Bagaimana Islam Memandang Masyarakat?
Allah telah mengutus Muhammad SAW dengan membawa Islam, sebagai rahmat bagi seluruh alam.
“Dan Tidaklah Kami mengutus engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.” (TMQ. al-Anbiya [21]: 107)
Allah juga menjadikan syariat Islam merangkumi seluruh sistem yang diperlukan untuk mengatur semua interaksi manusia di dalam kehidupan mereka. Allah memberikan jaminan berupa syurga di akhirat bagi sesiapa sahaja yang berpegang teguh pada syariat Islam.
“Dan Kami telah menurunkan kepadamu kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk, rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” (TMQ. an-Nahl [16]: 89)
Islam memandang masyarakat sebagai satu kesatuan yang tidak dapat dipisahkan, ia juga memandang individu sebagai bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari masyarakat, sama seperti tangan merupakan bahagian tubuh yang berfungsi untuk membantu tubuh, di mana tubuh juga berfungsi untuk membekalkan pelbagai nutrien yang diperlukan oleh tangan. Setiap bahagian dipengaruhi oleh apa yang berlaku pada bahagian tubuh yang lain.
Dengan demikian, Islam memberi perhatian kepada individu sebagai sebahagian daripada masyarakat, dan juga memberi perhatian kepada masyarakat sebagai satu kesatuan yang terdiri daripada individu-individu, supaya perhatian ini membawa kepada pemeliharaan kedua-duanya iaitu individu dan masyarakat.
Nabi SAW bersabda:
”Perumpamaan orang yang menegakkan hudud Allah SWT dan orang yang melanggarnya adalah seperti suatu kaum yang berada di atas kapal; sebahagian berada di bahagian atas, dan sebahagian berada di bahagian bawah. Orang-orang yang ada di bahagian bawah, ketika hendak mengambil air, mesti melewati orang-orang yang berada di bahagian atas. Lalu mereka berkata, ‘Kalaulah kita dapat membuat lubang di bahagian kita, supaya kita tidak mengganggu orang-orang yang berada di bahagian atas.’ Jika mereka dibiarkan melakukan apa yang mereka kehendaki, nescaya semuanya binasa. Namun jika mereka dicegah, maka mereka selamat dan semua orang akan selamat.” (HR. Bukhari)
Oleh itu, tanggungjawab individu dalam masyarakat adalah untuk berusaha membina dan menjaga masyarakatnya, kerana mereka merupakan sebahagian daripadanya.
Sumber: “Dirâsât fî al-Fikr al-Islâmiy” (Muhammad Husain Abdul)
#MasyarakatMuslimIdeal #Dakwah #KesatuanUmmah