Menyusun Prioriti Amal Soleh Ketika Ramadhan
Penulis: Arini Retnaningsih
Kedatangan Ramadhan setiap tahun merupakan sesuatu yang sangat dinantikan oleh umat Islam. Bulan di mana ganjaran pahala berlipat ganda, pengampunan disebarkan, dan rahmat Allah dicurahkan.
Memang, dalil yang menyatakan tentang dilipatgandakannya pahala ketika Ramadhan, masih diperdebatkan oleh para ulama dari segi kesahihan sanadnya. Namun, berdasarkan dalil-dalil lain, para ulama tidak menafikannya. Contohnya, pahala umrah pada bulan Ramadhan disamakan dengan pahala haji. Rasulullah SAW bersabda, “Jika datang bulan Ramadhan, lakukanlah umrah, kerana pahala umrah itu sama dengan pahala mengerjakan haji.” Dalam riwayat muslim, “Sama dengan pahala menunaikan haji bersamaku.” (HR Imam al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256))
Dengan demikian, Ramadhan menjadi bulan menuai pahala, bulan di mana kita boleh melabur sebanyak mungkin untuk kebahagiaan akhirat dengan meningkatkan amalan-amalan soleh.
Amalan soleh yang dimaksudkan bukan sekadar solat atau tilawah Al-Quran (sebagaimana yang difahami oleh sebahagian masyarakat kita), sebaliknya terdapat banyak bentuk amal soleh lain lagi). Kadangkala kita keliru dalam menentukan keutamaan amalan, mendahulukan yang sunat daripada yang wajib, atau kadangkala bingung memilih antara yang sama-sama wajib atau sama-sama sunat.
Lantas, bagaimanakah kita boleh mengatur keutamaan dan berusaha mendapatkan pahala sebanyak mungkin di bulan Ramadhan?
Beramal Semata kerana Allah
Pertama, kita hendaklah menanamkan dalam diri kita bahawa paradigma beramal adalah semata kerana Allah. Apa pun yang kita lakukan, kita niatkan untuk mendapat redha-Nya. Hal yang Allah redhai bukan sekadar banyaknya amal, melainkan amal yang ahsan (terbaik).
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mulk ayat 2, “Dialah (Tuhan) yang menjadikan kematian dan kehidupan, untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun.”
Ahsanul-amal adalah amal yang dilakukan semata kerana Allah dan sesuai dengan ketentuan syariat. Inilah amal yang Allah terima dan perlu kita jaga agar amal kita selalu berada dalam koridor ini. Ikhlas dan sesuai syariat. Besar atau kecil, sukar atau mudah, semuanya Allah akan perhitungkan selagi ia memenuhi ketetapan ini.
Allah berfirman dalam surah Al-Zalzalah ayat 7—8, “Maka barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”
Mengoptimumkan yang Fardhu
Perkara-perkara fardhu adalah perkara yang Allah wajibkan atas kaum muslim. Di samping puasa, kita hendaklah memperelokkan solat lima waktu yang difardhukan. Oleh sebab itu, menunaikan solat dengan khusyuk, memperpanjang bacaan surah, memperpanjang rukuk dan sujud, perlu kita usahakan untuk mendapatkan pahala yang sempurna.
Bagi perempuan, amalan fardhu yang perlu diperhatikan juga ialah kedudukannya sebagai anak bagi yang belum berkahwin, juga sebagai isteri dan ibu bagi yang telah berkahwin. Ramadhan menjadi momen yang tepat bagi kita untuk memperbaiki kualiti bakti kita kepada ibu bapa atau suami. Begitu juga para ibu, hendaklah mengoptimumkan usaha pengasuhan dan pendidikan anak-anak, contohnya dengan mengajar anak berpuasa, solat, mengaji, menanamkan akidah, dan membangkitkan semangat dakwah mereka.
Ibadah fardhu juga mencakup pembayaran zakat bagi yang mampu. Menunaikan zakat saat Ramadhan akan melipatgandakan pahala yang kita dapat dibandingkan bulan-bulan lainnya.
Menuntut ilmu juga merupakan hal yang difardhukan dalam agama. Rasulullah SAW bersabda, “Menuntut ilmu itu wajib atas setiap muslim.” (HR Ibnu Majah dari Anas ra.).
Menuntut ilmu—terutama ilmu agama—boleh menjadi medium untuk mendatangkan pahala yang besar di sisi Allah. Dalam hal ilmu agama, cakupannya sangat luas, bermula dari akidah, fikih, akhlak, hingga sistem sosial, politik, dan pemerintahan. Malah, mempelajari ilmu politik dan pemerintahan Islam sangat penting pada masa kini dalam usaha penerapan ajaran Islam secara menyeluruh.
Selain itu, amal fardhu yang tidak boleh kita abaikan adalah amar makruf nahi mungkar dan dakwah. Di tengah keadaan umat yang terus diserang pemikiran-pemikiran asing yang bertentangan dengan Islam, dakwah menjadi aktiviti yang wajib diemban oleh setiap muslim agar kemurnian dan kemuliaan Islam terus terjaga. Insyaallah, dakwah dalam rangka menegakkan agama Allah saat Ramadhan akan menjadi sebuah perjuangan dengan pahala yang besar di sisi-Nya.
Memperbanyak Amalan Sunnah
Dengan pahala berlipat ganda yang Allah janjikan, hanya mencukupkan dengan amal fardhu rasanya sungguh rugi. Jadi, peluang menanam pahala ini mesti kita manfaatkan sebaik-baiknya, sehingga amalan-amalan sunnah kita perbanyakkan semampu yang dapat kita kerjakan.
Ibadah sunnah ketika Ramadhan yang diutamakan adalah qiyamur-Ramadhan atau yang lebih kita kenal dengan Tarawih, juga tadarus Al-Quran. Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang melakukan qiyam Ramadhan dilandasi oleh keimanan dan dalam rangka mencari redha Allah, maka diampuni dosa-dosa yang telah dilakukannya.” (HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud, An-Nasai, dan Tirmidzi).
“Sebaik-baik ibadah umatku adalah membaca Al-Quran.” (HR al-Baihaqi).
Walau bagaimanapun, masih banyak amalan sunnah lain yang dapat kita lakukan ketika Ramadhan, seperti berzikir, memperbanyak doa, mempelajari tafsir dan isi kandungan Al-Quran; serta mengkaji tsaqafah-tsaqafah Islam, seperti fikih, hadis, dan sebagainya.
Selain itu, terdapat juga amalan-amalan sunnah yang berkaitan dengan orang lain. Misalnya, Rasulullah SAW menjanjikan pahala besar bagi orang yang memberikan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, memerintahkan untuk memperbanyak sedekah, meringankan beban orang lain, menyambungkan tali silaturahmi, menyantuni anak yatim dan orang miskin, serta memperbagus akhlak dan menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan keji.
Masalahnya saat ini, apabila berlaku pembenturan antara sesuatu amal dengan amal yang lain, amal mana yang perlu kita dahulukan?
Kaedah Menentukan Prioriti (Keutamaan)
Sering kali kita berada dalam dilema dalam melaksanakan amalan-amalan Ramadhan. Kita tentu berharap dapat banyak membaca Al-Quran. Namun, kita juga perlu menyiapkan bahan dakwah dan mengisi kajian. Atau kita sebagai ibu juga perlu mengurus anak-anak, menyiapkan makanan mereka, hingga menyelesaikan urusan rumah tangga.
Keadaan ini kadang-kadang membuat kita tidak dapat mencapai sasaran, contohnya khatam Al-Quran satu juz. Malah tidak sedikit antara kita yang sedih dengan keadaan ini dan merasa tidak mampu melaksanakan ibadah Ramadhan dengan optimum. Lebih-lebih lagi di sepuluh hari terakhir di mana amalan-amalan kita mendapat ganjaran pahala yang berlimpah.
Pada dasarnya, agar kita dapat menentukan keutamaan amal, kita sendiri perlu mampu membezakan mana amal wajib, mana sunat, dan mana yang mubah. Amal wajib hendaklah didahulukan daripada amal sunat, dan yang sunat didahulukan daripada yang mubah.
Dakwah adalah amal yang wajib hukumnya. Oleh kerana itu, membaca kitab mempersiapkan bahan-bahan dakwah atau menulis bahan terkait isu atau permasalahan agama dalam rangka menyampaikan nasihat kepada umat, juga merupakan aktiviti wajib. Aktiviti ini perlu kita dahulukan daripada aktiviti sunnah, seperti membaca Al-Quran ketika waktu kita tidak memungkinkan untuk melaksanakan keduanya. Apabila memungkinkan, optimumkanlah keduanya.
Begitu juga mengurus ibu bapa yang sakit, suami, atau anak, wajib hukumnya. Jika kerana kesibukan melaksanakan kewajipan ini menyebabkan kita “terhalang” daripada melakukan aktiviti yang sunat, seperti iktikaf di masjid, insyaallah kita tetap mendapat pahala yang besar daripada pelaksanaan kewajipan ini.
Jika berlaku pembenturan antara amalan yang sama hukumnya, seperti wajib dengan wajib, atau sunat dengan sunat, maka kita perlu menilai keadaan yang ada. Jika terdapat dalil yang menerangkannya, kita berpegang kepada dalil tersebut. Contohnya, membaca Al-Quran dan berdoa.
Allah SWT berfirman, “Siapa saja yang disibukkan dengan membaca Al-Quran, hingga tidak sempat zikir yang lain kepada-Ku dan meminta kepada-Ku, maka Aku akan memberinya balasan terbaik orang-orang yang meminta. Ingatlah, keutamaan Al-Quran atas kalimat-kalimat yang lain seperti keutamaan Allah atas makhluk-Nya.” (HR Al-Baihaqi).
Namun, dalam keadaan tiada dalil, kita boleh mempertimbangkan pelbagai keadaan untuk menetapkan keutamaan, tetapi sebaiknya kita tetap berusaha agar semua amalan dapat berjalan sebaik-baiknya tanpa ada yang perlu ditinggalkan. Hanya masanya sahaja yang kita atur sedemikian rupa.
Contohnya, dalam keadaan kita mempunyai anak kecil yang masih perlu dijaga, maka menjaganya adalah kewajipan. Dalam keadaan anak kita sakit, kita boleh menjaganya sambil menunaikan solat sunat Tarawih di rumah atau bertadarus. Atau jika tidak memungkinkan, sekurang-kurangnya kita masih boleh sambil berzikir, berselawat, dan beristighfar. InsyaAllah semua ini akan mendatangkan pahala bagi kita, malah ketika menjaga anak kita kerana ini adalah kewajipan seorang ibu.
Dengan paradigma bahawa semua amalan boleh kita niatkan sebagai ibadah kepada Allah, tentu kita tidak perlu resah dan sedih tatkala orang lain mengejar pahala Ramadhan dengan solat dan tilawah Al-Quran, terutamanya di saat sepuluh hari terakhir Ramadhan, sedangkan kita sebaliknya disibukkan dengan mencari ilmu, dakwah, mengurus anak, dan lain-lain.
Demikianlah amalan-amalan soleh ketika Ramadhan yang sepatutnya kita perbanyakkan dalam melakukannya. Jangan sampai kita merasa cukup hanya dengan berpuasa dan malah terlepas momen berharga, iaitu pada saat semua pahala “diberikan dengan berlimpah” berserta pelbagai bonusnya. Sungguh rugi jika kita melepaskannya begitu sahaja. Wallahualam bissawab.
#amalanramadhan #kewajipan #amalansunnah #PrioritiAmalan #puasa #Ramadhan