Sistem Kekhilafahan Islam adalah Sistem Politik yang Sangat Berjaya
Khilafah, iaitu sistem pemerintahan dalam Islam, merupakan satu sistem yang berbeza daripada semua bentuk pemerintahan yang dikenali di dunia hari ini, sama ada dari segi asas yang dibinanya, idea, konsep, kriteria, serta hukum-hakam yang digunakan untuk mengurus urusan, perlembagaan dan undang-undang yang dilaksanakannya, mahupun bentuk negara Islam yang dipersembahkan, yang mana membezakannya daripada semua sistem pemerintahan lain di dunia. Ia bukan sistem monarki, dan tidak mengiktiraf monarki, serta tidak menyerupainya. Ia juga bukanlah sistem empayar yang memberikan keistimewaan kepada pusat empayar ke atas wilayah-wilayah. Ia bukan sistem persekutuan yang wilayahnya terpisah dengan pemerintahan sendiri namun bersatu dalam pentadbiran umum. Ia bukan sistem republik presiden atau parlimen. Ia juga bukan sistem demokrasi dalam makna sebenar demokrasi, iaitu apabila kuasa perundangan berada di tangan rakyat yang membenarkan dan melarang sesuka hati serta menggubal undang-undang. Sebaliknya, sistem pemerintahan dalam Islam adalah Khilafah, dan institusinya berbeza daripada institusi sistem-sistem yang dikenali hari ini, walaupun ada yang menyerupainya pada zahirnya.
Sistem Khilafah ialah sistem yang unik dan tersendiri, dicirikan oleh keberkesanan dan kejayaan. Ia pada asasnya dibina atas konsep menjaga urusan rakyat. Khalifah (ketua negara) berusaha sedaya upaya untuk memastikan penjagaan yang baik, dengan keyakinan bahawa dia akan dipersoalkan di hadapan Allah tentang mereka yang berada di bawah tanggungannya. Pandangan terhadap politik dan konsepnya ini adalah unik dalam negara Islam dan membezakannya, kerana dunia hari ini melihat politik sebagai seni realiti, tipu daya, helah, pembohongan, dan Machiavellianisme. Oleh itu, kita melihat bahawa tindakan ramai pemerintah yang tidak mengutamakan kepentingan rakyat, dan apa yang dapat membetulkan atau menambahbaikkan kehidupan mereka; sebaliknya kita melihat mereka membuat keputusan dan menggubal undang-undang yang bersifat cuai.
Antara ciri sistem politik yang berjaya ialah ia berkerja dengan tekun untuk mengurus hal ehwal rakyat dengan berintergriti, memahami keutamaan dalam penjagaan, memberikan setiap perkara hak sewajarnya, mengurus dan mentadbir dengan baik, serta tidak mengabaikan sebarang aspek penting dalam kehidupan.
Di negara-negara besar hari ini seperti Amerika, seseorang akan terkejut apabila menyaksikan peningkatan jumlah golongan miskin dan gelandangan dari hari ke hari, serta masalah dalam sektor kesihatan dan sektor penting lain, sedangkan jumlah wang yang sangat besar dibelanjakan untuk perkara sampingan (sekunder).
Sebaliknya, falsafah Islam menentukan keperluan asas dan keperluan pelengkap, serta membimbing negara dalam mengurus hal ehwal rakyat bermula dengan perkara-perkara asas dan penting; setelah semua perkara tersebut dijamin untuk semua, barulah ia beralih kepada mencapai kesejahteraan dan kemewahan. Dalam sistem Islam, jumlah wang yang besar tidak akan dibelanjakan, misalnya; untuk membina stadium bola sepak sedangkan rakyat tidak mempunyai jalan berturap, dan negara tidak akan berbelanja untuk festival besar sementara rakyat kelaparan.
Begitu juga, isu ini berkaitan dengan kekuatan dan keberkesanan tindakan penyelesaian atau Solusi dalam menyelesaikan masalah serta mengurus hal ehwal rakyat. Undang-undang dan penyelesaian dalam Islam datang daripada Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Ia merupakan hukum syarak yang diguna pakai oleh Khalifah, yang memastikan pelaksanaannya sebagai penyelesaian yang benar bagi masalah manusia, yang diturunkan oleh Tuhan manusia (Allah (swt)) agar mereka hidup dengan kehidupan yang baik di bawahnya:
﴿فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ * وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكاً﴾
“…Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” [Surah Taha 20:123–124].
Setiap daripada kita dapat merasakan dalam pelbagai aspek kehidupan kita betapa teruknya undang-undang ciptaan manusia dan kegagalannya menyelesaikan masalah. Contohnya dalam isu penyewaan rumah di Perancis, tuan rumah boleh menghadapi kesukaran untuk mendapatkan semula hak ke atas hartanya pada musim sejuk kerana terdapat larangan sementara terhadap pengusiran penyewa atau penghuni tertentu dalam tempoh tersebut. Keadaan ini boleh menjadi lebih rumit sekiranya berlaku pelanggaran hak oleh penghuni atau apabila tuan rumah sendiri memerlukan kediaman tersebut. Pada masa yang sama, proses perundangan yang perlu dilalui sering mengambil masa panjang dan penuh birokratik, sehingga menyebabkan hak tuan rumah tidak dapat ditegakkan dengan segera.
Dalam hal pewarisan pula, negara mempunyai hak dalam pemilikan individu melalui percukaian. Di Perancis, cukai warisan agak tinggi berbanding negara lain. Dalam keadaan tertentu, waris mungkin perlu membayar jumlah yang besar bergantung kepada nilai harta dan hubungan kekeluargaan. Sebagai contoh, bagi harta bernilai sekitar 200,000 euro, sebahagian daripadanya boleh dikenakan cukai, yang dalam sesetengah kes mendorong waris menjual harta pusaka, termasuk rumah keluarga, bagi menampung bayaran tersebut.
Hal ini berbeza dengan sistem perundangan Islam. Penyelesaian yang datang daripada perlembagaan Islam adalah satu-satunya penyelesaian yang benar yang mengambil kira manusia sebagai manusia, dicirikan oleh keberkesanan dan selari dengan apa yang tertanam dalam hati manusia. Oleh itu, dalam sistem Khilafah terdapat sesuatu yang istimewa yang tidak terdapat dalam sistem lain: umat tunduk kepada hukum Allah dengan iman dan keyakinan terhadap keadilan serta keberkesanannya. Mereka menyokong sistem apabila ia melaksanakan hukum tersebut, dan meminta pertanggungjawabannya jika ia mengabaikan walaupun satu hukum syarak. Oleh kerana itu, sistem politik Islam adalah antara sistem yang paling stabil dan paling selari dengan kehendak rakyat: kedaulatan adalah milik syariah, dan kekuasaan milik umat, yang memilih seorang wakil daripada kalangan mereka untuk menerapkan Islam secara menyeluruh, dan bahkan boleh menyingkirkannya daripada jawatan jika dia melanggar perjanjian.
Sesiapa yang meneliti sistem Khilafah akan sampai kepada hakikat bahawa sistem ini merupakan pelaksanaan praktikal terkait kehendak dan pilihan majoriti rakyat. Tiada undang-undang yang memanipulasi kehendak mereka dan menaikkan seseorang yang tidak mendapat sokongan majoriti umat ke posisi kekuasaan, seperti yang sebaliknya berlaku dalam sistem demokrasi dan undang-undang pilihan rayanya yang manipulatif.
Pembahagian kuasa dan tugas dalam sistem ini adalah harmoni; setiap daripada tiga belas institusi negara mempunyai peranan yang jelas, dan terdapat mekanisme untuk memastikan pelaksanaan yang betul. Khalifah bertanggungjawab menyelia pelaksanaan yang betul dan mempunyai kuasa untuk campur tangan bagi membetulkan sebarang penyelewengan. Dia bukan seperti presiden boneka yang kita lihat hari ini yang memerintah tanpa kuasa atau kekuatan sebenar.
Sesiapa yang tidak melihat sistem Khilafah dengan pandangan mendalam mungkin menganggap semua ini sebagai berlebihan, diperbesar-besarkan dan tidak memahami realitinya. Dia sepatutnya cuba menjawab beberapa persoalan untuk melihat di mana kebenaran terletak: Adakah sistem daripada Allah lebih baik, atau sistem ciptaan manusia? Bukankah manusia hidup di bawah Khilafah selama berabad-abad dalam keadaan selamat, aman dan puas hati, ia memerintah dengan apa yang diredhai Tuhan mereka? Adakah kelemahan yang berlaku dalam sesetengah zaman disebabkan oleh masalah sistem itu sendiri atau disebabkan oleh pelaksanaan yang lemah?
Banyak persoalan dan keraguan memerlukan kajian yang serius dan mendalam agar gambaran menjadi jelas. Apa yang menjadikan sistem politik Islam unik, seperti yang kami katakan, ialah ia adalah sistem yang dipilih oleh Tuhan manusia (Allah (swt)) untuk manusia hidup di bawahnya. Negara Khilafah bukanlah negara malaikat atau pemerintahan ketuhanan seperti gereja; sebaliknya ia adalah negara manusia yang unsur sucinya adalah konsep dan hukum yang dibawa oleh agama Islam, yang mesti dipastikan pelaksanaannya oleh negara dan umat untuk diterapkan dalam semua aspek kehidupan.
Apabila kita meneliti negara yang diasaskan oleh Rasulullah (saw) dan Khilafah Rasyidah, kita akan melihat aplikasi praktikal konsep menjaga urusan rakyat, bagaimana kehendak politik direalisasikan di lapangan, dan keberkesanan hukum dalam pemerintahan dan pentadbiran Islam. Negara tersebut terus berkembang hingga mencapai kemajuan, kekuatan, dan peluasan wilayah. Umat Islam mencintai pemerintah mereka dan pemerintah mencintai mereka. Orang yang paling alim, berilmu, dan berakhlak dipilih. Hal ini berlangsung sepanjang era Daulah: apabila pelaksanaannya baik, kemajuan pun berlaku di semua peringkat; apabila lemah, kekurangan dan kepincangan pun muncul dalam beberapa aspek.
Pada zaman kegemilangannya, negara ini (Daulah Khilafah) berjaya mencapai tahap kemakmuran yang sehinggakan gandum pun ditaburkan di puncak gunung agar burung tidak kelaparan. Ilmu pengetahuan berkembang pesat, dan lahir ramai ilmuwan Muslim yang unggul dalam pelbagai bidang. Hingga ke hari ini, sebahagian alat dan prinsip perubatan yang diasaskan oleh sarjana Muslim masih digunakan dalam bidang pembedahan, manakala asas kepada pelbagai disiplin sains turut berkembang daripada era tersebut. Pada masa itu, sistem Islam dilihat lebih unggul berbanding sistem lain yang wujud sezaman dengannya. Terdapat pembangunan universiti, hospital, industri yang canggih, dan kemandirian ekonomi yang kukuh. Secara keseluruhannya, Khilafah merupakan model yang gemilang, yang bukan sahaja mempengaruhi bangsa lain, malah menjadi sumber inspirasi. Ia menjadi model yang jauh lebih maju daripada Barat yang dibanggakan hari ini.
Adakah munasabah untuk mengabaikan realiti sistem tersebut serta kejayaan yang pernah dicapainya pada zaman kegemilangannya, lalu melemparkan pelbagai tuduhan tanpa menilainya secara objektif dan berwawasan, sedangkan sejarah dalam tempoh yang panjang membuktikan bahawa ia pernah mengangkat darjat manusia ketika ia menempa kejaayaan dan memerintah?
Adakah sistem tersebut lebih baik dalam skala besar, atau sistem yang telah menjerumuskan manusia ke dalam penyimpangan, kemerosotan moral, peperangan, dan pelbagai bencana di dunia?
Apakah sebenarnya berlaku kepada kalian? Bagaimana kalian membuat penilaian?
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Minnatullah Taher
#TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan #KhilafahSistemIslam #AyuhUmatBangkit