[Politik Ekonomi Islam] Hutang dalam Pandangan Syariat (Bahagian 3/3)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
Sekiranya perbelanjaan bagi kemaslahatan umat Islam termasuk dalam tanggungjawab bersama seluruh umat, seperti memberi makan kepada fakir miskin, menyelamatkan mangsa bencana seperti gempa bumi atau banjir, serta membina jalan yang tiada alternatif lain sehingga ketiadaannya membawa kemudaratan kepada masyarakat, maka perkara-perkara ini menjadi kewajipan umat Islam, sebagaimana ia juga merupakan kewajipan Baitulmal.
Dalam keadaan sebegini, negara hendaklah mengenakan cukai ke atas umat Islam bagi melaksanakan kemaslahatan tersebut. Tindakan ini bermakna negara memperoleh daripada umat Islam apa yang telah diwajibkan oleh Allah SWT ke atas mereka berdasarkan nas al-Quran dan al-Sunnah. Maka, pengambilan harta tersebut bukanlah atas kehendak pemerintah, tetapi atas dasar perintah Allah SWT.
Bagi kewajipan yang melibatkan seluruh umat Islam seperti ini, negara dibenarkan membuat pinjaman bagi melaksanakannya jika dikhuatiri akan timbul kemudaratan akibat kelewatan perbelanjaan. Hal ini kerana apabila syarak membenarkan pemungutan cukai bagi tujuan tersebut, maka dibolehkan juga bagi negara untuk membuat pinjaman atas jaminan kutipan cukai itu, dan melunaskannya melalui hasil cukai yang dikutip kemudian.
Ini kerana perbelanjaan bagi perkara sebegini adalah wajib dilaksanakan, sama ada terdapat atau tiada harta dalam Baitulmal. Ia bukan kewajipan yang hanya terpakai ketika wujud dana. Oleh itu, apabila ada harta dalam Baitulmal, ia hendaklah dibelanjakan; dan apabila tiada, kewajipan itu tetap perlu ditunaikan melalui pemungutan cukai atau pinjaman. Ertinya, kewajipan tersebut mesti dilaksanakan dalam semua keadaan, sama ada terdapat harta atau tidak.
Inilah satu-satunya keadaan yang membolehkan negara membuat pinjaman. Selain daripada itu, negara tidak dibenarkan sama sekali berhutang. Jika terdapat dana, hendaklah dibelanjakan; jika tiada, maka tidak boleh dibelanjakan.
Inilah perbezaan antara pinjaman individu dan pinjaman negara. Bagi individu, hukum asal pinjaman ialah harus, kecuali jika pinjaman tersebut membawa kemudaratan, maka hukumnya menjadi haram.
Bagi negara pula, pinjaman hanya diharuskan dalam satu keadaan, iaitu apabila tiada dana dalam Baitulmal, dan perkara yang hendak dibiayai itu merupakan kewajipan bersama umat Islam yang tidak boleh ditangguhkan kerana dikhuatiri menimbulkan kerosakan. Dalam keadaan seperti ini sahajalah negara dibenarkan membuat pinjaman.
Selain daripada keadaan tersebut, negara tidak dibenarkan berhutang sama sekali. Inilah hukum pinjaman bagi sesebuah negara secara mutlak. Manakala jika sesuatu pinjaman itu membawa kepada kemudaratan, maka hukumnya tetap haram, walaupun tujuannya untuk mencapai maslahat yang diharuskan oleh syarak. Hal ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyatakan: “Setiap perkara daripada perkara-perkara yang harus, apabila terbukti padanya kemudaratan, maka perkara itu menjadi haram, sedangkan hukum asal perkara itu kekal harus.”
Projek-projek pembangunan (seperti pembinaan infrastruktur) tidak termasuk dalam kewajipan ke atas umat Islam, sebaliknya merupakan tanggungjawab Baitulmal semata-mata, yakni kewajipan yang dipikul oleh negara. Oleh itu, jika terdapat dana dalam Baitulmal, hendaklah digunakan untuk tujuan tersebut; dan jika tiada, maka tidak boleh dilakukan perbelanjaan. Kewajipannya bergantung kepada kewujudan dana, bukan ketiadaannya.
Oleh yang demikian, tidak harus bagi negara mengambil pinjaman bagi tujuan tersebut, sama ada daripada sumber dalam negeri atau luar negeri, sekalipun pinjaman itu tidak mengandungi unsur kemudaratan. Berdasarkan hal ini, tindakan kerajaan-kerajaan di dunia Islam pada masa kini yang membuat pinjaman daripada negara asing bagi melaksanakan projek pembangunan atau pengeluaran (produktif) adalah tidak harus menurut hukum syarak, sama ada ketiadaan projek tersebut membawa kemudaratan kepada umat atau tidak. Ini kerana perkara tersebut bukan termasuk sebab yang dibenarkan bagi negara untuk berhutang, memandangkan pelaksanaannya masih boleh ditangguhkan.
Daripada penjelasan ini, dapat difahami bagaimana cara pembiayaan bagi projek-projek pengeluaran atau dengan kata lain, bagaimana pelaksanaan revolusi perindustrian yang berteraskan keperluan untuk segera membangunkan industri pembuatan mesin dapat dilaksanakan.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam
#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #Hutang