[Kewangan Global] Kecacatan Sistemik dalam Kapitalisme (Bahagian 1/5)
Penulis: Jamal Harwood
Pertaruhan bernilai £500 bilion dalam sektor perbankan nampaknya telah menjadi kad terakhir yang digunakan oleh Kerajaan Britain dalam usaha mereka untuk menyelamatkan kerosakan sistemik sistem kewangannya. Seperti seorang penjudi yang kalah, tetapi berulang kali datang kembali ke kasino dengan harapan dapat menang untuk mengganti kerugiannya, kerajaan Britian juga terus menyalurkan wang hasil cukai rakyatnya untuk menutupi kerugian akibat “aset-aset” kewangan itu.
Selama beberapa dekad , negara-negara Barat telah berceramah kepada dunia tentang kehebatan idea kebebasan kepemilikan yang menjadi lambang kapitalisme pasaran. Bukan itu sahaja , melalui khidmat perunding-perunding yang dibayar tinggi, mereka juga telah mengembangkan dan menanamkan program-program penswastaan, dasar perdagangan bebas, struktur syarikat kapitalis, serta pengoperasian pasaran saham di seluruh dunia.
Melalui konsensus Washington, IMF dan Bank Dunia telah memaksakan dasar-dasar kapitalis terhadap negara-negara miskin dan membangun, yang berada dalam keadaan tenat setelah menanggung kesan langsung daripada pelaksanaan program-program “pelarasan struktur” IMF dan Bank Dunia secara paksa. Seluruh perekonomian telah dirosakkan secara kejam oleh berbagai implikasi akibat daripada “resepi” mereka yang ternyata menuai bencana.
Namun demikian, terlepas daripada adanya krisis demi krisis, tetap sahaja para banker IMF dan Bank Dunia mengatakan bahawa dasar-dasar kapitalis merupakan langkah yang diperlukan untuk menuju ke arah pembangunan yang lebih baik.
Akan tetapi, apabila berdepan dengan kebankrapan ekonomi di dalam negaranya sendiri, negara-negara Barat itu sebaliknya melakukan tindakan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip yang mereka anuti selama ini sekaligus melecehkan prinsip itu sendiri. Dalam krisis ini banyak sekali dasar yang bertentangan dengan prinsip dan dasar pasaran bebas kapitalisme. Ini semua menunjukkan bahawa Dunia Barat memang telah bankrap secara ideologi.
1. Syarikat-syarikat yang sebelumnya sangat menguntungkan, namun kemudiannya mengalami kerugian besar, kini telah dinasionalisasikan. Misalnya, Northern Rock dan Royal Bank of Scotland di Britain, serta Freddie Mac dan Fannie Mae di Amerika Syarikat.
2. Undang-undang antimonopoli dan antiamanah (atau antipersaingan tidak sihat) telah diketepikan, misalnya dalam kes penggabungan antara Lloyds dan HBOS di Britain.
3. Beratus-ratus bilion dolar wang pembayar cukai malah dibelanjakan ke dalam sistem perbankan swasta untuk dipinjamkan kepada institusi-institusi kewangan komersial yang berorientasikan keuntungan.
4. Kadar faedah telah dipotong walaupun kadar inflasi berada pada tahap yang relatif tinggi. Ini bertentangan dengan dasar monetari yang kononya perlu “selamat” (berhati-hati), seperti dasar yang di amalkan di Amerika Syarikat, Britain, dan Eropah.
5. Cukai telah dikurangkan walaupun terdapat hutang dan pinjaman awam yang tinggi, contohnya di Amerika Syarikat. Ini jelas bertentangan dengan peraturan fiskal yang dikatakan perlu bersifat bijaksana.
6. Sebanyak 100% daripada hutang jangka panjang syarikat-syarikat swasta berorientasikan keuntungan (bank) telah dijamin oleh kerajaan, sebagaimana yang berlaku di Ireland.
7. Syarikat-syarikat pengeluar kenderaan bermotor telah diberikan jaminan kredit untuk merangsang pelaburan, misalnya di Amerika Syarikat.
8. Kerajaan menggunakan wang daripada pembayar cukai untuk membeli saham di syarikat-syarikat swasta yang muflis, sebagai contoh, dasar atau langkah penyelamatan sektor perbankan oleh kerajaan Britain.
9. Pindaan terhadap undang-undang perakaunan secara terencana, termasuk pengiktirafan nilai yang wajar (mark to market) dalam standard perakaunan kewangan.
Kegagalan sistemik dari pasaran kewangan merupakan dakwaan yang jelas terhadap kapitalisme. Ini kerana sistem kewangan merupakan lambang kepada pemikiran, nilai, dasar, budaya, dan pandangan kapitalisme, melebihi aspek-aspek kapitalisme yang lain.
Prinsip kapitalisme yang berteraskan kebebasan kepemilikan yang pernah begitu disucikan terbukti membawa malapetaka dan menghancurkan masyarakat Barat sendiri. Ideologi Komunisme yang juga ekstrem dan menolak kepemilikan seumpama itu juga telah terbukti tidak berjaya diterapkan dalam kehidupan masyarakat.
Bom Waktu Monetari
Pada November 2008, New York Times melaporkan bahawa Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat telah menyalurkan sebanyak US$7.8 trilion bagi skim penyelamatan sektor perbankan yang dirangka demi menyelamatkan perekonomian Amerika Syarikat, serta membuat agar sistem kewangan dapat terus berjalan.
– US$1.7 trilion dalam bentuk pinjaman. Syarikat-syarikat meminjam dana daripada kerajaan dengan cagaran berupa surat-surat berharga (sekuriti) yang sukar dijual semula.
– US$3.0 trilion dalam bentuk pelaburan. Kerajaan membeli saham dan hutang syarikat, termasuk akan membeli gadai janji (hipotek).
– US$3.1 trilion dalam bentuk jaminan. Kerajaan menjamin bon syarikat, dana di pasaran modal, serta wang masyarakat dalam bentuk simpanan bank.
Selain itu, dasar nasionalisasi dua syarikat gadai janji terbesar, Fannie Mae dan Freddie Mac, telah menambah US$5.3 trilion kerugian dalam hutang gadai janji jangka panjang ke dalam kunci kira-kira kerajaan Amerika syarikat.
Terdapat sedikit konsensus atau kesepkatan tentang skala kerugian yang diserap dalam sistem kewangan. IMF pada awalnya telah menganggarkan kerugian sekitar US$1 trilion, tetapi kini mengakui bahawa angka tersebut terlalu rendah. Nouriel Roubini menganggarkan kerugian sebenar mencecah lebih dari US$2 trilion. Ada juga yang mengatakan lebih dari US$5 trilion.
Bahkan peratusan yang kecil yang dituliskan pada gunung derivatif berharga US$500-1000 trilion sudah cukup untuk membuatkan angka pra-anggaran tersebut terlihat begitu kecil. Risiko rakan niaga (counterparty risk) yang ada dalam sistem perbankan jauh lebih besar dibandingkan dengan yang dapat ditampung, bahkan oleh gabungan kepimpinan negara-negara terkaya sekali pun.
(Bersambung ke “Kecacatan Sistemik” Bahagian 2/5.)
Sumber: Jamal Harwood, Membedah Krisis Kewangan Global.
#Kapitalisme #KrisisKewanganGlobal