan Imam Ibnu al-Jauzi berani bersumpah bahawa Ramadhan pun amat dirindukan oleh mereka yang sudah meninggal. Dikatakan oleh beliau:
تَاللهِ لَوْ قِيْلَ لِأَهْلِ الْقُبُوْرِ تَمنَّوْا لَتَمَنَّوُا يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ
Demi Allah, andai dikatakan kepada penghuni kubur, “Berangan-anganlah kalian!” nescaya mereka berangan-angan agar dapat berjumpa dengan Ramadhan walaupun hanya satu hari sahaja (Ibnu al-Jauzi, At-Tabshirah, 2/78).
Ramadhan dan Ketakwaan
Ramadhan selalu hadir membawa harapan. Harapan akan pengampunan, perubahan dan kebangkitan jiwa menuju ketakwaan. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan atas kalian berpuasa, sebagaimana puasa itu pernah diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian, agar kalian bertakwa.” (TMQ al-Baqarah [2]: 183).
Takwa yang Allah SWT harapkan daripada seorang Muslim tentu bukan takwa sesaat. Bukan takwa bermusim. Bukan takwa yang hidup sepanjang Ramadhan, namun padam setelah Ramadhan berakhir. Yang diminta adalah takwa yang terus menyala hingga akhir hayat kita. Yang dituntut adalah takwa yang sebenarnya. Takwa yang sempurna. Demikian sebagaimana yang Allah SWT firmankan:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benarnya ketakwaan, dan janganlah sekali-kali kalian mati melainkan dalam keadaan Muslim.” (TMQ Ali ‘Imran [3]: 102).
Apa Itu Takwa?
Para Sahabat memiliki pemahaman mendalam tentang takwa. Di antara definisi indah tentang takwa adalah yang dinisbatkan kepada Imam Ali bin Abi Thalib ra.:
التَّقْوَى: الخَوْفُ مِنَ اْلجَلِيْلِ؛ وَالْعَمَلُ بِالتَّنْزِيْلِ؛ وَالْقَنَاعَةُ بِالْقَلِيْلِ؛ وَاْلإِسْتِعْدَادُ لِيَوْمِ الرَّحِيْلِ
Takwa itu adalah: (1) Memiliki rasa takut kepada Zat Yang Maha Agung [Allah SWT]); (2) Mengamalkan apa yang telah Allah turunkan [al-Quran]); (3) Merasa cukup dengan [harta] yang sedikit); (4) Mempersiapkan bekal [amal] untuk menghadapi Hari Penggiringan [Hari Kiamat]) (Muhammad Shaqr, Dalîl al-Wâ’izh, 1/546).
Salah satu tanda takwa di atas adalah mengamalkan al-Quran. Sudah tentu secara keseluruhan. Bukan hanya sebahagian. Allah SWT berfirman:
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ، فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ، وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
“Apakah kalian mengimani sebahagian al-Kitab dan mengingkari sebahagian yang lain? Tidak ada balasan bagi siapa sahaja yang melakukan tindakan demikian, kecuali kehinaan dalam kehidupan di dunia, sementara di akhirat dia dilemparkan ke dalam azab yang sangat keras. Allah tidak lengah terhadap apa sahaja yang kalian kerjakan.” (TMQ al-Baqarah [2]: 85).
Tidak ada hak bagi seorang Muslim untuk membezakan hukum-hukum Allah. Semua wajib ditaati. Tidak boleh hanya menerima hukum shaum dan solat sahaja; tetapi menolak hukum Allah dalam muamalah; politik/pemerintahan, ekonomi, pendidikan atau kehidupan sosial; termasuk hudûd. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh syaitan itu adalah musuh nyata bagi kalian.” (TMQ al-Baqarah [2]: 208).
Agar Puasa Tidak Sia-sia
Ramadhan adalah madrasah takwa. Akan tetapi, shaum Ramadhan boleh menjadi sia-sia belaka jika dijalani tanpa kesungguhan, juga tanpa benar-benar meninggalkan segala dosa dan kemaksiatan. Demikian sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ
“Betapa banyak orang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa-apa dari puasanya kecuali laparnya sahaja…” (HR Ahmad dan Ibn Majah).
Ketika shaum Ramadhan tidak dijalankan dengan penuh kesungguhan, apalagi di dalamnya banyak diwarnai dengan dosa kemaksiatan, maka Allah SWT sama sekali tidak memerlukan shaum yang demikian. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda:
مَن لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ والعَمَلَ بِهِ، فليسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ في أنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وشَرَابَهُ
“Siapa tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta (keji), maka Allah tidak perlu pada usahanya dalam meninggalkan makan dan minumnya.” (HR al-Bukhari).
Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Puasa adalah menahan diri daripada segala maksiat dan dosa. Menahan lisan dari ghibah. Menahan tangan daripada tindakan merugikan orang lain. Menahan diri daripada pelbagai transaksi haram. Menahan hati daripada riya dan hasad. Termasuk menahan daripada melakukan berbagai kezaliman. Salah satu tindakan zalim terbesar adalah ketika manusia—terutama para pemimpin sebagai pemilik kekuasaan—enggan berhukum dengan hukum Allah SWT.
Demikian sebagaimana firman-Nya:
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Siapa yang tidak berhukum dengan wahyu yang Allah turunkan, mereka itulah kaum yang zalim.” (TMQ al-Ma’idah [5]: 45).
Bahkan kita dilarang cenderung—apatah lagi memihak—kepada para pelaku kezaliman. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ
“Janganlah kalian condong kepada orang-orang zalim sehingga kalian disentuh api neraka.” (TMQ Hud [11]: 113).
Sebaliknya, takwa yang sempurna menuntut kita agar berlaku adil dan berpihak pada keadilan. Demikian sebagaimana yang Allah firmankan:
إِنَّ اللّٰهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kita) berlaku adil, berbuat kebajikan, memberi kepada kerabat; serta melarang dari perbuatan keji, mungkar dan zalim.” (TMQ an-Nahl [16]:90).
Penutup
Alhasil, mari kita isi Bulan Ramadhan dengan pelbagai amal kebajikan, selain shaum dan solat tarawih. Di antaranya: memperbanyakkan membaca, menghafal dan mengamalkan al-Quran; menghadiri majlis-majlis ilmu; banyak bersedekah; meningkatkan kepedulian kepada sesama; menggiatkan dakwah Islam; dan makin bersemangat memperjuangkan syariah-Nya agar dapat diterapkan dalam seluruh aspek kehidupan kita.
Jangan lupa, tinggalkan segala dosa. Baik dosa kepada Allah SWT mahupun dosa kepada sesama manusia. Baik dosa besar mahupun dosa kecil yang sering dianggap tak seberapa. Semoga dengan itu Allah SWT menjadikan kita hamba-hamba yang benar-benar bertakwa.
WalLâhu a‘lam bi ash-shawâb. []
—*—
Hikmah:
Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ، فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ…
“Setiap amal anak Adam adalah untuk dirinya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk Diri-Ku dan Aku pula yang akan langsung memberikan balasannya.” (HR al-Bukhari). []
Sumber: Buletin Dakwah Kaffah – Edisi 433
#Puasa #Ramadhan #Takwa #HakikatTakwa