Nuzulul Qur’an
Penulis: Ustazah Rindyanti Septiana
Proses turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana Imam Bukhari meriwayatkannya dari Aisyah RA, dia berkata, “Wahyu yang diterima oleh Rasulullah SAW dimulai dengan suatu mimpi yang benar. Dalam mimpi, baginda melihat cahaya terang laksana fajar yang menyingsing pada pagi hari. Kemudian baginda digemarkan oleh Allah untuk melakukan ‘uzlah. Baginda melakukan ‘uzlah di Gua Hira selama beberapa malam. Kemudian pulang kepada keluarganya untuk mengambil bekal.” Demikianlah berulang kali hingga suatu saat Baginda dikejutkan dengan datangnya kebenaran di dalam Gua Hira.
Pada suatu hari datanglah Malaikat lalu berkata, “Bacalah.” Beliau menjawab, “Aku tidak dapat membaca.” Rasulullah SAW menceritakan lebih lanjut, “’Malaikat itu lalu mendekatiku dan memelukku sehingga aku merasa lemah sekali, kemudian aku dilepaskan.’ Dia berkata lagi, ‘Bacalah.’ Aku menjawab, ‘Aku tidak dapat membaca.’ Dia mendekatiku lagi dan mendakapku, sehingga aku merasa tak berdaya sama sekali, kemudian aku dilepaskan.’ Dia berkata lagi, ‘Bacalah.’ Aku menjawab, ‘Aku tidak dapat membaca.’ Untuk ketiga kalinya dia mendekatiku dan memelukku hingga aku merasa lemas, kemudian aku dilepaskan. Selanjutnya dia berkata lagi, ‘Bacalah dengan nama Rabb-mu yang telah menciptakan… Menciptakan manusia dari segumpal darah…’ dan seterusnya.” (Dr. Said Ramadan Al-Buthi, Fiqhus Sirah: Dirasat Minhajiah ‘Ilmiyah, hlm.55).
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari di atas merupakan kisah awal wahyu turun kepada Rasulullah SAW yang bertepatan dengan malam Isnin tanggal 17 Ramadan yang saat ini diperingati oleh umat Islam sebagai hari turunnya Al-Quran atau Nuzulul Qur’an, tepat pada hari pertama kenabian Rasulullah SAW
Syeikh Muhammad Sayyid ath-Thanthawi dalam karya tafsirnya mengatakan bahawa firman Allah SWT yang agung ini diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui beberapa fasa. Fasa yang pertama, iaitu Allah turunkan dari lauhul mahfuz ke langit dunia secara menyeluruh. Fasa berikutnya Allah menyuruh Malaikat Jibril A.S untuk menurunkannya kepada Rasulullah SAW dengan cara beransur-ansur sesuai keperluan umat Islam saat itu, baik turun sebagai hukum, respons terhadap suatu kejadian, sebagai perintah atau larangan, mahupun sebagai hikayat dari umat-umat sebelumnya. (Syeikh At-Thanthawi, Tafsir Al-Wasith lil Qur’anil Azhim, [Mesir, Daru Nahdhah: 1997], Juz I, hlm. 454).
Menurut sebahagian ulama, Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan bertepatan dengan malam Lailatulqadar, sebagaimana disebutkan dalam surah Al-Qadr, Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada 1000 bulan.” [TMQ Al-Qadr (97): 1—3]
Beberapa Ibrah
Hadis mengenai permulaan turunnya wahyu di atas merupakan asas yang menentukan semua hakikat agama dengan segala keyakinan dan syariatnya. Hakikat wahyu ini merupakan satu-satunya faktor pembeza antara manusia yang berfikir dan membuat syariat dengan akalnya sendiri, dan manusia yang hanya menyampaikan syariat dari Rabb-nya tanpa mengubah, mengurangi atau menambah.
Para musuh Islam memberikan perhatian yang sangat besar terhadap fenomena wahyu dalam kehidupan Rasulullah SAW Berbagai hujah mereka kerahkan untuk menolak kebenaran wahyu, dan membiaskannya dengan ilham (inspirasi) seperti saat ini atas nama kesederhanaan agama. Kerana mereka menyedari bahawa masalah wahyu merupakan sumber keyakinan dan keimanan kaum muslim kepada apa yang dibawa oleh Muhammad SAW dari Allah Taala. Untuk merealisasikan tujuan ini, para musuh Islam berusaha mentafsirkan fenomena wahyu dengan berbagai pentafsiran palsu.
Syeikh Syihabuddin al-Husaini al-Alusi dalam salah satu karya tafsirnya menjelaskan bahawa diturunkannya Al-Quran yang mulia, melalui malaikat Jibril yang mulia, diberikan kepada Nabi SAW yang mulia, serta untuk menghormati umat yang mulia. Dalam kitabnya disebutkan, “Al-Quran yang memiliki kemuliaan diturunkan pada malam tersebut, melalui malaikat yang memiliki kemuliaan, untuk diberikan kepada rasul yang memiliki kemuliaan, kerana umat yang memiliki kemuliaan.” (Al-Alusi, Ruhul Ma’ani fi Tafsiril Qur’anil Azhim was Sab’il Matsani, [Beirut, Darul Kutub Ilmiah: 1415 H], juz XVI, hlm. 60).
Dengan demikian, bulan Ramadan ini kita sebut dengan bulan Al-Quran, kerana bulan ini adalah bulan diturunkannya ayat pertama Al-Quran kepada Rasulullah SAW. Tidak hanya Al-Quran, kitab suci para nabi sebelumnya juga diturunkan pada bulan mulia ini. Oleh kerana itu, membaca, mengamalkan dan mendakwahkan serta menerapkan isi Al-Quran merupakan suatu kewajipan bagi setiap muslim, agar umat Islam dapat meraih kemuliaan.
Al-Hasan al-Bashri pernah mengatakan, “Demi Allah, jika seseorang tidak merenungkan Al-Quran dengan menghafalkan huruf-hurufnya lalu dia melalaikan hukum-hukumnya sehingga ada yang mengatakan, ‘Aku telah membaca Al-Quran seluruhnya.’ Sedangkan, kenyataannya dia tidak memiliki akhlak yang baik dan tidak memiliki amal.” (Tafsir Al-Qur’an al-‘Azhim, 2: 418—419).
Sumber: muslimahnews.net
#Ramadhan #NuzulQuran #AlQuran #SejarahAlQuran