Menghayati Ramadhan: Antara Ritual Bermusim dan Seruan Kebangkitan
Oleh : Amal
Mukadimah
Ramadhan bukan sekadar tetamu tahunan yang diraikan dengan juadah berbuka, bazar meriah dan persiapan Aidilfitri. Ramadhan adalah bulan kebangkitan, bulan tarbiah dan bulan perubahan yang Allah SWT tetapkan untuk membentuk insan bertakwa serta melahirkan umat yang layak memimpin kehidupan. Namun, realiti umat Islam hari ini memperlihatkan satu hakikat yang pahit dan tidak boleh disangkal: Ramadhan semakin terpisah daripada misi besar Islam, iaitu menjadikan hukum Allah sebagai asas yang mengatur kehidupan manusia secara menyeluruh.
Persoalan yang mesti ditanya dengan jujur dan berani ialah mengapa Ramadhan hari ini gagal melahirkan umat yang kuat, berani dan memimpin dunia sebagaimana generasi Islam terdahulu? Mengapa bulan yang sama, ibadah yang sama dan al-Quran yang sama tetapi tidak lagi menghasilkan perubahan besar dalam kehidupan umat?
Ramadhan: Bukan Sekadar Menahan Lapar, Tetapi Membina Ketaatan Menyeluruh
Ramadhan bukan sekadar latihan menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari, tetapi satu proses pendidikan yang Allah SWT tetapkan untuk melahirkan manusia bertakwa. Allah SWT berfirman,
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” [TMQ al-Baqarah (2):183].
Ayat ini menjelaskan bahawa matlamat puasa ialah takwa, bukan sekadar ritual fizikal. Takwa bermaksud ketaatan yang lahir dalam tindakan seharian—apabila seorang Muslim menahan diri daripada makanan yang halal kerana perintah Allah, dia sepatutnya lebih mampu menahan diri daripada perkara haram seperti penipuan, rasuah, maksiat dan kezaliman dalam kehidupan harian.
Para mufassir seperti Imam al-Tabari dan al-Qurtubi menegaskan bahawa takwa ialah menjadikan perintah dan larangan Allah SWT sebagai neraca dalam setiap urusan, sama ada dalam ibadah individu, hubungan sosial mahupun pengurusan kehidupan bermasyarakat. Contohnya, seseorang yang benar-benar memahami takwa tidak akan ada seseorang yang berpuasa pada siang hari tetapi menipu dalam perniagaan, menzalimi pekerja atau mengabaikan solat kerana kesibukan dunia. Begitu juga dalam skala masyarakat, takwa bukan hanya terzahir di masjid pada waktu malam, tetapi dalam keadilan sosial, kejujuran ekonomi dan kepatuhan kepada hukum Allah dalam urusan awam. Jika puasa hanya mengubah jadual makan tanpa mengubah cara hidup, maka objektif Ramadhan sebenarnya telah gagal dicapai.
Rasulullah SAW memberi peringatan yang sangat tegas apabila Baginda bersabda,
“Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi tiada bahagian baginya daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga” [HR Ahmad].
Hadis ini adalah tamparan dakwah yang jelas kepada umat Islam hari ini. Ia menunjukkan bahawa ibadah yang tidak melahirkan perubahan sikap, pemikiran dan cara hidup hanyalah ibadah kosong tanpa roh. Puasa yang sebenar sepatutnya melahirkan insan yang lebih jujur selepas Ramadhan, lebih taat kepada Allah dalam setiap keputusan, dan lebih berani menolak kemungkaran. Jika selepas Ramadhan seseorang kembali kepada kelalaian yang sama, maka dia hanya menahan lapar, tetapi gagal membina ketaatan secara menyeluruh yang menjadi tujuan utama ibadah puasa.
Realiti Ramadhan Hari Ini: Hidup dalam Sistem yang Mematikan Roh Ibadah
Dalam sistem sekular-kapitalis hari ini, Ramadhan dipenjarakan sebagai urusan peribadi semata-mata, terpisah daripada peranan negara dan sistem kehidupan. Negara tidak memikul tanggungjawab untuk menjadikan Ramadhan sebagai agenda pembinaan umat, sebaliknya hanya mengurus aspek pentadbiran luaran seperti cuti umum dan kawalan trafik. Akibatnya, masjid dipinggirkan daripada peranan politik dan sosial—ia aktif dengan solat tarawih dan tazkirah, tetapi sunyi daripada perbincangan keadilan sosial, urus tadbir negara atau penyelesaian masalah umat. Contoh yang jelas ialah apabila masjid penuh pada waktu malam, tetapi isu rasuah, penindasan ekonomi dan ketidakadilan terus berlaku tanpa sebarang perubahan sistemik.
Dalam masa yang sama, hukum Allah tidak dijadikan rujukan dalam ekonomi dan pemerintahan. Walaupun umat Islam berpuasa, sistem kewangan riba terus beroperasi tanpa henti; harga barang meningkat di bulan Ramadhan; terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga; dan eksploitasi buruh tetap berlaku. Di ruang awam, kemaksiatan masih berleluasa—hiburan melampau, perjudian dalam talian, pendedahan aurat dan budaya hedonisme—seolah-olah Ramadhan tidak membawa sebarang kesan terhadap dasar negara. Ini menggambarkan realiti umat yang beribadah secara individu, tetapi hidup sepenuhnya di bawah sistem yang bercanggah dengan nilai Islam.
Inilah kontradiksi besar umat Islam hari ini: berpuasa untuk Allah SWT pada siang hari, menghidupkan malam dengan ibadah, tetapi tunduk kepada hukum selain hukum Allah SWT dalam urusan kehidupan. Umat diajar untuk taat secara peribadi, tetapi dipaksa menerima sistem yang menolak kedaulatan syariah. Hakikat ini telah ditegur secara tegas oleh Allah SWT melalui firmanNya,
“Maka apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki? Dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi kaum yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50].
Ayat ini bukan sekadar peringatan akidah, tetapi satu seruan untuk menyedari bahawa Ramadhan tidak akan benar-benar mengubah umat selagi hukum Allah SWT tidak menjadi asas yang mengatur kehidupan secara menyeluruh.
Ramadhan Ketika Pemerintahan Islam: Bulan Ibadah, Kekuatan dan Kepimpinan
Ramadhan pada zaman pemerintahan Islam bukan sekadar bulan ibadah individu, tetapi bulan yang menggerakkan umat secara kolektif di bawah kepimpinan negara. Ramadhan dihayati sebagai agenda umat, bukan acara bermusim. Negara memainkan peranan aktif memastikan suasana masyarakat tertumpu kepada ketaatan dan pengukuhan iman. Jika dibandingkan dengan hari ini, apabila Ramadhan hanya “disesuaikan” dengan jadual kerja dan sistem sedia ada, pada zaman pemerintahan Islam pula seluruh kehidupan awam diselaraskan dengan roh Ramadhan, menjadikan ibadah, ilmu dan pengorbanan sebagai teras kehidupan masyarakat.
Dalam Pemerintahan Islam Khilafah, negara bertindak sebagai penjaga Ramadhan, bukan pemerhati pasif. Pemerintah memastikan masjid dimakmurkan bukan sahaja dengan solat tarawih, tetapi sebagai pusat ilmu, tazkirah dan perbincangan urusan umat. Keperluan asas rakyat seperti makanan, keselamatan dan keadilan ekonomi dijamin agar masyarakat tidak dibebani tekanan hidup sehingga lalai daripada ibadah. Berbeza dengan hari ini, di mana umat berpuasa dalam keadaan tertekan dengan kos sara hidup, hutang dan harga barang yang naik, pemerintahan Islam memastikan rakyat mampu beribadah dengan tenang. Kemaksiatan pula dicegah secara sistemik melalui undang-undang dan penguatkuasaan, bukan sekadar kempen kesedaran atau nasihat moral yang tidak mengikat. Inilah maksud sebenar sabda Rasulullah SAW,
“Imam (khalifah) adalah pemelihara dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Ramadhan pada zaman pemerintahan Islam juga melahirkan umat pejuang, bukan umat yang lemah dan pasif. Puasa tidak dijadikan alasan untuk mengurangkan tanggungjawab, sebaliknya menjadi sumber kekuatan rohani yang membina disiplin, kesabaran dan keberanian. Sejarah mencatatkan bahawa Perang Badar, yang menentukan arah dakwah Islam, berlaku dalam bulan Ramadhan, begitu juga Pembukaan Kota Mekah yang menandakan kemuncak kekuasaan Islam di Jazirah Arab. Kejayaan-kejayaan ini membuktikan bahawa Ramadhan melahirkan generasi yang kuat dari segi iman dan tindakan, bukan generasi yang menjadikan ibadah sebagai alasan untuk menjauhkan diri daripada tanggungjawab umat.
Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah menegaskan bahawa para sahabat Rasulullah SAW tidak melihat puasa sebagai faktor kelemahan, tetapi sebagai sumber kekuatan ruhiyyah yang luar biasa. Jika diteliti dalam konteks hari ini, umat Islam sering diajar untuk “berehat” dan memperlahankan komitmen atas nama Ramadhan, sedangkan generasi terdahulu menjadikan Ramadhan sebagai bulan kemuncak perjuangan dan pengorbanan. Perbezaan ini bukan berpunca daripada ibadah itu sendiri, tetapi daripada sistem yang mengurus kehidupan. Selagi Ramadhan tidak diurus dan dipelihara oleh negara yang tunduk kepada hukum Allah SWT, selagi itulah ia sukar melahirkan umat yang kuat dan memimpin, sebagaimana yang pernah dibuktikan dalam sejarah pemerintahan Islam.
Mengapa Ramadhan Tidak Akan Bangkit Tanpa Pemerintahan Islam
Di sinilah analisis perlu dinyatakan dengan jelas dan tegas: Ramadhan tidak akan mampu melahirkan kebangkitan umat selagi Islam tidak memerintah kehidupan. Ramadhan sepatutnya membina kesedaran yang lebih tinggi daripada sekadar ibadah individu, iaitu kesedaran politik Islam—kesedaran bahawa ketaatan kepada Allah SWT bukan hanya di masjid dan dalam amalan peribadi, tetapi juga dalam cara masyarakat diurus dan negara diperintah. Namun hari ini, kita melihat Ramadhan berlalu saban tahun tanpa perubahan besar pada realiti umat: dasar negara kekal sekular, hukum Allah SWT diketepikan, dan keputusan penting kehidupan terus ditentukan oleh kepentingan ekonomi dan politik manusia, bukan wahyu.
Hakikat ini bertentangan dengan perintah Allah SWT yang jelas,
“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka” [TMQ al-Ma’idah (5):49].
Ayat ini bukan sekadar nasihat rohani, tetapi arahan pemerintahan. Contoh yang mudah dilihat hari ini ialah apabila umat Islam berpuasa, solat tarawih dan membaca al-Quran, namun pada masa yang sama terpaksa menerima sistem kewangan berasaskan riba, undang-undang yang tidak bersumberkan syariah, serta dasar sosial yang membuka ruang kepada kemungkaran. Hal ini mungkin boleh melahirkan peribadi yang soleh, tetapi gagal melahirkan kekuatan umat. Atas sebab itulah kembali kepada Sistem Islam sepenuhnya bukan pilihan sampingan atau agenda emosi, tetapi satu keperluan syarak untuk memastikan Ramadhan dan seluruh ajaran Islam dapat dilaksanakan secara kaffah. Tanpa pemerintahan yang tunduk kepada syariah, Ramadhan akan terus diulang setiap tahun sebagai ibadah bermusim, bukan sebagai pemangkin kebangkitan umat sebagaimana yang pernah berlaku dalam sejarah Islam.
Ramadhan: Bulan Tarbiah untuk Menegakkan Kekuatan Islam
Ramadhan seharusnya membina kesedaran yang jelas bahawa Islam bukan sekadar agama ritual, tetapi sistem kehidupan yang mengatur seluruh urusan manusia. Puasa mendidik umat agar patuh kepada perintah Allah SWT walaupun bertentangan dengan keinginan diri; maka kepatuhan ini sepatutnya diterjemahkan juga dalam sikap menolak hukum kufur yang bercanggah dengan syariah. Jika puasa hanya mengubah waktu makan tetapi tidak mengubah sikap kita terhadap kezaliman dan kebatilan sistem, maka matlamat Ramadhan telah disempitkan dan diselewengkan.
Pada masa yang sama, Ramadhan sepatutnya menggerakkan dakwah politik Islam sebagaimana Rasulullah SAW membina negara di Madinah—melalui pembinaan kesedaran, pengorbanan dan istiqamah. Sabda Baginda,
“Kemudian akan ada Khilafah atas manhaj kenabian” [HR Ahmad].
Ayat ini bukan sekadar khabar gembira untuk ditunggu secara pasif, tetapi janji yang menuntut usaha dan perjuangan. Seperti mana Ramadhan melatih umat untuk bersabar menahan diri, istiqamah dalam ibadah dan sanggup berkorban demi ketaatan kepada Allah SWT, begitu jugalah sepatutnya umat bersabar dan istiqamah dalam dakwah mengembalikan Islam sebagai sistem pemerintahan.
Khatimah
Oleh itu disamping kita mengejar peluang pahala seribu bulan (malam Lailatulqadar) di bulan Ramadhan, jadikanlah ia titik mula yang jelas dan tegas: kembali kepada Islam secara kaffah, menolak sistem kufur yang memisahkan agama daripada kehidupan, seterusnya menyambung perjuangan menegakkan kembali sistem pemerintahan Islam (Khilafah). Ini bukan seruan emosi, tetapi tuntutan syarie yang lahir daripada kefahaman bahawa Islam adalah sistem kehidupan, bukan agama terasing di sudut peribadi. Hanya dengan Khilafah, Ramadhan akan kembali menjadi bulan keagungan, kekuatan dan kepimpinan umat Islam—sebagaimana yang pernah membentuk generasi sahabat, membina tamadun agung dan mengubah sejarah dunia. Tanpanya, Ramadhan akan terus dirayakan, tetapi umat akan terus kehilangan arah dan kekuatan.
#MasyarakatMuslimIdeal #Ramadhan #Khilafah #IslamKaffah