Ciri-ciri Masyarakat yang Beruntung: Cermin Penilaian Umat Selepas Ramadhan
Oleh: Ummu Asma’
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ ، وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
“Tiada Tuhan melainkan Allah; kami tidak menyembah melainkan Dia dengan penuh keikhlasan dalam beragama kepada-Nya, walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.”
Ungkapan ini dilaungkan dalam takbir Aidilfitri setiap tahun. Ia bukan sekadar lafaz tradisi, tetapi deklarasi kemurnian akidah dan keteguhan prinsip umat Islam. Kita menzahirkan kemurnian akidah dengan penuh ketulusan, tanpa bersikap apologetik terhadap sesiapa yang tidak menyukai Islam. Takbir raya merupakan deklarasi kemenangan umat yang telah bersama-sama menundukkan hawa nafsu dan godaan sepanjang Ramadhan, lalu muncul sebagai umat yang menang, iaitu masyarakat yang beruntung.
Kemenangan ini terhasil kerana ibadah dalam bulan Ramadhan membentuk sikap bertakwa dalam diri setiap Muslim. Firman Allah Ta‘ala ketika mewajibkan puasa: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [TMQ al-Baqarah (2):183]
Keimanan melahirkan ketaatan kepada perintah Allah. Ketaatan melalui ibadah puasa membuahkan takwa, dan takwa tersebut dipelihara serta diperkukuh melalui amar makruf dan nahi mungkar dalam masyarakat. Dalam suasana Ramadhan, syiar Islam ditegakkan dalam kehidupan; umat bersama-sama melaksanakan ibadah wajib dan sunat, membantu saudara Muslim yang hidup dalam kekurangan melalui sedekah dan usaha-usaha ikhlas yang mengharapkan ganjaran daripada-Nya. Pada masa yang sama, Ramadhan membentuk sikap mencegah kemungkaran, saling mengingatkan antara satu sama lain agar ibadah tidak terjejas oleh dosa dan maksiat.
Namun demikian, ciri-ciri ini tidak akan melahirkan masyarakat yang benar-benar beruntung selagi tidak dibentuk dalam kerangka kesatuan umat Islam. Hal ini ditegaskan melalui firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 103–104: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai… Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang berjaya.” [TMQ Ali ‘Imran (3):103–104]
Ayat ini menunjukkan bahawa umat Islam diperintahkan untuk bersatu atas dasar akidah Islam, bukan berpecah-belah berdasarkan negara bangsa, etnik atau sempadan wilayah yang dibentuk oleh penjajahan. Kesatuan yang berlandaskan akidah mampu menembusi sempadan wilayah dan bangsa sehingga umat berdiri sebagai satu tubuh; bak pepatah Melayu, jika dicubit paha kiri, paha kanan turut terasa. Sesebuah tubuh menjadi gagah apabila setiap anggotanya saling memelihara. Dalam kesatuan yang sebenar, tidak ada mana-mana kelompok umat Islam yang dibiarkan menderita, bahkan mereka dibela oleh saudara seakidah dengan pengorbanan harta dan jiwa.
Sebaliknya, realiti hari ini menunjukkan umat Islam terpisah kepada lebih 50 negara bangsa yang kecil dan lemah. Setiap negara lebih menumpukan urusan domestik masing-masing, dan tidak berani membela umat Islam yang tertindas di wilayah lain. Pergolakan politik, campur tangan asing bahkan genosida yang menimpa umat Islam di beberapa wilayah sering kali dibiarkan dan dibenamkan fakta kejadiannya. Keadaan ini berpunca daripada keterbatasan kekuatan politik serta bimbang terhadap ancaman kuasa-kuasa besar dunia yang kufur. Lebih mendukacitakan, kebanyakan negara umat Islam hari ini tidak menjadikan Islam sebagai asas ideologi dalam sistem pemerintahan dan perundangan, sedangkan negara-negara kufur mempertahankan ideologi dan sistem ciptaan yang mereka anut serta memperluas pengaruhnya melalui instrumen penjajahan politik, ekonomi dan budaya.
Atas kesedaran ini, umat Islam perlu menyedari kepentingan untuk bersatu dan bangkit atas landasan akidah dalam usaha mengembalikan kehidupan Islam. Hal ini dapat direalisasikan apabila sistem Islam ditegakkan melalui kesedaran dan perjuangan umat, serta apabila sistem kufur digantikan dengan sistem yang diturunkan oleh Allah. Dengan itu, iman dan takwa dapat diterjemahkan secara menyeluruh melalui pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar, sehingga membuahkan hasil yang didambakan daripada setiap Ramadhan, iaitu pembaharuan kesatuan dan kekuatan umat yang beruntung.
#RenunganSyawal #RenunganSyawal
#MasyarakatMuslimIdeal #KesatuanUmmah