MENILAI SEBUAH KEMENANGAN
Oleh: Nurul Ilmi
Bulan Syawal sinonim sebagai lambang kemenangan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadhan. Kehadiran Syawal disambut dengan juadah serba lazat, pakaian terbaik sehinggalah rumah dihias bagi menyerikan suasana. Walaupun meraikannya bukanlah satu kesalahan, namun ada batas yang perlu kita perhatikan. Namun, demi meraikannya dengan penuh kemeriahan, ramai Muslim melanggar batas yang ditetapkan oleh agama.
Sungguh memilukan apabila melihat umat Islam mengenepikan hukum agama hanya semata-mata ingin bergembira selepas sebulan berpuasa. Kemenangan berpuasa sering kali diraikan dengan bertabarruj (berhias yang melampau batas), pembaziran makanan, melanggar batas pergaulan ketika berhari raya sehingga lalai dalam menunaikan solat kerana sibuk bergembira di hari raya. Semua bentuk kelalaian ini rancak seawal 1 Syawal lagi padahal Ramadhan yang berlalu sepatutnya mampu mentarbiah kita agar meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT. Sedangkan ulama telah memperingatkan “Kun rabbaniyyan wa laa takun Ramadhaniyyan” yang bermaksud “jadilah hamba Rabb, bukan hamba Ramadhan”. Jangan-jangan kita juga termasuk dalam golongan orang-orang yang menjadi hamba Ramadhan, namun melupakan Allah SWT selepas tamatnya Ramadhan.
Dengan kehadiran Syawal, sesetengah daripada kita gagal kembali kepada fitrah tetapi sebaliknya kembali kepada bad habits sebelum Ramadhan. Kita kembali jauh daripada al-Quran, malas beribadah, tidak suka belajar agama, tidak menjaga hubungan dengan manusia, mengabaikan kewajipan dan tidak endah halal haram. Amalan Ramadhan seolah-olah hilang lenyap seperti embun pagi. Persoalannya, mengapa kita kembali dengan habits yang lama? Jawapannya, kita menganggap kehadiran Ramadhan umpama pengembara yang datang tidak diundang, pulangnya tidak dikenang. Ketakwaan yang luntur di bulan Syawal menunjukkan bahawa yang kita raikan hanyalah ilusi kemenangan. Alangkah ruginya.
Segala kebaikan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan tetapi berhenti melakukannya setelah memasuki syawal boleh diumpamakan seperti dalil ini. “Dan janganlah kamu seperti seorang wanita yang meleraikan semula benang yang sudah dipintalnya dengan kuat, menjadi terburai semula.” [TMQ an-Nahl (16): 92].
Adakah ini layak disebut sebagai kemenangan?
MERAIH KEMENANGAN DENGAN SABAR DAN ISTIQAMAH
Jadi, apakah ciri-ciri kemenangan yang harus diburu oleh setiap Muslim dalam Ramadhan? Untuk menjawab perbincangan ini, kita telusuri terlebih dahulu secara ringkas tentang perjalanan kisah perang Ahzab.
Pada bulan Syawal 5H, ketika umat Islam masih berduka selepas perang Uhud, umat Islam dikepung dari segala penjuru oleh tentera gabungan Quraisy, puak Yahudi dan juga munafiq dengan kekuatan tiga kali ganda jumlah mujahid Madinah. Setelah mendapat maklumat perisikan, Rasulullah SAW berunding dengan para sahabat, dan menerima cadangan Salman al Farisi untuk melaksanakan strategi perang yang baru. Rasulullah SAW mengarahkan untuk menggali parit perlindungan di sebelah utara Madinah yang tidak terlindung bukit Sala’ dan kebun kurma. Dalam kedinginan musim sejuk, para sahabat menggali parit itu. Rasulullah SAW sendiri turut mengangkut pasir sambil bermadah “Ya Tuhan kami! Tiada kehidupan melainkan kehidupan akhirat. Ampunilah Muhajirin dan Ansar”. Mendengarkan doa Rasulullah SAW, para sahabat semakin bersemangat melaksanakan misi tersebut.
Dengan sabar dan istiqamah, mereka berjaya menggali parit yang membuatkan musuh terpana. Pihak musuh berusaha menyeberanginya namun tidak berjaya. Kedua-dua pihak hanya berbalas tembakan panah. Setelah menyerahkan urusan Madinah kepada Ibnu Ummi Maktum, Rasulullah SAW memindahkan wanita dan kanak-kanak ke dalam kota. Rasulullah SAW bersama para sahabat mara ke garis depan dengan melaungkan slogan “Mereka Tiada Penolong”. Namun, Yahudi Quraidzah yang berada di dalam Madinah telah mengkhianati Rasulullah SAW. Mereka menerima ajakan pihak musuh untuk berpaling tadah. Ketika itu bekalan makanan di Madinah semakin menipis akibat kepungan. Rasulullah SAW dan para sahabatnya terpaksa berlapar. Keadaan ketika itu sangat mencengkam bahkan ada yang menarik diri daripada peperangan dengan alasan melindungi keluarga. Akibatnya, pasukan tentera Muslim terbahagi kepada dua kelompok. Golongan pertama iaitu golongan yang sabar dan tidak berganjak dalam perjuangan. Mereka berserah diri kepada Allah SWT. Mereka faham bahawa ujian merupakan jalan menuju kemuliaan. Mereka tidak asing dengan hakikat bahawa dakwah akan bertembung dengan kekuatan kafir, namun mereka yakin kepada pertolongan Allah SWT [TMQ al Ahzab (33) 22]. Sedangkan golongan kedua ialah kaum munafiq yang semakin gementar melihat lautan musuh dan mempersoalkan kebenaran janji Allah [TMQ al Ahzab (33):12].
Kemudian turunlah pertolongan Allah SWT dengan masuk Islamnya Nuaim bin Mas’ud bin Amr, seorang tokoh terpandang. Dia berjaya menjalankan strategi memecah belah kekuatan musuh. Musuh menjadi lemah semangat, dan kemuncaknya adalah ketika berlaku ribut pasir di malam yang dingin. Bukan sekadar khemah pihak musuh porak poranda, azam dan pakatan mereka semakin luntur. Akhirnya musuh berundur serentak dari Madinah. Kemenangan Muslim dalam perang Ahzab melunturkan prestij Quraisy sehingga ramai penduduk Mekah memeluk Islam. Allahuakbar!
Rahsia Kemenangan Ahzab
Perang Ahzab mengajarkan bahawa pasukan yang kecil tidak semestinya akan kalah. Amalan berjemaah membawa keberkahan yang luar biasa. Berkah adalah anugerah Allah SWT berupa kebaikan yang menghasilkan sesuatu di luar jangkaan sebelumnya. [Tafsir al-Sya’rawi, Surah Ali Imran (3):103]. Nabi SAW bersabda: “Tangan Allah bersama jema’ah” [HR. Tirmidhi]. Berjemaah membawa kemenangan ke atas syaitan ataupun musuh. “Jika ada 3 orang di suatu kota atau desa, dan tidak didirikan solat (berjema’ah) di tengah-tengah mereka, nescaya mereka akan dikalahkan syaitan. Maka berjema’ahlah kalian, sesungguhnya serigala hanya memangsa orang yang terpisah dari kumpulannya.” [HR. Abu Dawud]
Rahsia Kemenangan Ramadhan
Kemenangan Ramadhan harus dinilai dengan muhasabah yang tepat kerana setiap Muslim harus menang dengan jayanya. Kemenangan Ramadhan dapat dinilai apabila kita tetap taat pada Allah SWT dalam segala urusan kita walau selepas berakhirnya Ramadhan. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.” [TMQ Ali Imran (3): 76], iaitu orang yang bertakwa kepada Allah SWT tanpa musim.
Rujukan:
Qiro-ah Siyasiyyah li Sirah Nabawiyah, Muhammad Rawwas Qol-ahji, Darun Nafais, Lubnan, 1996.
#MasyarakatMuslimIdeal #KemenanganIslam #Ramadhan #Syawal #RenunganSyawal