Demokrasi Tidak Sesuai untuk Manusia
Penulis: Dr. Asyraf Abu Aththaya
Pada masa kini, sistem demokrasi dipersembahkan sebagai puncak pencapaian akal manusia dalam mengatur urusan pemerintahan, sehingga menjadi dogma yang hampir tidak boleh disentuh, seolah-olah ia adalah penimbang, bukan sesuatu yang ditimbang. Namun, sedikit renungan mendedahkan bahawa demokrasi bukan sahaja sebuah gagasan yang bertentangan, malah juga sebuah sistem yang bercanggah dengan fitrah manusia dan akhirnya membawa kepada kekacauan dan kemunduran, bukannya menuju kebebasan dan kemajuan.
Sejak awalnya secara teori, demokrasi bertumpu pada slogan gemilang “pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat”, tetapi definisi ideal ini dengan cepat runtuh dan hancur menghadapi realiti. Jutaan orang tidak boleh begitu sahaja berkumpul untuk membuat undang-undang sendiri, maka penyelesaiannya adalah dengan memilih “wakil” untuk membuat undang-undang bagi pihak mereka. Dengan peralihan praktikal ini, kuasa rakyat telah bertukar menjadi kuasa minoriti kecil yang mengawal nasib majoriti di bawah panji “wakil rakyat”. Dengan demikian, demokrasi, yang secara teori berakar daripada kedaulatan rakyat, akhirnya dikawal oleh segelintir elit politik, orang kaya, dan media. Keabsahan kotak undi menggantikan keabsahan pedang, dan pemimpin zalim terpilih menggantikan pemimpin zalim yang lama. Ini adalah tipu daya linguistik yang halus, yang pada hakikatnya menyembunyikan bentuk despotisme baru yang dijalankan atas nama rakyat, bukannya menentang mereka.
Namun, kontradiksinya tidak berhenti pada struktur politik, malah meluas hingga asal usul gagasan itu sendiri: siapa yang berhak membuat undang-undang? Demokrasi menjadikan manusia sebagai autoriti tertinggi yang menetapkan hukum untuk dirinya sendiri, sehingga undang-undang menjadi cerminan keinginan dan kepentingan rakyat yang sentiasa berubah. Sejarah membuktikan bahawa apa yang dianggap hak di satu masyarakat boleh jadi dianggap kejahatan di masyarakat lain, dan apa yang dianggap kebebasan hari ini boleh jadi dikecam esok hari sebagai penyimpangan atau kebencian.
Piawaian itu fleksibel, dan kriterianya pula bergantung pada keinginan dan keadaan. Bagaimana mungkin makhluk yang berubah-ubah dan bertentangan menjadi autoriti tertinggi atas kestabilan?! Dan bagaimana mungkin seseorang yang tidak berintegriti dalam dirinya sendiri menetapkan aturan integriti bagi umat manusia?! Gagasan “kedaulatan adalah milik rakyat” mengabaikan hakikat bahawa rakyat bukanlah entiti tunggal yang padu, sebaliknya merupakan himpunan kecenderungan dan kepentingan yang saling bertentangan. Apabila keputusan diambil berdasarkan suara majoriti, bukan bermakna keputusan tersebut benar, tetapi hanya kerana memperoleh suara terbanyak. Dengan demikian, kedaulatan berubah daripada aturan akal menjadi aturan angka.
Dengan kacaunya asas kedaulatan ini, timbullah krisis kebebasan yang selama ini dijunjung tinggi oleh demokrasi dengan mengangkat slogan “kebebasan” dalam berkeyakinan, berpendapat, pemilikan, dan berperilaku. Namun, apabila kebebasan dipisahkan daripada batasan moral, maka ia akan berubah menjadi kekacauan, dan apabila ia disucikan tanpa tanggungjawab, maka ia akan membebaskan naluri, bukan kemanusiaan. Demokrasi telah melepaskan hasrat manusia atas nama kebebasan, sehingga manusia menjadi hamba hawa nafsunya, mendambakan kesenangannya seperti haiwan yang mendambakan makanan dan syahwatnya, tanpa tujuan yang lebih tinggi atau tujuan maknawi (rohani atau batiniah). Atas nama kebebasan, segalanya menjadi halal: penolakan terhadap naluri semula jadi (fitrah), penyelewengan institusi keluarga, dan pengagungan penyimpangan sebagai pilihan peribadi. Dengan demikian, demokrasi tidak membebaskan manusia daripada belenggu dan ikatan, sebaliknya membebaskan naluri-nalurinya dan nafsu buruknya yang rendah, serta melepaskan sifat buas yang ada dalam dirinya.
Dengan hilangnya kawalan, makna pun hilang. Setiap sistem ciptaan manusia memerlukan tujuan untuk diperjuangkan dan piawaian untuk menilai baik dan buruk, tetapi demokrasi, dengan menjadikan manusia sebagai rujukan bagi dirinya sendiri, telah menghilangkan sebarang rujukan yang melampaui kepentingan dirinya. Apa yang disukainya dan yang memuaskan hawa nafsunya menjadi baik, dan apa yang mengganggunya menjadi jahat. Dengan demikian, nilai-nilai luhur pun merosot dan naluri-naluri yang baik turut lenyap. Maka lahirlah manusia yang hidup tanpa kompas atau titik acuan ilahi, tersesat dalam kekarutan hasrat dan pertentangan fikirannya, dikepung kekosongan rohani, kemurungan, dan ketidakbermaknaan. Sistem yang menjanjikan kebebasan dan martabat telah merampas tujuan dan kedamaian.
Pada intinya, demokrasi beranggapan bahawa manusia mempunyai pemikiran yang seimbang yang mampu mengurus dirinya sendiri dan masyarakatnya dengan keadilan dan kebijaksanaan, tetapi pengalaman manusia membuktikan sebaliknya. Manusia ialah makhluk yang terbatas, dipengaruhi oleh kepentingan, ketakutan, dan keinginannya. Jika dia diberi kuasa untuk membuat undang-undang tanpa autoriti yang lebih tinggi daripada keinginannya, dia akan merosakkan segala sesuatu di sekelilingnya.Oleh itu, krisis demokrasi bukan sahaja terletak pada pengasingannya terhadap agama, tetapi juga pada kesalahfahamannya terhadap hakikat manusia itu sendiri. Manusia bukanlah Tuhan kecil yang mencipta hukum, dan juga bukan mesin mental tulen yang mengendalikan dunia dengan rasionaliti yang dingin. Sebaliknya, manusia ialah makhluk yang membawa dalam dirinya kecenderungan menuju kebaikan dan kejahatan, menuju keagungan dan kehinaan, sehingga manusia memerlukan rujukan untuk mengawal dan membimbingnya. Adapun demokrasi, maka atas nama kebebasan dan kedaulatan, ia menghancurkan setiap batasan yang mencegah kejatuhannya, membiarkan manusia berhadapan dengan dirinya sendiri tanpa bimbingan atau penimbang perbuatan.
Demokrasi lahir daripada ilusi luhur bahawa manusia mampu memerintah dirinya sendiri, tetapi berakhir dengan realiti pahit yang membuktikan bahawa apabila manusia memerintah dirinya sendiri, maka dia sebenarnya menghancurkan dirinya sendiri. Demokrasi ialah sistem yang bertentangan dengan fitrah manusia, dengan keterbatasan intelektual manusia, serta dengan keperluan fitrah terhadap kestabilan dan kerohanian. Sesungguhnya, demokrasi ini ialah gagasan yang indah di permukaan, tetapi mustahil dilaksanakan dalam realiti kehidupan manusia. Alih-alih mengangkat manusia ke kedudukan yang bermartabat, demokrasi sebaliknya merendahkannya ke tahap haiwan, sehingga manusia hidup tanpa prinsip, batasan, atau tujuan. Oleh itu, demokrasi, pada hakikatnya, ialah sistem yang menentang manusia, meskipun slogannya indah dan menarik.
Manusia tidak memerlukan sistem yang menuruti keinginannya, sebaliknya sistem yang mengambil kira keinginannya, mengawal nalurinya, dan mengangkat kemanusiaannya daripada tahap mengikuti naluri ke tahap yang membawa kepada kehormatan. Manusia memerlukan pendekatan menyeluruh yang membimbing kehidupannya dalam semua aspeknya, dalam pemikiran dan tingkah laku, secara individu mahupun kolektif, di dunia dan akhirat. Sistem seperti ini hanya datang daripada Zat Yang Maha Sempurna yang bebas daripada kekurangan, kelemahan, keperluan, dan kebodohan. Dia ialah Allah Sang Pencipta yang mencipta manusia, alam semesta, dan kehidupan.
﴿أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ﴾
“Apakah (pantas) Zat yang menciptakan itu tidak mengetahui, sedangkan Dia (juga) Maha halus lagi Maha Mengetahui?” [TMQ Al-Mulk (67) : 14].
Apabila seseorang mempunyai pemahaman yang benar tentang dirinya sendiri, alam semesta yang didiaminya, serta hubungan antara dirinya dengan sebelum kehidupan dan selepasnya, maka dia telah mengambil langkah pertama menuju kebangkitan manusia yang sejati. Kebangkitan ini tidak bermula dengan ekonomi, industri, atau kekayaan, sebaliknya dengan gagasan yang menetapkan makna kewujudan dan tujuan hidup.
Oleh itu, akidah rohani (ruhiyah) dan politik diperlukan untuk membentuk asas yang kukuh bagi kebangkitan sejati, yang menggabungkan keimanan mendalam dengan pemikiran praktikal, serta menghubungkan dunia ini dengan akhirat, tanpa memisahkan keduanya. Itulah akidah Islam, iaitu akidah yang lahir daripada ideologi Islam, yang menggabungkan antara akidah yang membimbing dengan sistem yang mengatur. Sesungguhnya, akidah Islam ialah ideologi yang benar-benar akan membangkitkan manusia, bukan sekadar khayalan dan ilusi.
#Demokrasi #DemokrasiSistemGagal #DemokrasiTidakIslami #IdeologiSekular
#PolitikIslam #IdeologiIslam