Konsepsi Islam Itu Semuanya Masuk Akal
Konsepsi (mafâhîm) Islam bukanlah konsep keagamaan, atau sekadar informasi tentang hal-hal ghaib. Tetapi, konsepsi Islam adalah pemikiran yang memiliki makna nyata yang dapat dijangkau oleh akal secara langsung, selagi masih boleh dijangkau akal. Namun, bila akal tidak mampu menjangkaunya secara langsung, akal dapat memahami hal yang secara pasti (qath’i) menunjukkan kepada perkara tersebut.
Kerana itu, seluruh konsepsi Islam berada di bawah jangkauan deria secara langsung, atau, hal yang menjadi rujukan kepada konsepsi itu berada di bawah jangkauan deria secara langsung. Maksudnya, seluruh pemikiran Islam merupakan mafâhîm kerana ia dapat dijangkau oleh akal, atau rujukannya, iaitu sesuatu yang menunjukkan kepada mafâhîm tersebut, dapat dijangkau oleh akal.
Dengan demikian, di dalam Islam sama sekali tidak ada perkara yang ghaib secara murni (tidak rasional). Perkara ghaib yang diperintahkan Islam untuk diimani bukanlah perkara ghaib murni (semata-mata), melainkan perkara ghaib yang terhubung dengan akal. Kerana, akal mampu mencerna rujukan atas perkara ghaib tersebut, iaitu Al-Quran dan hadis mutawâtir. Atas dasar itu, Islam seluruhnya adalah reality yang nyata dalam kehidupan dunia, kerana setiap pemikiran Islam itu memiliki fakta di dalam fikiran manusia, bersandar pada deria, dan bersandar pada akal.
Contoh konsepsi Islam yang dapat dilihat secara langsung, seperti keimanan kepada Al-Quran sebagai kalam Allah dan Muhammad utusan Allah. Adapun konsepsi tentang syurga, neraka, malaikat, jin dan sebagainya, ia boleh dilihat melalui sesuatu yang menunjukkan kepadanya, iaitu Al-Quran dan hadis mutawâtir, keduanya adalah konsepsi yang boleh dijangkau langsung oleh akal manusia.
Kesimpulannya, akal adalah asas tempat dibangunnya Islam, baik dalam masalah akidah mahupun hukum-hukumnya. Akidah dan hukum Islam merupakan pemikiran yang berdasarkan fakta, yang dapat difahami secara fakta. Tidak ada bezanya antara perkara yang ghaib dan perkara yang boleh dilihat. Semuanya adalah fakta-fakta yang memiliki realiti di dalam fikiran, dan bersandar pada akal, pemahaman atau pemikiran.
Sumber: “Al-Fikr al-Islâmiy” – Muhammad Muhammad Ismail
#KonsepIslam #mafahimIslamiyah