Wanita: Pemain Utama Peradaban Dunia, Bukan Pemain Simpanan Atau Penonton.
Oleh: Aslah
Dunia hari ini memperlihatkan wanita hanya dari dua aspek; sebagai komoditi yang dieksploitasi atas nama kebebasan atau sebagai watak sampingan yang berada di dapur. Sedangkan dalam Islam, wanita merupakan ‘Arkitek Peradaban’. Kita bukan sekadar penonton di tepi padang yang melihat kerosakan masyarakat yang berlaku. Kita adalah pemain utama yang menentukan jatuh bangunnya umat ini.
Serangan ‘Virus’ Sekularisme
Tetapi mengapa peranan penting wanita dalam Islam ini tidak tercermin, malah sukar direalisasikan pada masa kini? Ini adalah kerana hidup kita diserang virus ‘sekularisme’ yang memisahkan agama dengan kehidupan. Maka, lahirlah individu, masyarakat, negara dan dunia yang jauh dari aturan Pencipta . Ibarat komputer yang dijangkiti virus yang teruk, sekalipun ditukar ganti dengan layar komputer baharu atau aksesori yang mahal, kerosakan tetap ada.
Sistem sekularisme buatan manusia ini telah menjauhkan manusia dari hakikat bahawa hukum Allah datang dengan lengkap dan sempurna untuk mengatur semua aspek kehidupan termasuklah sistem sosial, ekonomi, pemerintahan dan hukuman. Akibatnya, manusia hidup dengan bebas tanpa aturan Islam, dan hidup dengan hukum yang dicipta oleh akal dan nafsu manusia yang terbatas.
Tangan Yang Menghayun Buai Boleh Menggoncang Dunia
Sejarah tidak penah menipu dalam menggambarkan bahawa peranan wanita dalam mendidik generasi sangat besar dan ampuh. Tetapi kita sering dimomokkan dengan hebatnya wanita yang mampu berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki di bidang pekerjaan. Sedangkan tugas wanita di rumah sebagai pendidik generasi dilupakan dan dianggap remeh di mata masyarakat.
Apabila seorang muslimah mempelajari, memahami dan melaksanakan Islam sepenuhnya dalam dirinya, ia sebenarnya sedang mempersiapkan dirinya untuk membina peradaban yang ampuh. Dia tidak lagi terpengaruh dengan gaya hidup hedonisme atau materialisme sebaliknya fokus kepada tanggungjawab besar: mendidik generasi dan mengubah realiti masyarakat agar kembali hidup tunduk kepada Islam.
Sinergi Lidi Seikat; Rahsia Kebangkitan Yang Hakiki
Mengubah realiti rosak yang telah lama terpaksi bukanlah satu tugas yang mudah dan boleh dilakukan sendirian. Untuk membangkitkan umat ini dari lena yang lama memerlukan usaha secara berjemaah. Umat ini perlu dibangunkan semula taraf berfikir mereka sekaligus mengembalikan semula masyarakat Islam yang sebenar. Maksudnya mempunyai pemikiran, perasaan dan peraturan yang sama iaitu Islam.
Masanya Untuk Bertindak
Para muslimah wajib memahami bahawa mereka tidak boleh lagi kekal dalam sistem hari ini, tetapi turut berperanan sebagai “pengubah” kepada sistem Islam. Masyarakat ini perlu dididik bahawa Islam bukan sekadar menyempurnakan rukun Islam tetapi sebuah sistem kehidupan yang lengkap dan sempurna.
Sudah tiba masanya kita keluar dari zon selesa. Jangan biarkan diri kita menjadi pemain simpanan yang menunggu di bangku, atau hanya penonton yang hanya tahu mengeluh. Jadilah pemain utama yang mencorakkan masa depan ummah dengan cahaya Islam.
#MasyarakatMuslimIdeal #MuslimahIdeal #MuslimahEjenPerubahan #KesatuanUmmah #DariKegelapanMenujuCahaya #TrueVision4Change