Jamaah Dakwah dan Dakwah Berjamaah
Umat Islam saat ini dihadapkan dengan pelbagai persoalan kehidupan yang beragam, termasuk keadaan di Gaza dan Sudan. Sayangnya, umat Islam tercerai-berai dalam sekatan negara, menyebabkan setiap potensi kekuatan semakin lemah akibat perpecahan.
Al-Imam Ibnu Aqil dalam kitab Al-Adab Asy-Syar’iyah menyampaikan kritikan pedas mengenai cara kita mengukur kebangkitan umat. Kebangkitan umat tidak cukup diukur hanya daripada asakan mereka di pintu masjid (jawami’) atau nyaringnya suara talbiyah di tempat umrah dan haji. Sebaliknya, lihatlah bagaimana sikap mereka menghadapi musuh-musuh syariat itu sendiri.
Keadaan ini menuntut adanya wa’yu siyasi (kesedaran politik) daripada umat untuk mengenal pasti ancaman dan memahami penyelesaian Islam. Inilah yang kemudian diwajibkan oleh Allah dalam Surah Ali Imran ayat 104:
“Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, dan menyuruh kepada yang makruf dan melarang daripada yang mungkar, dan sesungguhnya hanya merekalah golongan yang beruntung.” [TMQ Ali Imran (3): 104]
Kewajipan Fardhu Mendirikan Kelompok Dakwah
Ali Imran ayat 104 ini merupakan kesinambungan dan syarah (penjelasan) daripada perintah sebelumnya dalam Ali Imran ayat 103, iaitu perintah untuk berpegang teguh pada tali Allah dan jangan berpecah belah. Cara berpegang teguh pada tali Allah adalah dengan melakukan dakwah kepada al-khair (kebaikan), menyuruh kepada yang makruf, dan melarang daripada yang mungkar.
Kewajipan Mutlak (Fardhu):
- Ayat ini adalah Perintah Tegas: Lafaz wal taqum(hendaklah ada) mengandungi lamul amri (lam perintah), yang secara kaedah usul fiqh menunjukkan adanya tuntutan tegas (thalab).
- Topiknya adalah Fardhu: Kerana ayat ini berbicara tentang topik dakwah, yang hukumnya sudah maklum dalam Islam adalah fardhu (wajib) dalam banyak dalil.
- Hukumnya Fardhu Kifayah: Walaupun ada ulama yang mentafsirkan minkum(di antara kalian) sebagai min li bayan al-jinsi (keseluruhan jenis) yang bermaksud fardhu ain, pandangan yang dominan (termasuk ditarjih oleh para ulama kontemporari) adalah bahawa kewajipan ini adalah fardhu alal kifayah. Ini bermaksud wajib ada sebahagian kaum Muslim yang mendirikan kelompok (jamaah) yang berdakwah.
Para ulama tafsir sepakat bahawa ayat ini mengandungi tuntutan fardhu daripada Allah terkait dakwah, khususnya dalam hal mengadakan kelompok yang berdakwah.
Ciri-ciri Jamaah yang Beruntung
Lafaz ummatun adalah lafz musytarak (satu kata dengan banyak makna), tetapi dalam konteks Ali Imran 104, maknanya yang paling tepat adalah jamaah. Jamaah ini perlu memiliki ciri-ciri spesifik:
- Jamaah yang Teladan: Mereka adalah jamaatun yatakarunal bil ilmi wal amalis salih—jamaah yang menonjol dengan ilmu dan amal soleh, serta menjadi teladan bagi yang lain (uswatan li ghairihim).
- Jamaah yang Bersatu (Mutakatilah): Jamaah ini perlu terikat dengan ikatan tertentu (iaitu akidah Islam) dan memiliki kesatuan keyakinan, kesatuan pemikiran (fikrah), dan kesatuan kaedah (thariqah).
- Melakukan Tiga Aktiviti yang Tidak dapat dipisahkan: Kerana adanya huruf wawul jami(wawu penggabung), tiga aktiviti berikut perlu dilakukan secara kolektif dan tidak boleh dipisahkan:
(1) Menyeru kepada al-Khair (yad’una ilal Khair): Ditafsirkan sebagai menyeru kepada Islam dan syariat-syariatnya, iaitu menegakkan akidah dan syariat Islam secara kaffah (menyeluruh) dalam kehidupan;
(2) Menyuruh kepada al-Ma’ruf (ya’muruna bil ma’ruf): Menyuruh kepada apa yang diakui dan dibenarkan oleh syariat;
(3) Melarang daripada *al-Munkar (wayanhauna ‘anil munkar): Melarang daripada apa yang diingkari atau menyalahi syariat.
Amar makruf nahi mungkar secara khusus disebutkan setelah ilal khair (yang lebih umum) untuk menonjolkan pentingnya aktiviti tersebut (zikrul khas ba’da al-am).
Catatan Penting Mengenai Nahi Munkar
Aktiviti nahi munkar yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah melarang kemungkaran global dan pemikiran yang bertentangan dengan syariat, seperti melawan kemungkaran demokrasi, liberalisme, pluralisme, feminisme dan sebagainya.
Penting untuk diingat, aktiviti nahi munkar jamaah dakwah tidak boleh fokus pada perkara mukhtalaf fihi (masalah yang diperselisihkan oleh para mujtahid), seperti masalah qunut, isbal (memanjangkan seluar di bawah buku lali), atau panjang-pendeknya janggut. Perkara-perkara ijtihad seperti ini bukan bidang babul hisbat (bab nahi munkar). Fokus pada perkara cabang yang diperselisihkan hanya akan menggiring kepada perpecahan.
Golongan yang Beruntung (Al-Muflihun)
Allah menjanjikan ganjaran bagi kelompok yang menjalankan mandat ini: “Wa ulaika humul muflihun (dan sesungguhnya hanya merekalah golongan yang beruntung).”
Penggunaan dhamirul fasl (hum) dalam kalimat ini mengandungi makna pengkhususan (qasr). Maksudnya, keberuntungan (al-falah) di dunia dan akhirat dikhususkan bagi mereka yang membentuk jamaah dengan ciri-ciri menyeru kepada dakwah Islam, amar makruf, dan nahi mungkar.
Bagi mereka yang telah bergabung dalam jamaah dakwah, beberapa hal perlu senantiasa dijaga untuk mencapai keistiqamahan:
- Islaahun Niyat(Meluruskan Niat): Niat mesti terus diperbaiki dan dijaga (ditingkatkan) agar murni taqaruban ilallah (mendekatkan diri kepada Allah), sebab dakwah adalah bahagian daripada ibadah. Niat dakwah bukan untuk mencari kemasyhuran, melainkan untuk menguatkan Islam dan Jamaah dakwah itu sendiri.
- Tadhiyah(Pengorbanan): Belajar berkorban, meneladani role model Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Profesion atau status sosial bukanlah alasan untuk tidak berdakwah; Nabi membina sahabat daripada berbagai latar belakang, termasuk para dhuafa.
- Tundukkan Ego: Tundukkan ego individu. Ini adalah ujian keikhlasan terbesar. Penting untuk mengutamakan kepentingan Islam dan Jamaah di atas kepentingan peribadi.
Kewujudan Jamaah setelah Khilafah Tegak
Ayat wal taqum minkum ummatun tidak membatasi jumlah kelompok dan tidak dibatasi oleh waktu; kefardhuan ini berlaku sehingga Hari Kiamat (ila yaumil qiyamah).
Oleh kerana itu, walaupun Daulah Khilafah tegak, jamaah dakwah wajib tetap ada dan tidak boleh bubar. Salah satu peranan pentingnya adalah muhasabatul hukam (membetulkan dasar penguasa) agar dasar tersebut senantiasa selaras dengan syariat Islam.
Sumber: Disarikan daripada kajian NgajiShubuh @ https://www.youtube.com/live/bTLm0nHxezc?si=mBNNHW8mZTJ1822e
#dakwahjamaie #jamaahIslam #gerakandakwah #gerakanislam #partipolitik