Doa Wajib Disertai Ikhtiar
Sesungguhnya doa (yang merupakan ibadah) bukan bermakna kita meninggalkan pengambilan sebab-sebab (ikhtiar). Hal ini jelas dalam Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya SAW. Allah Azzawajalla berfirman:
﴿ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِي وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ١٨٦﴾.
“Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka mendapat petunjuk.” (TMQ al-Baqarah [2]: 186).
Yakni, agar mereka mendapat petunjuk untuk mengambil sebab-sebab dan diberi taufik di dalamnya sehingga doa mereka dikabulkan.
Nabi SAW mempersiapkan pasukan di Badar, mengatur posisi setiap tentera di tempatnya masing-masing, dan membekali mereka dengan persiapan perang yang baik. Kemudian Rasulullah SAW masuk ke dalam khemah untuk berdoa kepada Allah Azzawajalla memohon kemenangan.
Ketika Allah Azzawajalla mengizinkan Rasulullah SAW untuk berhijrah ke Madinah, baginda mengambil segala sebab yang mungkin diambil yang dapat membawanya pada keselamatan. Dalam masa yang sama, baginda berdoa agar Allah Azzawajalla memalingkan kaum kafir Quraisy daripada baginda, menyelamatkannya daripada tipu daya mereka, dan menyampaikan baginda ke Madinah dengan selamat. Semua itu dilakukan padahal Rasulullah SAW sangat yakin akan pertolongan Allah (lihat surah at-Taubah [9]: 40). Namun Rasulullah SAW mengambil sebab-sebab itu agar kita dapat meneladaninya SAW.
Maka doa bukan bererti meninggalkan pengambilan sebab-sebab (ikhtiar), melainkan doa sentiasa menyertai ikhtiar tersebut. Barang siapa yang ingin agar khilafah tegak kembali, maka hendaknya dia tidak cukup hanya dengan berdoa kepada Tuhannya untuk mewujudkan hal itu, melainkan dia hendaklah berjuang bersama orang-orang yang berjuang untuk mewujudkannya, di samping memohon pertolongan kepada Allah Azzawajalla dalam hal tersebut, meminta agar disegerakan penegakannya, serta bersungguh-sungguh dalam doa dengan ikhlas kepada Allah Azzawajalla sementara dia tetap mengambil sebab-sebabnya.
Begitu juga dalam seluruh amal perbuatan. Seseorang itu hendaklah mengikhlaskan amalnya kerana Allah Azzawajalla, jujur dalam mengikuti Rasulullah SAW, serta berdoa dan bersungguh-sungguh dalam doa, dan Allah Azzawajalla Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan.
Sumber: “At-Taisir fi Ushul at-Tafsir” – Syeikh ‘Atha’ bin Khalil
#doa #usaha #ikhtiar #tawakkal