Perhatian Al-Fateh terhadap Pendidikan Umat
Sultan Muhammad al-Fâteh adalah seorang yang mencintai ilmu dan para ulama. Kerana itu, Beliau memberikan perhatian besar terhadap pembangunan sekolah-sekolah dan lembaga-lembaga pendidikan di seluruh wilayah negaranya. Muhammad al-Fâteh mengatasi para pendahulunya dalam bidang ini. Beliau juga melakukan sejumlah reformasi dalam sistem pendidikan. Beliau mengawasi penyempurnaan dan perkembangan kurikulum, serta memastikan penyebaran sekolah dan lembaga pendidikan di seluruh kota besar mahupun kecil, bahkan hingga ke desa-desa. Beliau juga menetapkan wakaf-wakaf besar untuk menampung kelangsungan lembaga-lembaga tersebut. Pendidikan di semua sekolah negara diberikan secara percuma.
Beliau mengatur sekolah-sekolah itu secara teratur, membahagikannya kepada gred dan tingkatan, menyusun kurikulum, serta menentukan ilmu dan mata pelajaran yang diajarkan pada setiap tahap. Beliau juga menetapkan sistem ujian, sehingga seorang pelajar tidak dapat naik ke tahap seterusnya kecuali setelah menguasai ilmu pada tahap sebelumnya dan lulus ujian yang ketat. Beliau juga sentiasa murah hati dalam memberikan hadiah kepada para guru dan pelajar yang berprestasi.
Mata pelajaran yang diajarkan di sekolah-sekolah tersebut meliputi tafsir, hadis, fikih, sastera, balaghah serta ilmu-ilmu bahasa seperti ma‘âni, bayân, dan badî‘, juga ilmu teknik, dan lain-lain.
Kurikulum sekolah-sekolah tersebut juga menerapkan sistem pengkhususan, sehingga ilmu-ilmu naqliyah dan teori memiliki bahagian tersendiri, dan ilmu-ilmu terapan juga memiliki bahagian khusus.
Sekolah-sekolah ini juga dilengkapi dengan asrama bagi para pelajar, tempat mereka tinggal dan makan. Mereka juga diberikan biasiswa bulanan. Di samping itu, beliau juga mendirikan sebuah perpustakaan khusus.
Pengurus perpustakaan meminjamkan buku kepada para pelajar dan pengajar sesuai permintaan mereka dengan sistem yang rapi dan teratur. Penanggungjawab perpustakaan ini bertanggungjawab atas buku-buku yang berada dalam pengawasannya, termasuk menjaga keutuhan lembaran-lembarannya. Perpustakaan ini diperiksa sekurang-kurangnya setiap 3 bulan sekali.
Sumber: “Ad-Daulah Al-Utsmaniyyah” – Prof. Ali Muhammad ash-Shallabi
#SistemPendidikanKhilafah #KhilafahUthmaniyyah #MuhammadAlFateh