Fathu Makkah, Puncak Kemenangan Dakwah Rasulullah SAW
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Sejarah peradaban Islam mencatat, ada peristiwa besar yang mengundang perhatian dunia pada bulan Ramadhan 8 Hijriah. Peristiwa itu adalah Fathu Makkah, iaitu pembebasan kota Mekah daripada kaum kafir Quraisy. Pasukan muslim berjaya menaklukkan Kota Mekah tanpa pertumpahan darah. Peristiwa ini menandakan beralihnya Mekah ke pangkuan umat Islam dan terjadilah pembersihan Kaabah daripada berhala.
Penyebab terjadinya Fathu Makkah adalah pelanggaran perjanjian Hudaibiyah oleh Quraisy. Sebelumnya, perjanjian ini ditandatangani oleh Nabi Muhammad (mewakili umat Islam) dengan Suhail bin Amr (mewakili kafir Quraisy) pada tahun ke-6 H. Salah satu poin pentingnya adalah kesepakatan untuk melakukan gencatan senjata selama sepuluh tahun. Namun, perjanjian itu dilanggar kafir Quraisy dengan membantu Bani Bakr menyerang dan membantai Bani Khuza’ah, sekutu umat Islam.
Bani Khuza’ah melaporkan kepada Nabi Muhammad adanya pelanggaran kaum Quraisy terhadap perjanjian Hudaibiyah. Rasulullah SAW segera memerintahkan para sahabatnya untuk bersiap-siap berangkat ke Mekah. Baginda berharap agar dapat mendatangi penduduk Mekah secara tiba-tiba sehingga mereka tidak dapat memberikan penentangan dan akhirnya mereka selamat tanpa pertumpahan darah. (Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Daulah Islam, hlm. 152).
Baginda Rasul memimpin 10 ribu orang yang terdiri daripada kaum Muhajirin, Ansar, Bani Aslam, Bani Mazinah, Bani Jahinah, Bani Gaffan, dan suku-suku lainnya. Pasukan ini berangkat dari Madinah menuju Mekah pada 10 Ramadhan tahun ke-8 H. Pasukan Islam tiba di Marra Zhahran, empat farsakh dari kota Mekah.
Dalam perjalanan menuju Kota Mekah tidak terjadi penentangan yang bermakna. Kaum Quraisy menahan perlawanan mereka, sedangkan Rasulullah melanjutkan perjalanan dan memasuki kota kelahiran Baginda dengan tetap waspada. Baginda memerintahkan pasukannya dipecah menjadi empat kelompok dan semuanya diarahkan tidak boleh berperang dan tidak boleh melakukan pertumpahan darah kecuali dalam keadaan terpaksa dan terancam bahaya. Seterusnya, pasukan memasuki Mekah dan tidak satu pun menemui penentangan, kecuali pasukan Khalid bin Walid yang mendapat penentangan daripada pasukan Quraisy, tetapi berjaya menundukkannya.
Rasulullah melanjutkan perjalanan hingga sampai di Dzu Ṭuwā, kemudian Baginda menempuh perjalanan sekitar 10 hari hingga masuk kota Mekah pada 20 Ramadhan dengan penuh kerendahan diri kepada Allah SWT. Ketika itu, kepala Baginda menunduk di atas untanya dengan penuh kekhusyukan, hingga janggut Baginda hampir menyentuh pelana. Baginda membaca surah Al-Fatḥ ayat 1,
اِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِيْنًاۙ
“Sungguh, Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.”
Melihat Nabi datang dengan kekuatan berlipat ganda, kafir Quraisy ketakutan luar biasa, mengenangkan dosa-dosa dan kesalahan mereka kepada Nabi serta umat Islam semasa tempoh fasa Mekah, juga pelanggaran perjanjian pada masa tempoh Madinah. Lebih-lebih lagi pada masa itu kekuatan kafir Quraisy mulai melemah kerana tokoh-tokohnya banyak yang telah tiada, sama ada kerana meninggal di medan tempur mahupun kerana telah memeluk Islam. Mereka pasrah menunggu dihukum oleh pasukan Islam sebagaimana layaknya tradisi perang kabilah. Pihak yang kalah para lelakinya dibunuh, sedangkan kaum perempuan dan anak-anak dijadikan hamba.
Namun, apa yang dibimbangkan oleh kafir Quraisy tidak terjadi. Sebaliknya, Nabi memberikan pengampunan besar-besaran kepada mereka. Di Tengah-tengah kecemasan dan ketakutan penduduk Mekah, Nabi mengumumkan kepada mereka, “Siapa yang masuk masjid maka dia aman. Siapa yang masuk rumah Abu Sufyan, maka dia aman. Dan siapa yang masuk rumahnya serta menutup pintunya, maka dia aman.” Mendengar pengumuman tersebut, dukacita kafir Quraisy sirna dan berubah menjadi sukacita. Akhirnya mereka berbondong-bondong masuk Islam.
Nabi Muhammad SAW dan pasukannya terus berjalan menuju Masjidil Haram, kemudian melakukan tawaf tujuh putaran. Baginda meminta Uthman bin Thalhah untuk membukakan pintu Kaabah. Baginda berdiri dikelilingi para sahabatnya lalu berpidato di hadapan mereka dan menyampaikan surah Al-Hujurat ayat 13.
Selanjutnya Rasulullah bertanya kepada mereka, “Wahai kaum Quraisy apa yang kalian lihat tentang perlakuanku terhadap kalian?” Mereka menjawab serentak, “Engkau adalah sebaik-baik saudara yang mulia dan putera seorang saudara yang mulia.” Rasulullah menutup pidatonya dengan sabdanya, “Pergilah, kalian semua bebas.” (Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Daulah Islam, hlm. 154—155).
Selanjutnya Rasulullah memasuki Kaabah dan Baginda menemukan dinding-dindingnya digambarkan dengan malaikat-malaikat dan nabi-nabi, lalu Baginda memerintahkan sahabat untuk menghapusnya. Baginda juga melihat patung-patung wanita cantik daripada kayu, lalu Baginda memecahkannya dan melemparkannya ke tanah. Dalam Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam halaman 387 dijelaskan bahawa di sekitar Kaabah ada berhala-berhala yang diikat dengan timah. Rasulullah memberi isyarat terhadap patung-patung tersebut dengan potongan kayu sambil membaca firman Allah,
وَقُلْ جَاۤءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۖاِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوْقًا
“Dan katakanlah, ‘Kebenaran telah datang dan yang batil telah lenyap.’ Sungguh, yang batil itu pasti lenyap.” (TMQ Al-Isra’: 81).
Demikianlah kemenangan umat Islam hingga berjaya membebaskan Mekah daripada kaum kafir Quraisy atas izin dan pertolongan Allah. Peristiwa Fathu Makkah merupakan revolusi besar kerana terjadi penaklukan suatu wilayah tanpa setitik darah pun mengalir.
Padahal, kebiasaan peperangan yang terjadi pada masa itu biasanya mengorbankan penduduknya dan menghancurkan kota-kota yang ditakluki, seperti yang dilakukan oleh Nebuchadnezzar ketika menaklukkan Jerusalem. Dia membantai penduduknya dan menghancurkan kotanya. Namun, melalui Fathu Makkah, Nabi Muhammad SAW, dengan penuh rahmat telah memberikan pengampunan dan pembebasan daripada segala kesalahan yang dilakukan oleh kafir Quraisy kepada Nabi dan sahabatnya.
Nabi Muhammad dengan penuh rahmat memaafkan semuanya, kecuali beberapa pihak yang tetap membangkang dan bahkan melawan. Peristiwa ini juga merupakan pembebasan daripada penghambaan kepada berhala (makhluk) menuju penghambaan hanya kepada Allah Al-Khāliq Al-Mudabbir yang ditandai dengan penghancuran patung-patung dan berhala sesembahan kafir Quraisy di sekitar Kaabah, serta penghapusan gambar-gambar bernuansa syirik di dalamnya. Dengan penaklukan ini, penduduk Mekah yang dahulunya menjadi penentang paling keras terhadap ajaran Islam, akhirnya menjadi penduduk paling kuat—bersama penduduk Madinah—dalam mempertahankan ajaran Islam.
Inilah kejayaan besar Nabi Muhammad SAW mengislamkan Madinah dan Mekah, dua tanah haram yang memiliki simbol istimewa bagi umat Islam untuk mengunjunginya setiap masa. Mekah dengan Kaabah-Nya dan Madinah dengan Raudahnya (makam Nabi yang penuh rahmat). Semoga Allah mengumpulkan kita bersama hamba dan kekasih-Nya yang penuh rahmat. Aminyaa Mujiib as-saa’iliin. Wallahualam bissawab.
#FathuMakkah #SejarahUmatIslam #TintaEmasRamadhan