[Kewangan Global] Kecacatan Sistemik dalam Kapitalisme (Bahagian 2/5)
Penulis: Jamal Harwood
(Sambungan dari “Kecacatan Sistemik” Bahagian 1/5.)
Nilai KDNK Amerika Syarikat mencecah sekitar US$14 trilion. Amerika Syarikat sendiri adalah negara penghutang terbesar dengan defisit negara mencapai lebih dari US$10 trilion. Defisit anggarannya pada tahun mendatang boleh menggelembung (dijangka melonjak) sehingga lebih dari US$1 trilion, khususnya dengan adanya pakej rangsangan yang dijanjikan oleh presiden baru pada masa itu, Barack Obama.
Kegelisahan kian memuncak berhubung dengan kurangnya ketelusan dalam dasar-dasar kerajaan. Bloomberg (10-11-2008) melaporkan, “Bank Pusat Amerika Syarikat telah menolak untuk mengenal pasti penerima bantuan kecemasan hampir US$2 trilion daripada wang cukai rakyat Amerika atau pemilik aset-aset bermasalah yang diterima oleh Bank Pusat sebagai jaminan. Kegelisahan itu tidak reda walaupun ada jaminan yang diberikan kepada Kongres tentang transparensi atau ketelusan program penyelamatan sektor perbankan bernilai US$700 bilion tersebut. Dua bulan kemudian, Bank Pusat telah meminjamkan lebih banyak lagi dana ke program-program penyelamatan terpisah yang tidak memerlukan persetujuan Kongres. Rakyat Amerika tidak tahu dibawa ke mana wang mereka atau jaminan apa yang diberikan oleh bank-bank itu.”
Dr Ronald Solberg dari Armored Wolf Asset Managers menegaskan bahawa kerajaan Amerika Syarikat telah berubah menjadi sebuah bank. Perkara yang paling membimbangkan adalah tindakannya yang telah meminjamkan dana tanpa ada jaminan sama sekali.
Anggaran kunci kira-kira Bank Pusat telah meningkat secara drastik. Lapan minggu sebelum Oktober 2008, asas monetari berkembang sebanyak 38% kepada US$1.142 trilion dan tidak ada tanda-tanda akan turun. Begitu pun, dana rizab yang disuntik ke dalam kunci kira-kira bank-bank tidak pernah diumumkan kepada para pemegang kepentingan dalam sektor ekonomi.
Bank-bank menggunakan dana tunai tersebut untuk memperbaiki dan menyusutkan belanjawan kunci kira-kira mereka, iaitu dengan menghapuskan kredit-kredit yang tertunggak (tidak berbayar). Dengan demikian, timbul pelbagai persoalan mengenai keberkesanan skim penyelamatan sektor perbankan tersebut, dan tempoh sebenar krisis kredit tersebut akan berakhir setelah bank-bank mengurangkan hutang-hutang serta menghapus angka-angka kerugian mereka.
Komitmen untuk melakukan segala yang diperlukan guna menyelamatkan ekonomi daripada kehancuran total dan kejatuhan institusi-institusi kewangan Amerika Syarikat kemudian tidak lagi dipertanyakan. Namun, sumber dana sebanyak itu masih menjadi tidak jelas. Kerajaan Amerika berdepan dengan beberapa pilihan: pembatasan besar-besaran terhadap pengeluaran untuk program-program sosial, kesihatan dan kebajikan, peningkatan cukai secara dramatik, peningkatan nilai pinjaman dari negara lain, atau pencetakan wang baru sebanyak mungkin.
Dua pilihan pertama yang melibatkan pembatasan perbelanjaan dan peningkatan cukai tidak dapat dipertahankan dan tidak dapat menampung keperluan dana trilionan dolar yang diperlukan. Dengan demikian, wang itu dijangka diperoleh melalui pinjaman luar negara, termasuk dengan penerbitan bon oleh Jabatan Kewangan Amerika, atau melalui jalan mencetak wang yang secara efektif akan menyebabkan devaluasi nilai mata wang dan menaikkan inflasi.
Patut dipersoalkan, apakah kerajaan negara-negara asing akan terus memberikan pinjaman dana kepada Amerika Syarikat, khususnya setelah daya beli pasaran Amerika Syarikat terhadap barang-barang dari China dan Jepun turut menurun secara drastik. Kerajaan China yang telah memegang bon Amerika bernilai US$1.8 trilion juga mungkin tidak berniat meningkatkan jumlah dolar yang dikuasainya kerana mata wang itu dijangka akan segera jatuh nilainya.
Jika kerajaan AS gagal mendapat dana daripada sumber-sumber luar negara, tidak ada alternatif lain selain meningkatkan bekalan wang Amerika Syarikat secara besar-besaran yang pada seterusnya akan menyebabkan inflasi atau hiperinflasi. Tindakan kerajaan membeli kredit-kredit tidak berbayar (non performing loans) telah membuatkan kedudukan Kerajaan itu sendiri menjadi lebih berisiko terhadap kehadiran pelaburan.
Ini kerana kerajaan sendiri menjadi rapuh dan berpotensi muflis. Risiko ini menjadi lebih besar lagi dibandingkan masa awal krisis kerana perekonomian Barat mengalami penurunan cukai dan peningkatan belanjawan awam. Dengan demikian, krisis kewangan telah mempercepatkan derasnya krisis ekonomi yang berhujung dengan krisis politik.
Kitaran Perniagaan Yang Tidak Masuk Akal: Menggelembung, lalu Meledak
Jika unit meter, gram, dan saat kekal malar, mengapa dolar senantiasa berubah? Meter, gram, dan saat adalah nilai dari kuantiti fizikal yang bersifat stabil. Adapun dolar, sbealiknya merupakan nilai yang bersifat semu dan digunakan sebagai ukuran, padahal tidak ada kuantiti fizikal stabil yang menopangnya dengan baik. Akan tetapi, kerana saat ini mata wang tidak ditopang oleh sesuatu yang stabil dan nyata, sejumlah ‘orang yang cerdas’ (yang tidak ingin kehilangan jatah kuih kekayaan) mendedikasikan hidup mereka untuk mengikuti pasaran mata wang.
Dalam pandangan mereka, yang utama bukanlah masalah, melainkan peluang untuk menghasilkan keuntungan yang lebih banyak lagi dan lagi. Sebahagian orang mendapat keuntungan dengan cara meramalkan pergerakan-pergerakan pihak lain. Adapun sebahagian yang lain benar-benar menjadi koreografer daripada tarian itu sendiri.
Wang atau mata wang adalah unit yang memiliki nilai. Dengan kata lain, ratio atau nisbah pertukaran suatu produk perkhidmatan dengan wang disebut sebagai “harga”. Patut diperhatikan bahawa “nilai tukar” atau nilai sebagaimana sering disebut adalah rasio/nisbah selisih pertukaran sesuatu dengan sesuatu yang lain. Adapun harga adalah mekanisme untuk menentukan nilai pertukaran tersebut. Akan tetapi, berbeza dengan pertukaran suatu barang dengan barang yang lain, boleh sahaja harga barang-barang naik atau turun pada suatu waktu tertentu. Dengan begitu, harga suatu barang setara dengan nilai instrinsik barang tersebut.
Jika wang memiliki nilai tetap dalam bentuk yang stabil dan nyata (misalnya 1 unit wang bernilai 1 gram emas), maka wang itu akan benar-benar menjadi unit yang bersifat tetap, sama seperti ukuran meter atau saat. Sejak lebih dari satu millenium, nilai wang didasarkan pada standard tertentu, iaitu emas. Sepanjang itu juga, wang telah menjadi alat pertukaran. Oleh kerana itu, masyarakat global memahami wang sebagai unit untuk menentukan nilai sesuatu.
Sayangnya, penetapan nilai wang berdasarkan sesuatu yang stabil dan nyata itu kemudian dihapus pada akhir abad ke-20. Sejak saat itu, wang pun dianggap sebagai objek semata. Wang hanya memiliki nilai nominal yang bersifat khayalan atau tidak tetap. Nilai nominal wang tidak lagi didasarkan pada suatu nisbah nilai tukar yang sebenar dengan barang atau perkhidmatan. Kemudian wang hanya didasarkan pada persepsi orang ramai atau para pedagang wang semata.
Dengan demikian, harga atau nilai sesuatu berfluktuasi mengikuti `nilai khayalan’ wang, sebanyak atau bahkan melebihi nilai atau manfaat barang atau perkhidmatan, atau “nilai manfaatnya”. Itulah yang sedang terjadi di dunia kita masa kini. Oleh sebab itu, tidak mengejutkan jika nilai nominal rumah anda mengalami kenaikan ataupun penurunan. Selama lebih dari satu abad, sudah terjadi pola di mana nilai-nilai tersebut menggelembung dan meledak sekali setiap satu dekad, selama lebih dari 150 tahun ini!
Sumber: Jamal Harwood, Membedah Krisis Kewangan Global.
#KrisisKewanganGlobal #SistemKewangan #Kapitalisme