[Kewangan Global] Kecacatan Sistemik dalam Kapitalisme (Bahagian 3/5)
Penulis: Jamal Harwood
(Sambungan dari “Kecacatan Sistemik” Bahagian 2/5.)
Hidup dalam Dunia yang Penuh Krisis, Apakah Ini Nasib?
Sistem ekonomi yang diamalkan sekarang ini mencerminkan ideologi yang berlaku dalam sesebuah negara. Oleh kerana itu, ketidakstabilan yang terjadi seperti sekarang ini tidak boleh dianggap sebagai kegagalan sistem ekonomi semata. Sistem ekonomi kapitalisme yang diamalkan sekarang ini sedang menderita akibat ketidakstabilan yang sudah jelas kelihatan, sehingga kadang-kadang ia disebut sebagai kitaran perniagaan (senarai kitaran perniagaan Amerika Syarikat) dan menjadi tumpuan utama dalam makroekonomi (kapitalis).
Sejarah penerapan sistem ekonomi kapitalisme sejak 100 tahun lalu menunjukkan betapa sukarnya mentafsirkan ketidakstabilan yang selalu berulang itu sebagai satu pengecualian. Ada beberapa penjelasan tentang kitaran perniagaan yang tidak masuk akal ini. Penjelasan secara terperinci memerlukan tahap akademik yang tidak sesuai dengan konteks pembahasan masalah ini. Pada umumnya penulisan-penulisan tentang dinamika kitaran perniagaan itu terfokus pada pembolehubah dalam sistem kapitalisme, dan data-data daripada berbagai pembolehubah tersebut, tetapi tidak menyelami ke dalam sistem ideologi atau model masyarakatnya di sebaliknya.
Kurangnya konsensus dan kajian tentang karakteristik sistem ekonomi kapitalisme, membuatkan ahli ekonomi ternama berpendapat bahawa kegagalan terbesar teori ekonomi (kapitalis) adalah kegagalan dalam menjelaskan kitaran perniagaan tersebut, ukuran fluktuasi (turun naik) harga-harga, serta faktor-faktor yang menyebabkan pertumbuhan dan inovasi.
Smith dan Walras mengatakan bahawa ekonomi dapat difahami sebagai sistem pencarian dan pemeliharaan keseimbangan. Para ahli ekonomi kapitalis terkemuka melihat ledakan ekonomi sebagai hasil daripada goncangan luaran yang menimpa sistem itu. Baik ahli ekonomi klasik mahupun Keynesian terjebak dalam perdebatan tentang kelemahan pasaran ketika terjadinya goncangan jumlah permintaan dan penawaran untuk mencapai keseimbangan jangka panjang.
Ahli ekonomi klasik mencadangkan supaya harga-harga disesuaikan pada saat terjadinya kuantiti permintaan dan penawaran. Hal ini supaya perekonomian tetap memiliki keseimbangan jangka panjang sekurang-kurangnya selama beberapa bulan, sehingga kemelesetan (recession) dapat berakhir lebih cepat. Dalam versi yang lebih tegas, keseimbangan itu tetap dipertahankan sahaja . Penyesuaian itu terjadi dengan cepat, sehingga mereka berpendapat bahawa intervensi kerajaan hanya berpengaruh sedikit. Ini konsisten dengan konsep invisible hand (tangan ghaib).
Sementara itu ahli ekonomi Keynesian berpendapat bahawa harga/upah tidak menyesuaikan dirinya sendiri dengan cepat. Keuntungan ekonomi terhadap keseimbangan jangka panjang akan lambat. Jangan percaya terhadap konsep keupayaan pembetulan kendiri (self-correction) ekonomi. Oleh itu, perlu ada peranan kerajaan dalam memerangi kemelesatan. Sebagai contoh, dalam situasi begini Keynes mengesyorkan peningkatan bajet belanjawan.
Ahli ekonomi lain, misalnya Minsky, berpendapat bahawa dalam situasi ketika tidak ada goncangan eksternal, ketidakstabilan merupakan karakteristik fundamental daripada sistem kewangan dalam ekonomi kapitalis. Para ahli ekonomi daripada mazhab Austria pula berpendapat bahawa ketidakstabilan inheren yang ada itu disebabkan oleh intervensi kerajaan, misalnya dalam keberadaan dan peranan Bank Pusat. Ini tidak akan terjadi dalam pasaran bebas tulen ala kapitalisme.
Secara umum (dengan sedikit pengecualian), semua pendapat terlihat seperti berusaha memperluaskan kebebasan kepemilikan semaksima mungkin sesuai dengan semangat pelaku pasaran bebas, tetapi dengan beragam ketentuan dan intervensi kerajaan untuk mencapai kestabilan.
Jika yang menjadi isu utama adalah mencari solusi terhadap kitaran perniagaan, solusi-solusi yang masih menganut kerangka kapitalis akan selalu menjadi perdebatan, di mana berpegang teguh kepada cita-cita ideal sudah tidak lagi relevan. Sedangkan konsep intervensi kerajaan bererti melanggar salah satu konsep utama dalam ekonomi kapitalis. Mengutip kata-kata ulama Islam Imam Syatibi tentang kapitalisme ini, melanggar konsep kapitalis dengan dalih untuk mengejar cita-cita kapitalisme itu ibarat seseorang yang hanya peduli dengan ruh sambil melecehkan jasad. Ini kerana jasad tanpa ruh tidak akan bererti apa-apa. Oleh sebab itu, ruh tanpa jasad juga tidak ada maknanya sama sekali.
Ketidakstabilan Inheren
Ketidakstabilan adalah kurangnya keseimbangan hubungan yang wajar di antara nilai wang dan barang. Sebuah pandangan yang berpengaruh dalam hal ini ialah hipotesis ketidakstabilan kewangan, yang menyatakan bahawa ekonomi memiliki rejim kewangan yang stabil dan rejim pembiayaan yang tidak stabil. Demikian pula bahawa sepanjang tempoh kemakmuran yang panjang, ekonomi mengalami peralihan daripada pelbagai hubungan kewangan yang dibuat untuk mendukung sebuah sistem yang stabil kepada berbagai hubungan kewangan yang dibuat untuk sistem yang tidak stabil.
Kemudian, apabila sesebuah ekonomi yang mengandungi sejumlah unit kewangan spekulatif di dalamnya berada dalam keadaan cenderung mendekati inflasi, dan pihak-pihak yang berautoriti berusaha mengekang lajunya kadar inflasi dengan mengetatkan dasar monetari, unit-unit spekulatif tersebut akan dengan pantas mengarahkan sisi ekonomi ini kepada penyusutan mendadak nilai-nilai aset.
Hipotesis ketidakstabilan kewangan merupakan suatu model ekonomi kapitalis yang tidak dilandaskan kepada goncangan-goncangan eksogen untuk terus menggerakkan kitaran perniagaan dengan tahap kerosakan yang berbeza-beza. Mazhab Austria menerima hipotesis ketidakstabilan sebagai penjelasan atas apa yang sedang terjadi. Namun, mereka juga merasakan bahawa hipotesis tersebut tidak memberi penjelasan yang memuaskan, sehingga kapitalisme tidak boleh dipersalahkan begitu sahaja .
Mereka menyimpulkan bahawa ketidakstabilan merupakan buah kegagalan daripada intervensi kerajaan berskala besar melalui Bank Pusat. Sebagai contoh, andaikan Jack menyimpan £100 sebagai simpanan pokok (katakanlah hasil daripada pertanian) di sebuah bank. Jack berhak mengelurkan wang £100 tersebut pada bila-bila masa pun dia mahu. Kemudian, katakanlah bank tersebut meminjamkan £50 daripada jumlah itu kepada Jill. Pada tahap ini, kita dapat melihat kewujudan jumlah £150 yang sebenarnya hanya bersandarkan kepada £100 (sebuah praktik universal dalam perbankan moden yang dinamakan fractional reserve banking).
Untuk memperjelas, andaikan Jack dan Jill masing-masing membeli barangan berharga £100 dan £50 dengan pembayaran menggunakan cek daripada sebuah kedai. Dalam hal ini, bank akan mengalami kerugian sebanyak £50. Kalangan Austria berhujah bahawa dalam pasaran bebas, apabila sebuah bank terlibat dalam perluasan kredit tanpa sokongan modal yang mencukupi, maka bank itu sedang menanggung risiko tersembunyi, sehingga ancaman kebankrapan masih dapat dielakkan.
Atas sebab itu, hipotesis ketidakstabilan Minsky hanya berlaku dalam ekonomi kapitalis moden dengan segala peraturan institusinya, dan bukan kepada ketiadaan sepenuhnya penglibatan/campur tangan kerajaan dalam kapitalisme pasaran bebas.
(Bersambung ke “Kecacatan Sistemik” Bahagian 4/5.)
Sumber: Jamal Harwood, Membedah Krisis Kewangan Global.
#SistemKewangan #KrisisKewanganGlobal #Ekonomi #Kapitalisme