Kandungan Surah Makkiyah
Para sahabat, ulama, serta masyarakat umum telah membezakan antara surah dan ayat Al-Quran. Mereka menandakan surah yang diturunkan di Mekah sebagai Makkiyah, dan surah yang diturunkan di Madinah sebagai Madaniyah, sehingga perkara ini menjadi pengetahuan umum bagi seluruh umat Islam.
Berdasarkan topik perbahasannya, ada sebahagian ulama yang menyatakan bahawa isi Al-Quran mencakupi 3 perkara: tauhid, pensyariatan hukum (tasyrî’) dan kisah-kisah. Ada pula ulama yang memperincikannya lebih mendalam lagi dengan membahagi Al-Quran ke dalam pelbagai cabang ilmu ‘ulûm Al-Qurân, seperti: ilmu tauhid, ilmu hukum (tasyri’), ilmu tentang nikmat-nikmat Allah, ilmu tentang ayyâmillâh (peristiwa yang dialami umat terdahulu), ilmu tentang kematian, serta ilmu tentang Hari Kebangkitan dan Pembalasan. Semua pendapat ini benar.
Hanya saja, dalam konteks melaksanakan dakwah, kita perlu memahami Al-Quran ini sebagai sebuah manhaj ‘amal (kaedah kerja) dan kitab dakwah yang menjelaskan as-Sunnah. Hal ini dilakukan dengan cara mengenali topik-topik yang dibahas Al-Quran selama fasa Mekah, agar kita dapat memahami Sirah Nabawiyah berdasarkan pencerahannya.
Di dalam surah dan ayat Makkiyah, kita akan menemui topik-topik utama sebagai berikut:
- Akidah: Membuktikan keberadaan dan keagungan Allah, membuktikan bahawa Al-Quran adalah firman Allah, serta membuktikan kenabian Muhammad dan adanya Hari Kebangkitan.
- Pertarungan Pemikiran (ash-shirâ’ al-fikriy): Membantah pemikiran kaum musyrik Arab dengan pelbagai jenis alirannya, serta membantah hujah kaum Yahudi dan Nasrani.
- Perjuangan Politik (al-kifâh as-siyâsiy): Menghadapi tokoh-tokoh kekafiran dan para pemimpin masyarakat (yang menghalang dakwah).
- Menentang pelbagai interaksi rosak dan tradisi buruk.
- Membina keperibadian Islam.
- Kisah-kisah dan Perumpamaan untuk meneguhkan hati Rasulullah SAW dan kaum Mukmin.
Dengan mencermati ayat-ayat Makkiyah secara mendalam, kita dapat mengetahui fasa-fasa dakwah di dalamnya, perbincangan yang diperlukan pada setiap fasa tersebut, dan bagaimana Nabi SAW melaksanakannya.
Sumber: Kitab Nahj al-Qur’ân fi ad-Da’wah oleh Syeikh Hafizh Shalih