Ramadhan dan Kemenangan Gemilang Perang Badar al-Qubra
Penulis: Nabila Ummu Anas
Beberapa hari memasuki bulan Ramadhan tahun ke-2 H, Rasulullah SAW keluar menuju medan perang bersama sekitar 330 orang sahabatnya. Baginda SAW mengangkat Amru bin Umi Maktum untuk menjadi imam solat dan mengangkat Abu Lubabah untuk menguruskan pemerintahan di Madinah.
Nabi SAW menyerahkan al-liwa’ (bendera) kepada Mush’ab bin Umair. Sedangkan di hadapan baginda terdapat dua ar-rayah (panji) yang keduanya berwarna hitam. Salah satu ar-rayah dipegang Ali bin Abi Thalib. Sementara itu, yang satunya lagi dipegang oleh salah seorang dari kaum Ansar.
Ketika itu, unta yang tersedia untuk para sahabat sebanyak 70 ekor sehingga mereka saling bergantian menungganginya.
Rasulullah SAW juga menetapkan pasukan pengintip yang selalu berada di sisinya. Ketika mendekati Badar, Rasululllah SAW mengutuskan Basbas bin Amru dan Adi bin Abi az-Zaghba’ ke Badar untuk mengintai tempat tersebut sebelum Nabi SAW dan pasukannya sampai ke sana.
Kesetiaan dan Pengorbanan di Jalan Allah
Rasulullah SAW ingin mengetahui sejauh mana kesediaan para sahabatnya, baik daripada Muhajirin mahupun Ansar untuk berkorban. Kaum Ansar, yang telah membaiat Rasulullah SAW untuk senantiasa menjaga dan melindungi baginda, melaksanakan janji tersebut dengan penuh kesungguhan, sebagaimana mereka menjaga dan melindungi anak-anak serta isteri mereka.
Rasulullah SAW mengumpulkan masyarakat dan memberitahu tentang keluarnya orang-orang kafir Quraisy untuk menyerang mereka. Nabi SAW meminta pendapat mereka tentang cara menghadapi kaum kafir Quraisy. Miqdad bin Amru tampil berbicara, membangkitkan semangat kaum muslim yang diliputi kegelisahan menghadapi dahsyatnya kekuatan Quraisy.
Miqdad berkata, “Wahai Rasulullah, teruslah laksanakan apa yang dititahkan Allah dan kami akan bersamamu. Demi Allah, kami tidak akan berkata seperti apa yang dikatakan Bani Israil kepada Nabi Musa, ‘Pergilah kamu bersama Tuhanmu dan berperanglah’, sedangkan kami akan mengatakan kepadamu, ‘Pergilah Engkau bersama Tuhanmu dan berperanglah, dan kami ikut berjuang di sampingmu’. Demi Zat yang telah mengutus engkau membawa kebenaran! Seandainya engkau membawa kami melalui lautan lumpur, kami akan berjuang bersamamu dengan tabah hingga mencapai tujuan.”
Kata-kata Miqdad mengalir tajam laksana anak panah, menembus hati orang-orang mukmin. Wajah Rasulullah SAW juga berseri-seri sambil mendoakan kebaikan untuknya. Semangat Miqdad segera menyebar, membangkitkan semangat pasukan muslim sehingga ucapannya memberi impak positif bagi seluruh barisan.
Sa’ad bin Muadz, pemuka kaum Ansar berkata, “Ya Rasulullah, sungguh, kami telah beriman kepadamu, membenarkanmu dan menyaksikan bahawa apa yang engkau bawa adalah benar. Kami juga sudah bersumpah setia kepadamu. Kerana itu, majulah wahai utusan Allah, kami akan bersamamu. Demi Zat yang telah mengutusmu membawa kebenaran, seandainya engkau membawa kami ke lautan, lalu engkau mengharungi lautan itu, tentu kami juga akan mengharunginya. Tidak seorang pun akan berpaling. Kami akan bersamamu berperang melawan musuh. Kami adalah orang-orang yang gagah berani dalam peperangan, tidak gentar menghadapi musuh. Allah akan memperlihatkan kepadamu semangat kami dalam peperangan yang akan berkenan di hatimu. Kerana itu, maju terus, kami akan bersamamu. Berkat Allah akan bersama kita.“
Rasulullah SAW sangat gembira dan bersabda, “Berangkatlah dan bergembiralah!” Sesungguhnya Allah telah berjanji kepadaku salah satu dari dua kelompok, Demi Allah, sepertinya aku sekarang sedang melihat perjuangan suatu kaum!”.
Mencari Berita tentang Musuh
Sebelum memasuki peperangan, Rasulullah SAW terlebih dahulu melakukan pengintipan terhadap musuh untuk mengetahui jumlah pasukan, kelengkapan, logistik, serta lokasi mereka berkumpul.
Rasulullah SAW berhenti berhampiran dengan Badar dan bertemu seorang Arab yang telah lanjut usia. Baginda SAW menanyakan tentang kafir Quraisy, Muhammad dan sahabatnya, serta berita apa saja yang telah sampai kepadanya.
Orang itu berkata, “Aku mendengar khabar bahawa Muhammad SAW dan para sahabatnya berangkat hari ini. Jika benar, mereka pasti telah tiba di sini. Aku juga mendengar khabar bahawa kaum Quraisy keluar hari ini. Jika benar, mereka pun telah sampai di tempat ini.” Setelah menyampaikan berita, dia bertanya, “Kalian dari mana?” Rasulullah SAW menjawab, “Kami dari mata air.”
Strategi Meraih Kemenangan
Allah Taala berfirman, “Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” [TMQ Al-Hajj (22): 39]
“Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” [TMQ Al-Hajj (22): 40]
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Ishaq bin Yusuf al-Azraq, dia menambahkan, “Ibnu Abbas berkata, itulah ayat pertama yang turun berkenaan dengan perang.” (HR At-Tirmidzi dan An-Nasa’i).
Dalam Perang Badar, Rasulullah SAW memimpin langsung pasukan muslim yang berjumlah sekitar 330 orang, dengan kelengkapan 8 pedang, 6 baju perang, 70 unta dan 2 kuda. Sementara itu, kaum Quraisy menghadirkan 1,000 tentera, 600 persenjataan lengkap, 700 unta dan 300 kuda.
Perang Badar berawal daripada pemintasan terhadap kafilah dagang Abu Sufyan yang membawa harta kaum Quraisy. Abu Sufyan segera meminta bantuan dari Mekah, dan para pemuka Quraisy pun memutuskan untuk memerangi Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.
Pasukan Abu Jahal sudah berada sekitar satu hari perjalanan dari Badar. Beberapa pejuang muslim, termasuk Ali bin Abi Thalib, berjaya menangkap dua pembawa air pasukan Abu Jahal di sumur Badar. Setelah soal siasat, mereka mengaku sebagai sebahagian daripada pasukan Abu Jahal, bukan kafilah dagang.
Atas saranan seorang sahabat, Nabi SAW mengalihkan kedudukan kaum muslim ke sumur terdekat musuh dan memerintahkan penimbunan sumur-sumur lain. Taktik ini memaksa Quraisy bergerak ke arah yang diinginkan kaum muslim demi mendapatkan sumber air terakhir. Nabi SAW juga menempatkan pasukan sehingga Quraisy terpaksa menghadap ke timur dengan sinar matahari langsung ke mata mereka.
Pasukan Muslim Meraih Kemenangan
Pada 17 Ramadhan tahun ke-2 H, kedua-dua kubu bertemu di lembah Badar. Perang dimulakan dengan pertarungan kecil yang melibatkan tiga wakil dari kedua-dua kubu. Kaum muslim menurunkan Hamzah, Ali, dan Ubaidah bin al-Harits. Sementara itu, kaum Quraisy menerjunkan Utbah, Syaibah, dan Walid bin Utbah. Pertarungan berakhir dengan tewasnya ketiga-tiga pahlawan Quraisy.
Ubaidah mendapat kecederaan serius dan perlu diusung ke luar medan perang. Walaupun Quraisy Mekah unggul dalam jumlah dan persenjataan, tetapi mereka tetap kalah. Mereka bertempur dengan gaya Arab kuno yang melulu dan hanya mengharapkan keberanian.
Pasukan muslim berdisiplin dalam satu komando dan terlatih. Pada awal perang, pasukan Nabi SAW menghindari pertarungan jarak dekat dan lebih memilih menyerang menggunakan panah.
Pertarungan jarak dekat hanya terjadi apabila musuh mendekat. Rasulullah SAW membahagikan pasukan muslim menjadi tiga kelompok, iaitu sayap kanan, kiri dan tengah. Pasukan tengah terdiri dari kaum Muhajirin dan Ansar yang sedia membela Nabi SAW hingga titik darah penghabisan.
Setelah menyedari kekalahannya, pasukan Abu Jahal panik dan melarikan diri. Mereka meninggalkan sekitar 50 pemimpinnya termasuk Abu Jahal dan Umayah yang mati di medan pertempuran.
Yakin akan Pertolongan Allah
Bagi umat Islam, Perang Badar adalah peristiwa besar kerana menjadi pertempuran pertama melawan musuh, yang berlangsung pada bulan mulia Ramadhan. Walaupun berpuasa, pasukan muslim tetap teguh berperang menghadapi musuh Allah Taala. Keyakinan, kesabaran, kepemimpinan Rasulullah SAW, serta strategi dan kesungguhan dalam berjuang pada pasukan muslim inilah yang melayakkan mereka mendapat pertolongan Allah Taala.
Dengan pertolongan Allah Taala, kaum muslim meraih kemenangan walaupun jumlah mereka jauh lebih sedikit berbanding pasukan Quraisy. Allah menurunkan bantuan besar sehingga mereka menang atas musuh-musuh-Nya. Kemenangan ini memberi kesan luar biasa, iaitu meningkatkan keimanan dan kepercayaan diri umat Islam, sekaligus menjadikan mereka kekuatan baru yang diperhitungkan. Kekuasaan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin Negara Islam Madinah pun semakin kuat.
Kemenangan Perang Badar membuktikan bahawa dalam menghadapi musuh perlu dengan berbagai persiapan baik ruhiyah, strategi dan fizikal. Ketaatan pasukan kepada Rasulullah SAW juga mempengaruhi tercapainya kemenangan ini. Wallahualam.
Sumber:
- Qol‘ahji, Muh. Rawwas. 2001. Sirah Nabawiyah: Sisi Politis Perjuangan Rasulullah SAW Jakarta: Al Azhar Press.
- Al-Buthy, Muhammad Sa‘id Ramadhan. 2002. Sirah Nabawiyah: Analisis Ilmiah Manhajiah terhadap Sejarah Pergerakan Islam di Masa Rasulullah SAW Jakarta: Robbani Press.
#Ramadhan #PerangBadar #Sirah