3 Asas Akidah Islam
Dengan mencermati ayat-ayat Makkiyah secara mendalam, kita akan menemukan topik akidah dengan 5 rukunnya serta hal-hal yang menjadi cabang daripada 5 rukun tersebut.
Beriman kepada Allah ﷻ dan hal-hal yang membawa kepada keimanan tersebut—seperti mengarahkan perhatian manusia kepada ciptaan Allah, serta akibat daripada sifat-sifat ketuhanan seperti Maha Esa, Maha Kuasa dan Maha Mengetahui—diulang ratusan kali di dalam banyak surah, bahkan hampir di semua surah.
Beriman bahawa Al-Quran adalah firman Allah juga berulang kali disebutkan di banyak surah, walaupun Al-Quran itu sendiri adalah mukjizat yang dihadapi langsung oleh mereka, dan merupakan bukti atas kenabian orang yang membawanya.
Oleh kerana itu, tiga asas dalam keyakinan ini memiliki dalil yang bersifat aqli.
Yang dimaksudkan dengan tiga asas ini adalah: Iman kepada Allah ﷻ, iman kepada Al-Quran Al-Karîm dan iman kepada kerasulan Muhammad ﷺ. Manusia diseru untuk menegakkan hujah atas dasar akal dalam perkara-perkara ini, agar manusia tidak lagi memiliki hujah lain (untuk membantahnya).
Adapun beriman kepada rasul-rasul yang lain, kisah-kisah mereka telah diulang-ulang di banyak ayat sesuai dengan tuntutan keadaan saat ayat itu turun.
Penyebutan tentang Hari Kebangkitan dan Hari Kiamat juga diulang-ulang; kadangkala dengan menyeru akal untuk merenungkannya. Walaupun masalah ini tidak dapat dijangkau oleh akal, akan tetapi seruan itu menarik perhatian pada penciptaan yang pertama, kemudian disusuli dengan penjelasan bahawa mengulangi penciptaan itu lebih mudah daripada memulakannya dari awal. Sebagaimana firman Allah ﷻ (yang bermaksud):
“Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati), Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: `Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?’. Katakanlah: `Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya)’.” [TMQ Yâasîn (36): 77-79]
Juga seperti dalam surah. Qâf (50): 15, dan ayat-ayat lainnya.
Sumber: Kitab “Nahj al-Qur’ân fi ad-Da’wah” – Syeikh Hafi
#Iman #Akidah #RukunIman