[Kewangan Global] Kecacatan Sistemik dalam Kapitalisme (Bahagian 4/5)
(Sambungan dari “Kecacatan Sistemik” Bahagian 3/5.)
Penulis: Jamal Harwood
Penyebab-penyebab yang dikemukakan melalui hipotesis ketidakstabilan pada asasnya bersifat psikologi dan patologi. Adapun penyebab yang dikemukakan oleh Mazhab Austria pada dasarnya bersifat institusional (penginstitusian). Kedua-duanya tidak memberikan alternatif yang dapat menjamin kestabilan. Anarki pasaran bebas mutlak tidak akan pernah dapat bertahan dan diterima oleh masyarakat secara keseluruhan. Malah, ia juga bercanggah dengan kerangka teorinya sendiri, terutamanya bagi seseorang yang menekankan bahawa pasaran bebas bergantung kepada definisi yang dibuat mengenainya.
Sementara bagi kalangan Keynesian pula, akan selalu ada sengketa tentang regulasi atau peraturan, dan sekatan yang sesuai. Pasaran akan senantiasa berkembang dan menghadapi krisis demi krisis. Ini selagi pasaran melandaskan ideanya sendiri pada realiti (yang seringkali terlalu ketat) dengan anggapan bahawa ekonomi sangat rapuh terhadap fluktuasi eksternal dan internal.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa model Bank Pusat adalah teras kepada masalah yang dihadapi ekonomi. Ini kerana perekonomian mengizinkan bank untuk meminjam atau menjual secara langsung beberapa aset demi mendapatkan wang tunai. Pertanyaan utama dalam hal ini ialah dari manakah Bank Pusat memperoleh kecairannya?
Bank Pusat pada asasnya hanya mencetak wang begitu sahaja tanpa sokongan aset yang nyata. Bank juga boleh meminjam daripada bank-bank lainnya, tetapi hal ini akan menyebabkan kenaikan kadar faedah yang sekaligus memperlahankan permintaan daripada para peminjam. Sistem perbankan moden dipandu dan dikoordinasikan oleh Bank Pusat yang menjamin kecairan yang memadai bagi pelaburan dan pengeluaran dengan menyuntikkan wang dalam bentuk pengembangan kredit secara bersama tanpa sokongan aset.
Jelas sekali bahawa dasar monetary yang terlalu longgar oleh Bank Pusat Amerika Syarikat sepanjang Disember 2000 hingga Jun 2004 menjadi asas kepada aktiviti pembentukan gelembung, antaranya dengan menurunkan kadar dana Persekutuan, The Fed (Federal Funds Rate), (kadar suku faedah dana pinjaman persekutuan) daripada 6.5% ke angka 1%. Kemudian di antara Jun 2004 hingga September 2004, The Fed mula menaikkan kadar pendanaan dari 1%. Pengetatan kecairan ini telah mengurangkan gelembung dalam pasaran perumahan (yang memberikan banyak signal amaran), sehingga mencetuskan tekanan yang akhirnya membawa kepada ledakan, kejatuhan besar pada akhir 2007. Kadar pendanaan Persekutuan adalah salah satu tuas yang digunakan oleh pasaran terbuka untuk mengawal selia perekonomian.
Gabungan jumlah dagangan yang rendah, globalisasi, jaminan hutang, dan ledakan yang sebenarnya merupakan akibat interaksi faktor-faktor kompleks telah bersatu dalam suatu cara yang menghasilkan ledakan ekonomi yang kacau-bilau, serta hampir menyamai dengan Kemelesetan Besar (Great Depression) pada 1929.
Gambaran di atas memberikan alasan yang memadai untuk menunjukkan adanya dua elemen sistemik yang fundamental dan melandasi penyebab atau punca ledakan.
Pertama, ketiadaan standard, seperti standard emas. Ini membolehkan terjadinya pencetakan wang tanpa dukungan aset sebenar.
Kedua, perbankan berasakan faedah yang mendorong terciptanya akumulasi (penompokan) hutang dengan pulangan yang tinggi.
Ada sejumlah perhatian, termasuk di Barat, terhadap kedua-dua elemen di atas. Cadangan untuk kembali ke standard emas telah mendapat dukungan daripada banyak pihak, termasuk pengikut Mazhab Ekonomi Austria, para pengikut objektivisme, dan penganut libertarian. Sebahagian besar di antaranya kerana idealisme pasaran bebas yang mereka anut, misalnya keberatan mereka terhadap peranan kerajaan dalam menetapkan kadar pertukaran tetap melalui Bank Pusat.
Bahkan Alan Greenspan sendiri pernah mengemukakan pentingnya standard emas. Dia mengatakan,
“Pengabaian terhadap standard emas memungkinkan golongan yang menyokong kesejahteraan statik untuk menggunakan sistem perbankan sebagai tujuan pengembangan kredit tanpa had. Dengan ketiadaan standard emas, tidak ada cara lain melindungi simpanan daripada pengambilalihan melalui inflasi. Defisit pengeluaran secara sederhana merupakan satu skim pemindahan kekayaan. Emas berada pada kedudukan yang bertentangan dengan proses tersembunyi ini. Emas berfungsi sebagai pelindung hak milik. Apabila seseorang menguasainya, dia tidak akan menemui kesukaran dalam memahami antagonisme golongan statik terhadap standard emas.”
Setiap model alternatif yang dikemukakan tidak sepatutnya memiliki kelemahan-kelemahan model tersebut. Standard kadar pertukaran yang bersifat tetap dan bentuk sistem perbankan bebas faedah, membentuk beberapa asas institusional (penginstitusian) utama bagi sebuah sistem ekonomi yang boleh dipercayai dan mapan.
Sistem Kemakmuran atau Kegilaan?
Apakah model yang sedang diamalkan pada hari ini adalah suatu sistem kesejahteraan atau sebenarnya satu kegilaan? Dalam menjawab pertanyaan ini, kita wajar mengutip kenyataan John F. Kennedy,
“Wang tidak menolong pertukaran barang dan perkhidmatan; malah ia boleh barang dan perkhidmatan apabila berada di tangan mereka yang memilikinya lebih daripada apa yang mereka perlukan. Bahkan wang boleh menciptakan `jalan bebas hambatan’, di mana mereka yang memiliki wang kurang daripada keperluan, agar membayar sejumlah kos kepada mereka yang memiliki wang melebihi keperluan. Ini jelas tidak boleh disebut sebagai keadilan. Hakikatnya, sistem kewangan yang kita miliki hari ini tidak boleh dikatakan ‘unconstitutional’ (tidak selaras dengan perlembagaan) bagi kebanyakan negara demokratik.”
Kerajaan telah menampung pengeluaran dan merangsang pertumbuhan syarikat-syarikat (yang jarang berhubungan dengan masyarakat umum) – atas pelbagai tujuan. Ledakan ekonomi yang terjadi merupakan hasil daripada serangkaian instrumen cukai yang kompleks yang merangkumi hampir seluruh aspek kehidupan, yakni cukai pendapatan, cukai nilai tambah, dan cukai umum, serta inflasi, jaminan, subsidi dana pencen, serta pemotongan faedah kebajikan. Adapun yang jarang disebut adalah usaha meliberalisasikan perdagangan di negara-negara membangun.
Bukan hal yang mengejutkan jika sistem ekonomi kapitalisme berada dalam ancaman krisis, perang, dan revolusi. Ledakan memang tidak selalu mengikuti letupan gelembung ekonomi. Mari kita ambil contoh krisis masa lalu di Barat. Suatu krisis dengan skala gelombang saat ini telah mendorong banyak pemerhati Barat untuk membahas senario tersembunyi di sebalik sistem ekonomi kapitalisme.
Satu kesilapan sahaja pada masa hadapan berpotensi membuat keadaan menjadi jauh lebih buruk. Menunggu berlakunya akibat yang fatal sudah tentu merupakan tindakan bodoh. Masalah-masalah Barat seringkali dieksport keluar melalui pelbagai mekanisme global, sehingga negara-negara lain ikut menanggung akibatnya. Tanpa perlu mencari contoh khusus, krisis Asia 1997 adalah contoh jelas daripada kegagalan yang tidak semestinya berakhir dengan ledakan serta merta.
Sejak itu, harimau ekonomi (julukan bagi negara-negara dengan pertumbuhan ekonomi tercepat pada dekad 1990-an) Indonesia terus bergelut dengan hutang sebesar US$113 bilion. Malaysia pula, yang memilih untuk melakukan campur tangan bagi mengelakkan kejatuhan ekonomi, kemudiannya muncul sebagai kuasa sederhana yang relatif berjaya, sebaliknya menerima kritikan hebat. Malah dilabel sebagai ancaman terhadap kapitalisme dan pasaran bebas.
(Bersambung ke “Kecacatan Sistemik” Bahagian 5/5.)
Sumber: Jamal Harwood, Membedah Krisis Kewangan Global.
#KrisisKewanganGlobal #SistemKewangan #Kapitalisme