[Kewangan Global] Perspektif Islam (Bahagian 3/6)
(Sambungan daripada “Perspektif Islam” bahagian 2/6.)
Penulis: Jamal Harwood
Insentif untuk pelaburan dan jaminan peredaran kekayaan yang konsisten merupakan dambaan semua ahli ekonomi. Hal ini dihasilkan melalui dua ciri yang berbeza dalam ekonomi Islam, sama ada dari sudut fiskal mahupun perundangan. Apabila berdepan dengan simpanan bank tanpa faedah serta kewajipan mengeluarkan zakat sebanyak 2.5% setahun ke atas semua harta yang tidak dimanfaatkan (berdasarkan kriteria yang pelbagai), jelas bahawa tiada manfaat yang boleh diperoleh daripada wang yang berada di luar peredaran.
Apabila harta disimpan di bank, harta itu akan menjadi subjek yang tertakluk kepada zakat. Rangsangan besar lain dalam ekonomi Islam bagi pelaburan ialah melalui tahap pendapatan dan cukai penghasilan korporat yang bernilai sifar. Walaupun sesetengah saham dan inventori syarikat tetap menjadi subjek pungutan zakat sebanyak 2.5% setahun, cukai yang dibebankan kepada syarikat dan insentif akibat pembayaran dividen yang boleh dikenakan cukai melalui aktiviti korporat, yang juga tidak ditemukan dalam kegiatan ekonomi Islam, merupakan insentif yang besar dalam pelaburan.
Sistem percukaian Islam tidak mengiktiraf cukai pendapatan; sebaliknya, yang wujud ialah cukai kekayaan (yang rendah). Semakin besar pendapatan yang dibelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan, serta cukai yang hanya dikenakan ke atas lebihan harta yang tidak dibelanjakan, wujud tekanan fiskal yang kuat terhadap permintaan barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi. Ini mengakibatkan peningkatan dalam perdagangan, yang akhirnya menambah kekayaan dalam sektor perdagangan. Semua ini mewujudkan ekonomi yang dinamik yang menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
Sementara itu, apabila lebih banyak pekerjaan tersedia, lebih banyak wang dibelanjakan atau dilaburkan semula dalam ekonomi, sekali gus terus mewujudkan pekerjaan baharu. Dinamik seperti ini tidak wujud di dunia hari ini, tetapi hanya pernah berlaku di Amerika selepas Perang Dunia II.
Faktor perundangan utama yang mengakibatkan skala pelaburan yang tinggi ialah larangan penimbunan, iaitu apabila wang dikeluarkan daripada edaran tanpa sebarang tujuan. Simpanan dengan tujuan mengumpul untuk membeli aset yang lebih besar tidak dilarang dan tidak diklasifikasikan sebagai penimbunan.
Al-Quran menyatakan dengan jelas, “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (TMQ At-Taubah: 34).
Dalam salah satu hadis qudsi (Imam Nawawi), Rasulullah SAW diriwayatkan bersabda, “Keluarkanlah hartamu, wahai anak Adam, maka akan Aku keluarkan harta-Ku untukmu.”
Kombinasi larangan ke atas bank daripada memperdagangkan aset dengan faedah atau bertindak sebagai perantara perdagangan secara efektif akan mengawal pasaran wang dengan berkesan. Hal ini, bersama dengan insentif untuk pelaburan (zakat ke atas aset yang disimpan dan larangan menimbun wang), telah menunjukkan bahawa masyarakat Islam menikmati keuntungan yang tinggi serta pelaburan yang konsisten.
Kerugian akibat pengeluaran wang daripada peredaran telah berlaku secara konsisten selama ratusan tahun dan telah memberi impak yang besar terhadap keuntungan perniagaan. Hal ini biasanya berpunca daripada kejutan semula jadi seperti bencana alam. Krisis kecairan semasa pula disebabkan oleh mereka yang mengeluarkan wang dan kekayaan mereka daripada peredaran. Akibatnya, skala kerugian yang dialami oleh bank semakin besar dan menyebabkan berlakunya pengurangan tahap kekayaan.
Bandingkan aturan Islam untuk skala pelaburan yang konsisten dengan komentar Andrew Lahde. Beliau ialah seorang pengurus kewangan bertaraf dunia yang mengumumkan penutupan dana yang diuruskannya pada Oktober 2008. Selain mengkritik para pegawai bank yang bodoh yang kalah “bertaruh” menentangnya, beliau juga mengumumkan bahawa beliau akan menutup dana yang diuruskannya untuk “menghabiskan masa dengan wangnya”.
Tidak banyak tulisan yang mengulas tentang pemenang permainan seperti ini. Akan tetapi, anda boleh yakin bahawa terdapat ramai orang seperti Lahde dalam masyarakat yang lebih luas. Kerajaan bukan sahaja menjamin bank terhadap hutang-hutang perjudian mereka, malah pakej rangsangan turut ditawarkan untuk menguji dan menempatkan wang dalam sistem ekonomi.
Sementara itu, berbilion-bilion daripadanya dihamburkan begitu sahaja oleh mereka yang tidak perlu bekerja keras dan hanya perlu memenangi pertaruhan menentang beberapa kelompok orang bodoh yang sanggup bertaruh dengannya. Mereka mempunyai alasan-alasan yang mementingkan diri, dan tiada sekatan bagi mereka yang ingin menimbunkan wang.
Dengan kejatuhan pasaran dan terjerumusnya bon ke dalam inflasi yang tinggi, kebanyakan wang tersebut hanya akan berada di luar jangkauan (atau beredar dalam kalangan golongan yang sangat kaya). Keadaan ini mungkin berlanjutan selama beberapa tahun, sedangkan pada tempoh tersebutlah peredaran yang meluas amat diperlukan.
“Supaya harta itu tidak hanya beredar dalam kalangan orang-orang kaya sahaja di antara kamu.” (TMQ Al-Hasyr: 7).
Sistem Islam menyediakan suatu model pelaburan yang bersifat mendorong. Tidak ada asas untuk andaian bahawa sistem ekonomi Islam tidak menggalakkan pelaburan. Sebaliknya, Islam sangat mendorong perniagaan dan pelaburan. Namun, Islam tidak mendorong pelaburan berasaskan riba yang jelas mengehadkan aliran kekayaan dalam perekonomian.
Allah SWT membezakan kedua-duanya dalam firman-Nya: “Mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” (TMQ Al-Baqarah: 275).
Kestabilan dalam perekonomian dibina atas dasar pelaburan dan hanya dibenarkan berasaskan pengeluaran atau penghasilan yang nyata atau perniagaan yang menghasilkan pulangan daripada usaha tenaga kerja dan keuntungan, bukan daripada hutang.
*Bersambung ke “Perspektif Islam” Bahagian 4/6.
Sumber: Jamal Harwood, Membedah Krisis Kewangan Global.
#KrisisKewanganGlobal #SistemKewangan #Kapitalisme