Ramadhan dan Kesatuan Umat: Dari Kesolehan Peribadi ke Tanggungjawab Sosial
Oleh: Nurain Abdurrahman
Ramadhan sering diraikan sebagai bulan peningkatan spiritual peribadi, bulan di mana umat Islam menumpukan perhatian kepada kualiti solat tarawih, tadarus al-Quran serta menahan lapar dan dahaga. Ia adalah bulan di mana manifestasi iman dan Islam tampak lebih menyerlah. Namun, apabila diselami hakikat puasa dari sudut pandang syarak dan ditelusuri melalui kacamata pembinaan masyarakat Muslim ideal, Ramadhan sebenarnya merupakan sebuah madrasah agung yang melatih empati, simpati dan keberanian moral. Ia bukan sekadar ritual tahunan, tetapi medan pembentukan kesedaran umat untuk meruntuhkan tembok individualisme yang dibina oleh sistem sekular pada hari ini.
Kesolehan Peribadi: Langkah Awal, Bukan Destinasi
Dalam kitab Nizham al-Islam, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menegaskan bahawa akidah Islam bukan sekadar kepercayaan kerohanian, tetapi merupakan akidah siyasiyah (akidah politik) yang mengatur seluruh aspek kehidupan manusia. Maka, kesolehan peribadi seorang Muslimah, seperti ketaatan dalam ibadah, seharusnya menjadi pemangkin kepada kesedaran berfikir dan bertindak.
Namun realitinya, sistem sekular telah berjaya memisahkan antara “ibadah” dan “tanggungjawab terhadap umat”. Kita dididik untuk percaya bahawa menjadi seorang Muslim yang baik sudah memadai dengan menjaga diri dan keluarga semata-mata. Hakikatnya, dalam kerangka masyarakat Muslim ideal, kesolehan peribadi tidak pernah berdiri sendiri tanpa kepekaan sosial.
Seorang Muslimah yang tekun beribadah tetapi tidak peduli terhadap penderitaan umat Islam di Palestin, Rohingya, atau kesempitan hidup jiran tetangganya, tanpa disedari telah terperangkap dalam fahaman sekularisme, iaitu pemisahan agama daripada urusan kehidupan.
Ramadhan: Medan Melawan Nafsu Individualistik
Sistem sekular-kapitalis hari ini membentuk manusia agar bersikap kompetitif, materialistik dan mementingkan diri. Keselesaan peribadi dijadikan ukuran kebahagiaan, manakala penderitaan orang lain dianggap isu yang jauh dan tidak berkait. Ramadhan hadir untuk mematahkan rantaian ini.
Rasa lapar dan dahaga bukan sekadar simulasi biologi, tetapi latihan rohani untuk merasai derita mereka yang hidup dalam kekurangan setiap hari. Di sinilah empati dibangunkan dan kesedaran umat diasah. Solidariti umat tidak lahir daripada simpati kosong, tetapi daripada kefahaman bahawa setiap Muslim adalah sebahagian daripada satu tubuh.
Seperti yang dihuraikan dalam buku Islam, Politik dan Spiritual oleh Hafidz Abdul Rahman, spiritualiti dalam Islam tidak pernah terpisah daripada realiti politik dan sosial umat. Puasa yang benar-benar berkualiti akan melahirkan keberanian moral untuk menyuarakan kebenaran dan menolak kezaliman.
Peranan Muslimah: Pelita dalam Kegelapan Ummah
Muslimah merupakan tonggak penting dalam pembentukan masyarakat Muslim ideal. Di tangan seorang ibu, isteri dan anak perempuan, terletak amanah besar untuk menanamkan benih kesedaran dan solidariti umat. Peranan Muslimah dalam kebangkitan umat bukan bersifat sampingan, tetapi sebagai Pelita Ummah.
- Menolak Sikap Apatis: Muslimah perlu sedar bahawa sistem sekular sengaja membelenggu wanita dengan kesibukan domestik dan budaya konsumerisme sehingga mereka terpisah daripada realiti penderitaan umat. Ramadhan adalah masa terbaik untuk memutuskan rantaian kepenggunaan berlebihan dan mengalih fokus kepada pengukuhan ukhuwah serta kerja dakwah.
- Membina Kesedaran Umum: Melalui peranan dalam keluarga dan masyarakat, Muslimah bertanggungjawab menyebarkan kefahaman tentang pentingnya penyatuan umat di bawah naungan sistem Islam. Merujuk kepada Nizham al-Ijtima’i (Sistem Pergaulan) oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, hubungan sosial dalam masyarakat Islam mestilah berpaksikan ketaatan kepada Allah, yang secara langsung melahirkan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi.
Penutup: Dari Ibadah ke Perubahan
Kesatuan umat merupakan asas kepada pembinaan masyarakat Muslim ideal. Ramadhan tidak wajar dilihat hanya sebagai bulan ibadah spiritual semata-mata, sebaliknya sebagai bulan mobilisasi kekuatan umat. Setiap rakaat solat dan setiap jam menahan lapar seharusnya diterjemahkan kepada tindakan nyata untuk membela umat Islam yang tertindas dan memperjuangkan kembali ‘izzah (kemuliaaan) Islam. Persoalannya, apakah peranan kita sebagai Muslimah dalam kebangkitan umat?
Jawapannya terletak pada sejauh mana iman peribadi mampu menyuluh jalan bagi orang lain. Jadilah Muslimah yang bukan sahaja solehah di atas sejadah, tetapi juga berani dan prihatin di medan kehidupan sosial. Perubahan besar bermula apabila seorang Muslimah menyedari bahawa penderitaan umat Islam di setiap penjuru dunia adalah penderitaannya juga. Tanpa kesedaran dan dakwah berterusan terhadap Islam dan nasib umat, kesempurnaan Ramadhan akan tercalar.
Wa na‘uzu billāhi min zalik. Wallahu a‘lam.
#MuslimahIdeal #MasyarakatMuslimIdeal #MuslimahEjenPerubahan #Ramadhan #MasyarakatQurani
#OneUmmah #1Ummah1Perjuangan