Ramadhan: Membangkitkan Keperibadian Islam yang Berfikir
Ramadhan bukan sekadar bulan berpuasa, ritual ibadah, dan refleksi peribadi. Ia adalah bulan yang secara sejarahnya telah membangkitkan minda, membentuk semula masyarakat, dan mengubah haluan tamadun manusia. Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan sebagai petunjuk bagi seluruh manusia, bukan hanya untuk menyucikan hati individu, tetapi untuk membina semula kehidupan berlandaskan petunjuk Ilahi. Oleh itu, Ramadhan menyeru umat Islam kepada sesuatu yang jauh lebih mendalam daripada rutin spiritual semata-mata: ia menyeru kita untuk berfikir, menilai realiti, dan bekerja secara sedar untuk melakukan perubahan.
Salah satu masalah paling kritikal yang dihadapi umat Islam hari ini bukanlah kekurangan iman atau kekurangan amalan ibadah, tetapi kewujudan minda yang pasif dan telah terbiasa dengan status quo. Ramai umat Islam beriman kepada Islam, solat, berpuasa, dan melakukan ibadah, namun hidup dalam sistem, nilai dan realiti yang bercanggah dengan akidah mereka.
Percanggahan ini biasanya bukan berpunca daripada penolakan terhadap Islam, tetapi daripada pemisahan secara beransur-ansur antara kepercayaan dan perbuatan. Apabila akidah `terkurung’ (disempitkan) dalam konteks ritual peribadi, manakala keputusan harian dibentuk oleh ketakutan, keselesaan, budaya atau keadaan, maka keperibadian Islam pun menjadi terpecah-pecah.
Islam tidak menerima penerimaan pasif terhadap realiti. Ia tidak membentuk peribadi yang sekadar menyesuaikan diri dengan kezaliman, kerosakan, atau rasuah. Sebaliknya, Islam membentuk para pemikir — manusia yang melihat realiti melalui akidah mereka, bukan menilai akidah melalui realiti. Seorang Muslim dituntut untuk menilai dunia secara sedar, memahami sebab dan akibat, serta mengukur setiap situasi berdasarkan perintah Allah. Pemikiran aktif inilah asas kepada perubahan sebenar.
Keperibadian Islam (Shakhsiyyah Islamiyyah) terbentuk apabila pemikiran dan kecenderungan kedua-duanya lahir daripada akidah Islam. Walau bagaimanapun, jurang sering muncul dalam tingkah laku. Seseorang Muslim mungkin ikhlas beriman kepada Islam, tetapi bertindak dengan cara yang bercanggah dengannya. Ini berlaku apabila seseorang itu: gagal menghubungkan konsep dengan akidah, terpengaruh oleh syaitan, atau membiarkan kepentingan peribadi yang dirasakan mengatasi petunjuk Ilahi. Keadaan ini tidak mengeluarkan seseorang daripada Islam, tetapi ia menzahirkan keperibadian yang belum sepenuhnya mengintegrasikan antara kepercayaan dengan tindakan.
Inilah sebabnya mengapa berfikir itu sangat penting. Tanpa kesedaran berfikir, umat Islam akan mula hanyut. Realiti mula menentukan tingkah laku. Norma sosial menjadi rujukan. Keselesaan menggantikan tanggungjawab. Lama-kelamaan, ini melahirkan masyarakat yang mengamalkan Islam secara peribadi (tertutup), sambil menyerahkan kehidupan umum kepada sistem ciptaan manusia. Natijahnya ialah stagnasi: hati mungkin masih terikat dengan iman, tetapi minda telah pasrah kepada struktur sedia ada.
Islam menuntut lebih daripada itu. Ia mewajibkan umat Islam berfikir tentang perubahan. Ini bermakna menolak normalisasi kezaliman, ketidakadilan, dan kerosakan moral. Ia bermakna mempersoalkan mengapa umat ini hidup di bawah undang-undang asing, eksploitasi ekonomi, dan dominasi politik. Ia bermakna memperakui bahawa kemiskinan, peperangan, keruntuhan institusi keluarga, dan kekosongan spiritual bukanlah sesuatu yang berlaku secara rawak, tetapi hasil daripada sistem yang bercanggah dengan petunjuk Ilahi.
Seorang Muslim yang berfikir tidak hanya bertindak balas secara emosi terhadap penderitaan. Sebaliknya, mereka mencari punca utama masalah. Mereka bertanya mengapa dunia Islam berpecah-belah, mengapa nilai-nilai terhakis, mengapa identiti semakin dilemahkan, dan mengapa Islam telah disudutkan hanya kepada ibadah peribadi semata-mata. Mereka memahami bahawa Islam diturunkan untuk mengatur kehidupan secara komprehensif — secara politik, sosial, ekonomi, dan moral. Oleh itu, mereka menolak Islam yang bersifat separa.
Ramadhan menyediakan peluang unik untuk memulihkan kesedaran ini. Apabila nafsu fizikal dikekang, manakala kejelasan mental meningkat. Apabila Al-Quran dibacakan, perspektif (cara pandang) pun berubah. Tatkala malam dihidupkan dengan ibadah, keterikatan kepada dunia pun semakin lemah. Persekitaran spiritual ini mempersiapkan umat Islam untuk menilai semula keutamaan mereka dan menghubungkan kembali kehidupan mereka dengan akidahnya.
Perubahan sebenar atau sejati hanya bermula apabila umat Islam berhenti melihat diri mereka sebagai individu yang berasingan, dan mula menyedari tanggungjawab kolektif mereka. Islam tidak datang untuk melahirkan orang beriman yang terpisah-pisah dan hanya fokus kepada keselamatan peribadi. Ia datang untuk membina umat yang bersatu, yang membawa risalah kepada seluruh manusia. Setiap Muslim, termasuklah setiap Muslimah, adalah sebahagian daripada tanggungjawab ini. Para ibu membentuk generasi. Saudara-saudara perempuan mempengaruhi keluarga dan masyarakat. Dengan kata lain, wanita bukan pinggiran dalam perubahan; mereka adalah teras penting dalam membina keperibadian yang sedar dan berprinsip.
Membangunkan keperibadian Islam yang berfikir memerlukan disiplin. Ia memerlukan penguasaan pengetahuan Islam sebagai satu sistem, bukan sekadar ritual. Ia memerlukan kesedaran tentang urusan dunia dan bagaimana kuasa global membentuk realiti umat Islam. Ia memerlukan keberanian untuk mencabar naratif dominan dan kesabaran untuk kekal teguh. Di atas segalanya, ia memerlukan keikhlasan — yakni kesediaan untuk tunduk sepenuhnya kepada Allah dalam kehidupan peribadi dan visi masyarakat.
Apabila umat Islam berfikir berasaskan akidah, keutamaan mereka pun akan berubah. Kejayaan tidak lagi ditakrif berdasarkan kekayaan atau status, tetapi dengan ketaatan kepada Allah. Ketakutan kepada manusia akan berkurang, manakala kesedaran terhadap pertanggungjawaban di hadapan Allah meningkat. Kehidupan pun menjadi lebih bermakna, dan begitu juga perjuangan menjadi bernilai.
Ramadhan mengingatkan kita bahawa Islam pernah mengubah dunia kerana umat Islam berfikir secara mendalam, bertindak secara kolektif, dan menjalani hidup dengan akidah mereka secara terbuka. Potensi yang sama masih wujud hari ini. Tetapi ia bermula dengan menolak minda yang pasif. Ia bermula dengan menghubungkan semula kepercayaan dengan tingkah laku. Ia bermula dengan umat Islam yang berfikir.
Melalui personaliti atau keperibadian seperti inilah Allah menghadirkan perubahan sebenar — bukan pembaharuan kosmetik, tetapi transformasi yang menyeluruh. Semoga Ramadhan ini menjadi titik perubahan di mana hati menjadi lembut, minda menjadi segar, dan umat Islam menemui semula peranan mereka sebagai pembawa Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Yasmin Malik
Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
#TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan
#DariKegelapanMenujuCahaya
#KeperibadianIslam #SyaksiyyahIslamiyyah #PemikiranIslam
#KhilafahSistemIslam #TerapkanIslamKaffah
#UmmatanWahidah #MasyarakatMuslimIdeal