Amul Huzni
Penulis: Ustazah Rindyanti Septiana
Pada tahun kesepuluh kenabian (sekitar 619 Masihi), isteri Nabi SAW, Khadijah binti Khuwailid, dan bapa saudaranya, Abu Thalib wafat. Ibnu Sa’ad berkata di dalam Thabaqat-nya, selisih waktu antara wafatnya Khadijah dan Abu Thalib hanya satu bulan lima hari.
Sebelumnya, Ibunda Khadijah RA adalah orang yang selalu menghibur dan membesarkan hati Nabi SAW ketika menghadapi masalah-masalah berat dalam dakwah. Sementara itu, Abu Thalib telah memberikan sokongan kepada Nabi SAW dalam menghadapi kaumnya.
Ibnu Hisyam berkata, “Setelah Abu Thalib meninggal, kaum Quraisy bertambah bebas melancarkan penyeksaan kepada Rasulullah SAW, sehinggakan orang awam Quraisy pun berani melemparkan kotoran ke atas kepala Rasulullah SAW, bahkan pernah Rasulullah pulang ke rumah berlumuran tanah. Melihat situasi tersebut, salah seorang puteri baginda bangkit membersihkan kotoran dari atas kepalanya sambil menangis. Namun, Rasulullah SAW berkata kepadanya, ‘Janganlah engkau menangis wahai anakku, sesungguhnya Allah akan menolong Bapamu.’” (HR Ibnu Ishaq, Tarikhuth Thabari, 2/344).
Para ahli sirah nabawiyah seperti Syeikh Shafiyurrahman al-Mubarakpuri dalam Ar-Raheeq al-Makhtum mencatatkan bahawa tahun ke-10 kenabian adalah fasa paling kritikal bagi dakwah Islam di Mekah.
Puncak Kesedihan
Amul huzni bermaksud tahun kesedihan atau tahun duka. Kesedihan Nabi SAW semakin memuncak ketika Baginda cuba mencari perlindungan dakwah ke kota Thaif. Baginda berharap bani Tsaqif mahu menerima Islam sebagai ganti Mekah yang semakin memusuhi baginda. Namun, apa yang terjadi?
Bukan sambutan hangat yang diterima, melainkan penghinaan yang lebih kejam. Para pemimpin Thaif mengusir Nabi SAW dan menyuruh anak-anak kecil serta para hamba untuk melemparkan Nabi dengan batu di sepanjang jalan. Darah segar mengalir dari kepala hingga membasahi terompah (sandal) Nabi SAW.
Zaid bin Haritsah yang berusaha melindungi Nabi pun turut tercedera parah. Nabi kemudian berlindung di sebuah kebun anggur dan di sanalah baginda memanjatkan doa yang sangat menyayat hati, yang dikenali sebagai doa pengaduan Nabi SAW,
“Ya Allah, kepada-Mu aku mengadukan kelemahan kekuatanku, kekurangan siasatku, dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai Zat Yang Paling Penyayang, Engkau adalah Rabb orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Rabb-ku. Kepada siapa Engkau hendak menyerahkan aku? Kepada orang jauh yang membenciku, atau kepada musuh yang Engkau berikan kuasa atasku? Asalkan Engkau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli.” (HR Thabrani).
Doa ini menunjukkan tahap kepasrahan sepenuhnya seorang hamba pada Rabbnya.
Penduduk Mekah menolak dakwah Nabi, penduduk Thaif pun mengusir, isteri baginda wafat, dan bapa saudara yang melindungi dakwah Nabi telah tiada. Pada titik terendah kesedihan itulah, Allah SWT menjawab doa kekasih-Nya. Ketika penduduk bumi menolak dan menghinakan Nabi SAW, Allah mengundang penduduk langit untuk menyambut dan memuliakannya.
Allah ingin menunjukkan, “Wahai Muhammad, jika bumi ini sempit bagimu, naiklah ke langit-Ku yang luas.” Terjadilah peristiwa Israk (perjalanan malam dari Mekah ke Palestin) dan Mikraj (naik ke Sidratul Muntaha).
Allah SWT berfirman, “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) KamI.” [TMQ Al-Isra (17): 1]
Dalam kitab Fiqh as-Sirah, Syeikh Al-Buthi menjelaskan bahawa Israk Mikraj adalah bentuk tasliyah Rabbaniyah, iaitu hiburan ketuhanan.
Beberapa Ibrah
Sudah menjadi ketentuan Ilahi bahawa Nabi SAW perlu kehilangan orang-orang yang secara lahiriyah melindungi dan mendampinginya, iaitu Abu Thalib dan Khadijah RA. Perkara ini untuk menampakkan dua hakikat penting.
Pertama, sesungguhnya perlindungan, pertolongan dan kemenangan itu hanya datang dari Allah SWT. Allah SWT telah berjanji untuk melindungi Rasul-Nya dari kaum musyrik dan musuh-musuhnya. Oleh kerana itu, dengan atau tanpa pembelaan manusia, Nabi SAW tetap akan dijaga dan dilindungi oleh Allah SWT. Dakwah Nabi pun akhirnya mencapai kemenangan.
Saat ini para pejuang Islam yang sedang berusaha mengembalikan kehidupan Islam di muka bumi akan meraih kemenangan. Allah SWT akan melindungi dan menolong mereka seperti halnya yang terjadi pada Nabi SAW kerana para pejuang Islam mengikuti aktiviti yang dilakukan oleh Nabi SAW.
Kedua, ‘ishmah (perlindungan dan penjagaan) di sini tidak bermaksud terhindar daripada gangguan, penyeksaan atau penindasan. Namun, maksudnya adalah ‘ishmah (perlindungan) yang dijanjikan Allah SWT dalam firman-Nya, “Allah melindungi dari (gangguan) manusia.” [TMQ Al–Maidah (5): 67]
Sudah menjadi ketetapan Ilahi bahawa para Nabi dan Rasul-Nya perlu merasakan aneka ragam gangguan dan penyeksaan. Firman-Nya, “Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu. Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu.” [TMQ Al-Hijr (15): 94—95]
Dengan demikian, para pejuang Islam pada setiap zaman akan menganggap ringan segala bentuk dugaan berat yang ditemui di jalan dakwah. Nabi SAW berjaya dalam dakwahnya dengan melalui penderitaan atau perjuangan berat. Sesungguhnya kaum muslim sesudahnya juga dapat melalui hal yang sama di jalan dakwah. Hal ini tidak akan melemahkan semangat perjuangan mereka. Di saat semua pintu bumi tertutup, pintu langit selalu terbuka.
Sumber: https: Muslimahnews.net
#amulhuzni #sirah #ibrahsirah #muhasabahperjuangan #1ummah1perjuangan