Perjanjian Hudaibiyah: Antara Menegakkan Hukum Islam dan Mengurus Konflik
Perjanjian Hudaibiyah bukan sekadar peristiwa dalam sirah Nabi, atau sekadar sikap penerimaan dan penolakan berasaskan emosi. Sebaliknya, perjanjian ini merupakan model praktikal tentang bagaimana negara Islam mengurus konflik sesuai dengan hukum Islam, jauh daripada dorongan emosi atau pertimbangan untung rugi semata-mata. Ini merupakan pengajaran dalam membezakan antara ketegasan ideologi dan fleksibiliti uslub dan cara, serta antara kompromi terhadap suatu keputusan hukum Islam dan aplikasi kaedah untuk mencapainya.
Rasulullah SAW dan para sahabatnya berangkat untuk melakukan umrah, bukan untuk berperang. Tujuannya jelas: untuk menggunakan hak mereka mengunjungi Baitullah (Kaa’bah), dalam konteks mengukuhkan negara di Madinah setelah enam tahun konflik dengan kaum Quraisy, tetapi kaum Quraisy menghalang mereka. Di sini, situasi tersebut boleh mendorong ke arah konfrontasi ketenteraan untuk memuaskan perasaan sementara, tetapi kepimpinan kenabian tidak dikawal oleh emosi, tetapi oleh pertimbangan hukum dan akibat daripada tindakan.
Ketika perjanjian damai ditandatangani, terdapat beberapa klausa yang kelihatan membebankan sebahagian sahabat: kembali tanpa menunaikan umrah pada tahun itu, menghantar pulang sesiapa sahaja yang datang sebagai Muslim dari Quraisy, dan menulis “Muhammad ibn Abdullah” sebagai pengganti “Rasulullah.” Klausa-klausa ini menimbulkan persoalan tentang kewibawaan syariat, sehingga Umar RA berkata, “Bukankah kita berada di jalan yang benar? Lalu mengapa kita mesti menerima penghinaan dalam agama kita?” Kemudian datanglah wahyu yang tegas dari Allah SWT:
﴿إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحاً مُبِيناً﴾
“Sesungguhnya, Kami telah memberi kepadamu kemenangan yang nyata.” [TMQ Al-Fath (48): 1].
Perjanjian Hudaibiyah bukanlah konsesi terhadap suatu hukum, melainkan kepatuhan terhadap hukum. Perjanjian damai itu sendiri merupakan hukum yang diperbolehkan jika diperlukan untuk kepentingan yang dibenarkan syariah, selagi ia tidak melibatkan perakuan mensahihkan kekafiran atau pelanggaran prinsip-prinsip dasar agama. Rasulullah SAW tidak mengakui kedaulatan Quraisy atas kaum Muslim, tidak pula mengakui kemusyrikan mereka sebagai kebenaran, dan hal itu juga tidak pula menghentikan dakwahnya, melainkan mengurus konflik secara bertahap dalam aturan-aturan yang telah ditetapkan.
Di sinilah prinsip negara Islam jelas kelihatan: negara bukanlah negara reaksioner, dan juga bukan pihak berkuasa yang mencari keuntungan jangka pendek, tetapi sebaliknya entiti yang membawa mesej dan berusaha untuk menyampaikannya. Pengiktirafan tersirat Quraisy terhadap entiti kaum Muslim melalui rundingan merupakan perubahan politik yang ketara; kaum Muslim beralih daripada kedudukan penindasan kepada kedudukan kesaksamaan politik. Perubahan ini bukan sekadar slogan, tetapi hasil daripada kepatuhan yang lama terhadap ideologi.
Gencatan senjata tersebut kemudian menghentikan perang dan membolehkan dakwah penyebaran Islam dilakukan dalam lingkungan yang kurang tegang. Selama dua tahun berikutnya, jumlah mereka yang masuk Islam meningkat dua kali ganda, yang berpuncak pada penaklukan Mekah. Dengan demikian, perjanjian damai, yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai satu kemunduran, menjadi batu loncatan strategik menuju kemenangan.
Perjanjian Hudaibiyah menegaskan bahawa politik dalam Islam bukanlah pragmatisme yang tidak terbatas mahupun idealisme yang tinggi, tetapi sebaliknya komitmen terhadap hukum syariah, yang berlandaskan realiti. Perbezaan antara fleksibiliti sebenar dan kecuaian yang dilarang terletak pada keteguhan ideologi. Jika prinsip dasar akidah atau hukum Islam dikompromikan atas nama “tahapan”, maka ini bukanlah sifat Perjanjian Hudaibiyyah, melainkan penyimpangan daripada jalan Islam.
Ketika model ini diterapkan kepada realiti kontemporari, maka perbezaannya menjadi jelas. Banyak rejim saat ini membenarkan perjanjian dan pakatan mereka sebagai “realisme politik”, tetapi pada intinya, mereka mengakui kesahihan sistem dan hukum yang bertentangan dengan Islam, bahkan mereka mengaitkan nasib umat dengan kekuatan antarabangsa yang bermusuhan dengan kepercayaan mereka. Ini tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku dalam Perjanjian Hudaibiyah, kerana Perjanjian Hudaibiyah tidak menghasilkan kepatuhan, tidak mengubah dasar pemerintahan, dan juga tidak memasukkan kaum Muslim ke dalam sistem pemikiran yang berbeza daripada akidah mereka.
Pengajaran utamanya adalah bahawa ketika sebuah negara Islam ditubuhkan, negara tersebut menjalankan hubungan antarabangsanya daripada perspektif kedaulatan pemikiran dan perundangannya sendiri—iaitu, kedaulatan undang-hukum Islam—dan bukannya dari perspektif mencari persetujuan daripada kuasa-kuasa besar. Perjanjian damai dalam Islam adalah alat dalam konflik, bukan pengganti hukum Islam. Perjanjian damai adalah tahapan dalam suatu proses, bukan tujuan akhir.
Perjanjian Hudaibiyah juga menekankan kepentingan mematuhi kepimpinan dalam kerangka hukum Islam. Beberapa sahabat pada awalnya ragu-ragu kerana semangat mereka terhadap akidah, tetapi mereka tetap mematuhi ketika hukumnya menjadi jelas kepada mereka, sehingga mereka menjadi stabil, gerakan pun menjadi disiplin, dan hasil yang diinginkan tercapai. Adapun ketidakpatuhan kepada pemimpin dalam situasi yang memerlukan disiplin akan membawa akibat negatif, seperti yang telah ditunjukkan oleh peristiwa lain dalam sirah. Jadi, membangun entiti politik yang berideologi memerlukan proses pengambilan keputusan yang bersatu padu dan diatur oleh peraturan, bukan oleh pelbagai tafsiran sebagai pengganti keputusan.
Pembacaan dangkal Perjanjian Hudaibiyah, yang menjadikannya sebagai “kemenangan diplomatik”, tanpa mengambil kira pandang inti patinya. Dan pembacaan emosional dengan melihatnya sekadar sebagai “konsesi” akan salah memahami hakikatnya yang sebenarnya. Pembacaan yang teliti menjadikannya contoh bagaimana menggabungkan keteguhan dan fleksibiliti, mesej dan realiti, ajaran agama dan pertimbangan politik yang bijaksana.
Kaum Muslim kembali dari Hudaibiyah tanpa melaksanakan umrah, tetapi mereka kembali dengan perspektif yang lebih luas, pengiktirafan politik, dan kesempatan bersejarah untuk menyebarkan dakwah mereka. Kurang dari dua tahun kemudian, mereka memasuki Mekah sebagai penakluk. Penaklukan itu bukanlah secara kebetulan, melainkan hasil dari tindakan yang dirancang, bermula dengan keteguhan ideologi dan diteruskan dengan kesedaran terhadap pengurusan konflik yang matang.
Dengan demikian, Perjanjian Hudaibiyah kekal sebagai pengajaran bagi umat Islam: bahawa projeknya tidak dibina atas dorongan perasaan, dan juga tidak disokong dengan mengkompromikan prinsip-prinsip Islam sehingga meninggalkannya. Sebaliknya, projek tersebut dibina melalui ketaatan yang ketat terhadap hukum-hukum Islam dan melalui tindakan politik yang matang serta memahami pentingnya keseimbangan kekuatan tanpa menyerah kepadanya (musuh mahupun keadaan, pent.). Di antara emosi sesaat dan cakerawala sejarah, Rasulullah SAW memilih cakerawala risalah … dan dengan demikian, kemenangan yang nyata pun telah diraihnya.
Ibu Pejabat Media Hizbut Tahrir di Wilayah Mesir
Sumber :
hizb-ut-tahrir.info, 9/3/2026.
#KhazanahIslam #Sirah #PerjanjianHudaibiyah #NegaraIslam #PolitikIslam #KemenanganIslam