MENJADI TAKWA, TIDAK CUKUP DENGAN BERPUASA
Marilah kita senantiasa meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan takwa yang sebenar-benarnya, yakni takwa yang bukan sekadar ada pada kata-kata, tetapi takwa yang menjadi cahaya penerang hati kita. Takwa yang menjadi brek yang menahan dan mengendalikan hawa nafsu kita. Takwa yang menjadi kompas yang mengarahkan langkah kita. Sudah tentu untuk menuju syurga dan redha Allah SWT.
Memasuki Ramadhan kali ini, semestinya kita berharap agar puasa kita benar-benar dapat mewujudkan ketakwaan hakiki dalam diri, sebagaimana yang Allah SWT kehendaki:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana puasa itu pernah diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa.” (TMQ al-Baqarah [2]: 183).
Semestinya Allah SWT tidak pernah menyelisihi janji dan firman-Nya. Jika umat ini mengerjakan ibadah puasa dengan sebenar-benarnya dan ikhlas semata-mata mengharap redha-Nya, nescaya takwa sebagai hikmah puasa itu akan dapat diwujudkan dalam diri mereka.
Apa Yang Disebut Sebagai Takwa?
Imam ath-Thabari, ketika menafsirkan surah al-Baqarah ayat 183 di atas, antara lain mengutip Al-Hasan yang menyatakan, “Orang-orang bertakwa adalah mereka yang takut terhadap perkara apa saja yang telah Allah haramkan atas diri mereka, dan melaksanakan perkara apa saja yang telah Allah perintahkan atas diri mereka.” (Ath-Thabari, Jâmi’ al-Bayân li Ta’wîl al-Qur’ân, I/232-233).
Berkaitan dengan takwa pula, Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Muadz bin Jabal ra. ketika diutus ke Yaman:
اِتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ
“Bertakwalah engkau kepada Allah di mana pun engkau berada…” (HR at-Tirmidzi).
Terkait dengan frasa ittaqilLaah (bertakwalah engkau kepada Allah) dalam potongan hadis di atas, banyak ciri/sifat yang dikaitkan kepada orang-orang bertakwa. Orang bertakwa antara lain adalah orang yang mengimani yang ghaib; mendirikan solat; menginfakkan sebahagian hartanya; mengimani al-Quran dan kitab-kitab yang Allah SWT turunkan sebelum al-Quran; serta meyakini alam akhirat (TMQ al-Baqarah [2]: 1-4).
Orang bertakwa juga biasa menginfakkan hartanya pada saat lapang ataupun sempit; mampu menahan amarah; mudah memaafkan kesalahan orang lain; jika melakukan dosa, dia segera ingat kepada Allah SWT dan memohon ampunan-Nya serta tidak meneruskan perbuatan dosanya (TMQ Ali Imran [3]: 133-135).
Bahkan masih banyak ciri/sifat orang bertakwa yang disebutkan di dalam al-Quran mahupun as-Sunnah.
Adapun terkait frasa haytsuma kunta, secara lebih terperinci dapat dijelaskan bahawa kata haytsu dapat merujuk pada tiga: tempat (makan), waktu (zaman) dan keadaan (hal). Oleh kerana itu, sabda Baginda Rasul SAW kepada Muadz ra. tersebut adalah isyarat agar dia bertakwa kepada Allah SWT tidak hanya di Madinah, tidak hanya tatkala turunnya wahyu Allah, tidak hanya ketika Rasulullah SAW ada bersama beliau, dan juga tidak hanya di saat dia ada berdekatan dengan Masjid Nabi SAW. Namun, hendaklah dia bertakwa kepada Allah SWT di mana pun, bila pun, dan dalam keadaan bagaimana pun. (‘Athiyah bin Muhammad Salim, Syarh al-Arba’in an-Nawawiyyah, 42/4-8).
Oleh yang demikian, jika memang takwa adalah buah daripada puasa Ramadhan yang dilakukan oleh setiap Mukmin, idealnya usai Ramadhan, setiap Mukmin senantiasa berusaha menjalankan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya. Sudah tentu dengan mengamalkan seluruh syariah-Nya; baik terkait akidah dan ubudiah; makanan, minuman, pakaian dan akhlak; muamalah (ekonomi, politik, pendidikan, pemerintahan, sosial, budaya, dll); mahupun ‘uquubaat (sistem hukuman) seperti hudud, jinaayaat, ta’ziir mahupun mukhaalafat.
Bukan Sekadar Berpuasa
Walau bagaimanapun, bukan takwa namanya jika seseorang biasa melakukan solat, melaksanakan puasa Ramadhan, atau bahkan menunaikan ibadah haji ke Baitullah; sementara dia biasa memakan riba, melakukan rasuah dan korupsi, mengabaikan urusan masyarakat, menzalimi rakyat dan menolak penerapan syariah Islam secara kâffah.
Perlu difahami bahawa bukan hanya puasa yang dapat membawa pelakunya meraih darjat ketakwaan. Di dalam al-Quran sendiri, bukan hanya ayat tentang kewajipan berpuasa yang diakhiri dengan frasa la’allakum tattaquun (agar kalian bertakwa).
Di dalam beberapa ayat lain Allah SWT juga berfirman, antara lain:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai manusia, beribadahlah kalian kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dan orang-orang sebelum kalian, agar kalian bertakwa.” (TMQ al-Baqarah [2]: 21).
Allah SWT juga berfirman:
وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي اْلأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُون
“Bagi kalian, dalam hukum qisas itu ada kehidupan, wahai orang-orang yang memiliki akal, agar kalian bertakwa.”(TMQ al-Baqarah [2]: 179).
Allah SWT pun berfirman:
وَ أَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Sungguh, inilah jalan-Ku yang lurus (Islam). Kerana itu ikutilah jalan itu dan jangan kalian mengikuti jalan-jalan lain hingga kalian tercerai-berai dari jalan-Nya. Yang demikian Allah perintahkan agar kalian bertakwa.”(TMQ al-An’am [6]: 153).
Berkaitan dengan ayat-ayat di atas, jelaslah bahawa seseorang dapat meraih darjat takwa tidak sekadar dengan berpuasa. Ibadah (yakni penghambaan kita yang menyeluruh kepada Allah SWT), pelaksanaan hukum qisas (juga hukum-hukum Allah lainnya) serta keberadaan dan keistiqamahan kita di jalan Islam, dan dalam melaksanakan seluruh syariah Islam; semua hal itu adalah perkara-perkara yang dapat menghantarkan diri kita meraih darjat takwa.
Ketakwaan Pemimpin
Selain di peringkat peribadi, takwa juga perlu menjadi pakaian dan hiasan para penguasa dan para pemimpin kita. Kaum Muslim sudah tentu memerlukan para penguasa dan para pemimpin yang benar-benar dapat mewujudkan ketakwaan dalam dirinya.
Di antara ciri pemimpin yang bertakwa adalah menjaga dirinya daripada perkataan dusta. Kedustaan hanya akan membuat puasa seseorang sia-sia belaka. Nabi SAW bersabda:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِى أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
“Siapa saja yang tidak meninggalkan perkataan dan perilaku dusta maka Allah tidak memerlukan usahanya dalam meninggalkan makan dan minumnya.” (HR al-Bukhari).
Pemimpin yang bertakwa juga adalah pemimpin yang amanah dalam mengurus rakyatnya. Pemimpin yang tidak mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya. Pemimpin yang senantiasa berusaha untuk tidak menyalahi Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Mereka bahkan akan menerapkan syariah Islam secara kâffah dalam seluruh aspek kehidupan sebagai bentuk mewujudkan ketaatan mereka yang menyeluruh (total) kepada Allah SWT.
Penerapan syariah Islam secara kaaffah adalah bentuk penzahiran yang nyata daripada ketakwaan. Tatkala negeri ini benar-benar diliputi oleh ketakwaan, Allah SWT pasti akan menurunkan pelbagai bentuk keberkahan. Demikian sebagaimana yang telah Allah firmankan:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka pelbagai keberkahan dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (ayat-ayat Kami). Oleh sebab itu Kami mengazab mereka disebabkan oleh apa yang mereka kerjakan itu.” (TMQ al-A‘raf [7]: 96).
Jangan Menunda-Nunda Untuk Meraih Takwa
Suka untuk diingatkan kita semua tidak menunda-nunda untuk meraih takwa. Jangan berleha-leha untuk meraih keampunan-Nya. Kita hendaklah bersegera bahkan berlumba-lumba untuk meraih syurga yang telah Allah janjikan kepada kita. Allah SWT berfirman:
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (١٣٣) الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (١٣٤) (آل عمران: ١٣٣-١٣٤)
“Bersegeralah kalian meraih ampunan Tuhan kalian dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi kaum yang bertakwa; iaitu mereka yang menginfakkan (harta mereka) baik dalam kelapangan mahupun dalam kesempitan, yang sanggup menahan amarah, yang biasa memberi maaf orang lain, dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (TMQ Ali Imran [3]: 133-134).
Diolah daripada: Naskah Khutbah Jumaat , Volume 24 – Ramadhan 1447 H/Februari 2026 M.
Terbitan Tim Media IDAROH [Ikatan Da’i Rohmatan lil ‘Aalamiin])
#Ramadhan #Takwa #KetakwaanHakiki