Politik dan Politik Islam
Oleh: Ustaz M. Taufik NT
Politik itu kotor. Ibarat bau minyak wangi tiruan. Wangi dalam iklan, tapi tengik dalam belanjawan. Senyum selebar sepanduk yang menutupi langit bandar, tetapi wang rakyat meruap. Menjadi awan yang tak pernah turun menjadi hujan. Di mimbar kempennya menjahit dusta dengan benang ayat. Di meja mesyuarat menyembelih syariah, membuat undang-undang untuk santapan konglomerat. Begitulah persepsi sebahagian rakyat.
Pandangan ini wajar. Luka masyarakat terhadap amalan politik memang nyata. Di luar masa kempen, politik terasa jauh daripada masjid, sekolah pondok dan nilai-nilai luhur. Seolah-olah, semakin dalam seseorang berpolitik, semakin pudar kesuciannya. ‘Malaikat’ masuk ke dalam sistem politik pun boleh jadi iblis, kata seorang pegawai. Lalu lahirlah sikap menjauh. Politik biar diuruskan oleh ahli politik. Kita fokus ibadah saja.
Ketika orang-orang soleh menarik diri kerana menganggap politik itu najis, yang ada bagi mengurus politik justeru mereka yang tidak peduli halal-haram. Meninggalkan politik bukan tanda kesucian. Kadang-kala hal itu justeru merupakan bentuk lepas tangan daripada tanggungjawab amar makruf nahi mungkar di tahap yang paling besar.
Jika politik kotor, tugas kita membersihkan politik tersebut, menjelaskan bagaimana sepatutnya. Bukan terus menghindari politik.
Maksud Politik (as-Siyâsah)
Politik (siyâsah) adalah pemeliharaan/pengelolaan urusan umat. Dalam Kitab Mafâhîm Siyâsiyyah dinyatakan:
السِّيَاسِيَّةُ هِيَ رِعَايَةُ شُؤُونِ الْأُمَّةِ دَاخِلِيًّا وَخَارِجِيًّا، وَتَكُونُ مِنْ قِبَلِ الدَّوْلَةِ وَالْأُمَّةِ، فَالدَّوْلَةُ هِيَ الَّتِي تُبَاشِرُ هَذِهِ الرِّعَايَةَ عَمَلِيًّا، وَالْأُمَّةُ هِيَ الَّتِي تُحَاسِبُ بِهَا الدَّوْلَةَ
Politik adalah pemeliharaan (ri’âyah) urusan-urusan umat, dalam dan luar negara, dan itu dilakukan oleh negara dan umat. Negaralah yang secara praktikal melaksanakan ri’âyah ini, sedangkan umat adalah pihak yang memuhasabah/mengawasi negara atas ri’âyah tersebut.
Politik dalam negara dilaksanakan oleh negara untuk memelihara urusan umat dengan melaksanakan mabda’ (akidah dan peraturan-peraturan) Islam di dalam negara. Politik luar negara dilakukan oleh negara untuk memelihara urusan umat di luar negara dengan menjalin hubungan antarabangsa dan menyebarkan mabda’ Islam ke seluruh dunia.
Definisi as-siyâsah ini bersifat umum bagi semua orang. Ia merupakan gambaran realiti politik sebagaimana adanya. Makna as-siyâsah secara bahasa berasal daripada kata sâsa–yasûsu-siyâsat[an]. Maksudnya adalah mengurus urusan. Disebutkan dalam Kamus Al-Muhîth: “Sustu ar-ra’iyyata siyâsat[an]”. Maknanya: “amartuhâ wa nahaytuhâ” (Aku memerintah dan melarang.”
Definisi politik tersebut juga diambil daripada hadis-hadis mengenai amal penguasa, mengenai membetulkan penguasa dan mengenai perhatian terhadap kemaslahatan kaum Muslim. Contohnya, sabda Nabi SAW:
ما مِن عَبْدٍ اسْتَرعَاهُ اللهُ رَعيَّةً، فلَمْ يَحُطْهَا بِنَصِيْحةٍ، إلَّا لَمْ يَجِدْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ
”Tidaklah seorang hamba yang Allah beri amanah untuk memimpin rakyat, lalu dia tidak menjaga amanah itu dengan nasihat (iaitu tidak menunaikan hak rakyat dengan jujur, tidak membimbing ke arah kebaikan, atau berkhianat), kecuali dia tidak akan mencium bau syurga.” (HR. al-Bukhari dan Muslim)
Juga sabda baginda SAW:
سَتَكُوْنُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُوْنَ وَتُنْكِرُوْنَ فَمَنْ عَرَفَ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ. قَالُواْ: أَفَلَا نُقَاتِلُهُمْ؟ قال: لَا، مَا صَلَّوْا
“Akan ada para penguasa, lalu kalian mengetahui (kemungkaran mereka) dan kalian mengingkari. Siapa saja yang mengetahui, maka dia telah terbebas. Siapa saja mengingkari, maka dia telah selamat. Akan tetapi, siapa saja redha dan mengikuti (maka dia tidak terbebas dan tidak selamat).” Para Sahabat bertanya, “Tidakkah kami memerangi mereka?” Baginda berkata, “Tidak, selama mereka masih solat.” (HR. Muslim).
Hadis-hadis ini dan yang semakna berkaitan dengan penguasa dalam menjalankan kekuasaannya, atau berkaitan dengan umat yang memuhasabah penguasa, ataupun berkaitan dengan sesama Muslim dalam memperhatikan kemaslahatan mereka dan saling menasihati. Daripada semuanya itu dapat diambil definisi politik, iaitu pemeliharaan/pengelolaan urusan umat.
As-Siyâsah al-Islâmiyyah
Politik mencakup seluruh pemikiran yang berhubungan dengan pengaturan pelbagai urusan. Ia boleh berbentuk kaedah-kaedah seperti akidah dan hukum-hukum, boleh juga berupa tindakan-tindakan yang sedang berjalan, sudah terjadi, atau akan terjadi, termasuk berita-berita yang berkembang.
Inti daripada pemikiran politik adalah pemikiran yang mengurus dan menata kehidupan umat secara kolektif. Darjat tertingginya adalah pemikiran yang memandang manusia dan alam semesta dengan sudut pandang tertentu yang utuh dan menyeluruh. Sudut pandang tertentu inilah yang menjadi pembeza corak dan amalan politik. Jika sudut pandangnya adalah akidah Islam, maka politiknya adalah politik Islami (as-siyâsah al-islâmiyyah). Politik yang lahir dari sudut pandang sekular akan berbeza sepenuhnya dengan politik yang lahir dari sudut pandang Islam ini walaupun sama-sama mengurus umat.
Politik wajib berlandaskan Islam kerana Allah telah memerintahkan untuk ber-Islam secara kâffah, menegakkan seluruh hukum-hukum-Nya, tak terkecuali urusan politik. Rasulullah SAW di Madinah bukan hanya sekadar imam solat. Baginda juga merupakan ketua negara, panglima perang, hakim serta pembuat dasar/polisi baik untuk urusan dalam negara mahupun luar negara. Jika politik dilepaskan daripada Islam, maka yang berlaku adalah sekularisme, kapitalisme atau ideologi lain. Sedangkan Allah menegaskan dalam surah al-Maidah ayat 50 bahawa tidak ada hukum yang lebih baik daripada hukum-Nya.
Peranan Penguasa dalam Politik
Dalam Islam, peranan asas dan utama penguasa adalah melaksanakan syariah dan mengurus urusan umat dengan syariah itu, baik itu urusan dalam negara mahupun luar negara.
Rasulullah SAW bersabda:
كانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ كلَّمَا هَلَكَ نَبِىٌّ خَلَفَهُ نَبِىٌّ وَإِنَّهُ لَا نَبِىَّ بَعْدِى وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ فَتَكْثُر.
”Dulu Bani Israil diurus oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi wafat, ia digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak ada nabi setelah aku. Yang akan ada adalah para khalifah. Lalu mereka akan banyak.” (HR. al-Bukhari dan Muslim)
Makna ‘diurus oleh para nabi’ adalah:
يَتَوَلَّوْنَ أُمُورَهُمْ كَمَا تَفْعَلُ الْأُمَرَاءُ وَالْوُلَاةُ بِالرَّعِيَّةِ، وَالسِّيَاسَةُ الْقِيَامُ عَلَى الشَّيْءِ بِمَا يُصْلِحُهُ
Para nabi menangani urusan-urusan mereka sebagaimana yang dilakukan oleh para pemimpin dan penguasa terhadap rakyat. Politik adalah menguruskan sesuatu dengan apa yang membuat sesuatu itu menjadi baik.
Dalam menangani pelbagai urusan, Allah mewajibkan para penguasa untuk berhukum dengan hukum-Nya. Allah berfirman:
فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ ٤٨
“Kerana itu putuskanlah hukum di antara mereka menurut wahyu yang telah Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepada dirimu.” [TMQ al-Maidah (5): 48]
Seruan ini memang ditujukan kepada Rasul SAW. Akan tetapi, kaedahnya menyatakan: Seruan Allah kepada Rasul SAW juga merupakan seruan kepada umat baginda selama tidak ada dalil yang mengkhususkan untuk baginda saja. Jelas, di sini tidak ada dalil pengkhususan itu. Imam al-Mawardi ketika menjelaskan 10 tugas penguasa/khalifah, di antaranya beliau menyatakan:
…حِفْظُ الدِّينِ عَلَى أُصُولِهِ الْمُسْتَقِرَّةِ، وَمَا أَجْمَعَ عَلَيْهِ سَلَفُ الْأُمَّةِ … تَنْفِيذُ الْأَحْكَامِ بَيْنَ الْمُتَشَاجِرِينَ … إقَامَةُ الْحُدُودِ؛ لِتُصَانَ مَحَارِمُ اللهِ تَعَالَى عَن الِانْتِهَاكِ
”…menjaga agama (Islam) agar senantiasa berada di atas asasnya, dan di atas apa yang telah disepakati oleh generasi terdahulu daripada umat ini…, menerapkan hukum (Islam) di antara mereka yang berselisih…, menerapkan hudûd (hukum-hukum Allah) untuk menjaga larangan-larangan Allah dari penodaan…”
Penguasa juga wajib melakukan pemantauan langsung terhadap pelbagai urusan. Dia sentiasa mencari tahu keadaan yang berlaku. Dia wajib mengukuhkan sempadan dengan jumlah pasukan yang mampu memberikan perlindungan. Dia juga wajib mencari dan menelaâh pelbagai manuver politik negara-negara musuh dan memberikan langkah-langkah untuk kemaslahatan dakwah Islam dan kaum Muslim.
Rasulullah SAW pernah menghantar Abdullah bin Jahsyi RA untuk mencari informasi terkait kafir Quraisy, juga menghantar Hudzaifah bin al-Yaman menyusup ke pasukan Ahzab untuk mencari maklumat keadaan musuh. Begitu juga sahabat yang lain seperti Anas bin Malik, Abbas bin Abdul Muthhalib. Mereka pernah diberi tugas untuk menyampaikan informasi politik terkait musuh.
Peranan Umat dalam Politik
Peranan politik umat adalah mengawasi, membetulkan dan menasihati penguasa atas pengaturan pelbagai urusan agar mereka tetap menjalankan hukum Allah dengan pelaksanaan terbaiknya. Syaqiq al-Balkhi (w. 139 H) pernah memberikan nasihat kepada Khalifah Harun ar-Rasyid:
وَمَنْ خَالَفَ أَمْرَ اللهِ، وَخَرَجَ عَلَى حُدُودِ اللهِ فَأَدِّبْهُ بِالسَّوْطِ، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ حَقٍّ فَاقْتُلْهُ بِالسَّيْفِ، إِلَّا أَنْ يَعْفُوَ وَلِيُّ الْمَقْتُولِ، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فِي مُلْكِكَ بِدِينِ اللهِ، فَأَنْتَ زَعِيمُ أَهْلِ النَّارِ
”Siapa saja yang menentang perintah Allah, dan melanggar batas-batas Allah, maka didiklah dia dengan cambuk. Siapa saja yang membunuh jiwa tanpa haq, maka bunuhlah dia dengan pedang, kecuali jika wali orang yang terbunuh memaafkan. Jika engkau tidak menjalankan agama Allah dalam kekuasaanmu, engkau adalah pemimpin penghuni neraka.”
Politik antarabangsa dan politik luar negeri adalah bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada politik, ditinjau daripada hakikatnya sebagai politik. Oleh kerana itu, politik tidak disebut politik dalam maksud yang sebenarnya kecuali jika ia berupa pemikiran-pemikiran tentang pengurusan urusan umatnya, juga umat-umat lain dan negara-negara lain. Kerana itu hubungan politik antarabangsa dan politik luar negara dengan politik dalam negara merupakan hubungan antara bahagian-bahagian daripada keseluruhannya, malah ia merupakan bahagian penting yang membentuk politik.
Umat Islam, khususnya ahli politik, pemikir dan ulama wajib memperhatikan masalah-masalah politik antarabangsa mahupun serantau sehingga faham akan fakta politik yang sedang terjadi dan mampu mengambil sikap berdasarkan Islam. Tujuannya tentu dalam rangka memelihara kepentingan umat dan negara baik di dalam mahupun di luar negara.
Dalam memahami politik luar negara dan politik antarabangsa tidak cukup hanya menguasai kaedah umum dan garis besarnya saja. Pembahasan yang bersifat global dan teori tidak memadai untuk membentuk pandangan yang utuh. Diperlukan pemahaman mendalam terhadap perincian peristiwa, fakta, tindakan, niat dan tujuan para pihak yang terlibat, serta kemampuan menganalisis semua itu. Hal ini penting agar dapat menentukan sikap, memahami dinamik yang terjadi, mengenali musuh dan mengetahui arah dasar sesuatu negara secara tepat.
Untuk itu perlu difahami tiga perkara. Pertama: Konteks saat suatu kenyataan diucapkan. Kedua: Tindakan yang dilakukan beserta situasi yang melatarbelakangi tindakan tersebut. Ketiga: Hubungan yang ada dan keadaan daripada hubungan tersebut. Tanpa memahami ketiga hal itu, niat musuh tidak dapat dikenali. Memahami ketiga aspek ini menuntut pengetahuan yang terperinci. Sebab, kenyataan, tindakan, mahupun hubungan perlu ditelusuri rincian dan perkembangannya sesuai situasi yang menyelubungi semua itu.
WalLâhu alam.
#politik #politikislam #siyasah