Hukum Keberadaan Pangkalan Tentera AS di Negeri Muslim
Penulis: Wardah Abeedah
Salah satu perkara yang menjadi sorotan kaum muslim, bahkan dunia, dalam pencerobohan AS-Zionis ke Iran adalah keberadaan pangkalan-pangkalan tentera AS di Timur Tengah. Terdapat 27 pangkalan tentera AS di negeri-negeri muslim tersebut.
Di Saudi terdapat Pangkalan Udara Prince Sultan. Merujuk data 2022, lebih daripada 2700 tentera AS ditempatkan di Arab Saudi. Di Bahrain, Markas Besar Armada ke-5 AS menampung sekitar 9000 anggota dan kapal-kapal perang. Sementara itu di Kuwait, 13500 tentera ditempatkan di Pangkalan Afrijan dan Buehring.
Di Emiriah Arab Bersatu, Pangkalan Udara Al-Dhafra menampung sekitar 3500 anggota AS. Di negara ini juga terdapat pelabuhan-pelabuhan penting untuk Angkatan Laut AS. Oman juga tidak ketinggalan menampung beberapa ratus anggota angkatan udara dan pasukan kecil lainnya di kawasan.
Daripada semua pangkalan di Teluk, pangkalan terbesar AS terletak di Al-Udeid di Qatar yang didirikan pada tahun 1996, yang berfungsi sebagai ibu pejabat serantau Komando Pusat AS (CENTCOM). Sekitar 10000 pegawai ditempatkan di sana.
Jordan, sekutu utama AS, menampung sekitar 3000 tentera Amerika. Kedekatannya secara geografi dengan entiti pendudukan menjadikan posisinya penting untuk operasi perisikan AS.
Menurut Al Jazeera, sejumlah kira-kira 45000 tentera ditempatkan secara bergilir-gilir di pelbagai pangkalan di negara-negara Teluk. Sejak genosid Zionis di Gaza pada tahun 2023, angka itu melonjak menjadi sekitar 54000 tentera. Bukan sahaja tentera, tetapi sistem pertahanan udara yang canggih seperti ratusan jet pejuang, pesawat peninjau, dan dron juga ditempatkan di sana.
Angka ini cukup mengagumkan. Begitu juga dengan saiz peralatan ketenteraan AS di dalamnya. Jadi, bagaimana Islam memandang hal ini, bolehkah kaum muslim mengikat perjanjian dengan negara kafir dan mengizinkan mereka mendirikan pangkalan tentera di tanah kaum muslim?
Perjanjian dan Pakatan Tentera dalam Islam
Keberadaan pangkalan tentera AS diikat melalui perjanjian antara negara. Maksudnya, terdapat keizinan dari negara Teluk kepada AS untuk menempatkan pasukan dan persenjataannya di sana.
Saat ini, kebiasaan umum di dunia adalah bahawa negara-negara memiliki hak untuk membuat semua bentuk perjanjian di antara mereka sendiri. Tiada sekatan di bawah undang-undang kontemporari atau norma antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Hal ini juga yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin di negeri muslim seperti yang berkaitan dengan pangkalan tentera ini.
Sedangkan dalam Islam, perjanjian antara negara diatur oleh hukum Allah. Perjanjian antara negara Islam dan negara-negara lain di luar dunia Islam pada dasarnya adalah mubah. Dalam kitab Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah jilid II disebutkan, “Negara Islam boleh melakukan perjanjian-perjanjian damai, gencatan senjata, kejiranan yang baik, perjanjian kebudayaan, perjanjian dagang dan ekonomi, dan sebagainya berupa perjanjian-perjanjian yang menyokong kepentingan penyebaran dakwah Islam dengan syarat-syarat yang diakui oleh Islam.” (Taqiyuddin an-Nabhani, Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah jilid II, hlm. 363).
Namun, ia bukan bermaksud bahawa Islam mengizinkan semua jenis perjanjian. Perjanjian gencatan senjata; perjanjian negara jiran yang baik; perjanjian komersial, budaya, dan kewangan; serta isu-isu terkait, semua ini diperbolehkan dalam Islam. Hal ini kerana hubungan dan interaksi semacam ini pada dasarnya diperbolehkan dalam Islam. Sebaliknya tidak diperbolehkan membuat perjanjian dalam hal-hal yang dilarang Allah SWT, bahkan jika yang mengikat perjanjian adalah seorang khalifah. Termasuk di dalamnya perjanjian pertahanan atau pakatan tentera.
Pakatan tentera adalah kesepakatan-kesepakatan antara dua negara atau lebih, yang mana tentera masing-masing bergabung melawan musuh yang sama, atau melakukan kerjasama dalam bidang ketenteraan, baik dengan saling memberikan informasi berkaitan ketenteraan atau pertukaran senjata. Atau jika salah satunya sedang berperang, para sekutu itu berunding adakah mereka akan menyertai secara langsung dalam peperangan itu atau tidak, sesuai dengan pertimbangan-pertimbangan yang mereka sepakati. (Taqiyuddin an-Nabhani, Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah jilid II, hlm. 359).
Larangan terhadap perjanjian pertahanan seperti ini muncul kerana tujuan peperangan yang dibenarkan dalam Islam berbeza dengan tujuan pakatan tersebut. Daripada pemahaman itu, kelihatan bahawa bergabung dalam pakatan tentera memiliki akibat yang perlu menyamakan tujuan. Sedangkan Islam memiliki tujuan yang berbeza daripada semua negara di luar Islam. Bila bergabung dalam pakatan tentera, Islam perlu mengetepikan tujuan tersebut dan mengedepankan tujuan bersama yang boleh jadi justeru bertentangan dengan Islam. Hal ini tentu tidak diperbolehkan dalam kaca mata syarak.
Tujuan perang dalam Islam adalah untuk meninggikan kalimat Allah. Dalam kitab Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah jilid II disebutkan, “… Perang yang disyariatkan dalam Islam hanyalah jihad fisabilillah. Jihad adalah ibadah dan hukumnya fardhu (wajib) bagi setiap muslim. Jihad bermaksud mencurahkan kemampuan untuk berperang di jalan Allah secara langsung, atau dengan bantuan harta, pemikiran, memperbanyakkan bekalan, dan sebagainya. Jadi, berperang untuk meninggikan kalimat Allah adalah jihad.”
Bersekutu dengan tentera negara kafir akan membuat keputusan damai dan perang tidak diambil daripada tangan negara umat Islam. Keputusan berdamai atau berperang ditempatkan di tangan negara lain (kafir) yang akan memaksa kaum muslim berperang di bawah keputusan dan panji mereka. Sedangkan, terdapat larangan berperang di bawah panji dan kawalan orang kafir berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan Ahmad dan An-Nasâ‘i daripada Anas. Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda,
لا تَسْتَضِيُْئوْا بِنَارٍ الْمُشْرِكِيْنَ
“Janganlah kalian minta penerangan dengan apinya orang-orang musyrik.”
Maksudnya, jangan jadikan api mereka sebagai penerangan kalian.
Lafaz an-nâr (api) adalah kinayah (kiasan) daripada harb (perang). Contohnya kata awqada nâr al harb (menyalakan) api peperangan; nâr at-tahwil (api gertakan) adalah api yang diyalakan oleh orang Arab jahiliah ketika saling bersumpah (mengadakan persekutuan). Hadis di atas merupakan kinayah tentang perang bersama orang musyrik dan mengambil pandangan mereka. Daripada hadis ini, dapat difahami bahawa ada larangan berperang bersama orang musyrik. (Taqiyuddin an-Nabhani, Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah jilid II, hlm. 359).
Sebaliknya, pakatan tentera dengan orang kafir boleh menjadikan negeri-negeri umat Islam berdamai dan berdiam diri daripada jihad yang wajib disebabkan keputusan damai yang dibuat oleh sekutu kafir mereka, sebagaimana diamnya kaum muslim saat ini daripada jihad melawan Zionis penjajah disebabkan oleh normalisasi hubungan dengan Zionis dalam Abraham Accord. Sedangkan, hukum jihad adalah wajib/fardhu. Menjadi fardhu ain jika kaum kafir masuk ke negeri muslim memerangi mereka sehingga musuh dapat diusir. Menjadi fardhu kifayah jika memulakan jihad ke darul kufur sehingga mereka menerima Islam, atau menerima untuk berhukum dengan Islam dan membayar jizyah.
Allah SWT. berfirman,
قَاتِلُوا الَّذِيْنَ لَا يُؤْمِنُوْنَ بِاللّٰهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْاٰخِرِ وَلَا يُحَرِّمُوْنَ مَا حَرَّمَ اللّٰهُ وَرَسُوْلُهٗ وَلَا يَدِيْنُوْنَ دِيْنَ الْحَقِّ مِنَ الَّذِيْنَ اُوْتُوا الْكِتٰبَ حَتّٰى يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَنْ يَّدٍ وَّهُمْ صٰغِرُوْنَࣖ
“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu daripada orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan keadaan taat dan merendah diri.” [TMQ At-Taubah (9): 29]
Perintah untuk memerangi mereka adalah kerana adanya sifat kufur. Maksudnya, perangilah mereka kerana mereka tidak beriman kepada Allah, tidak pula kepada Hari Akhir, dan seterusnya. Dengan demikian, sifat ini adalah qayd (batasan) bagi peperangan. Dan pada saat itu dia menjadi sebab. Dengan demikian, sebab peperangan adalah kekufuran.” (Taqiyuddin an-Nabhani, Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah jilid II, 247).
Daripada penjelasan di atas maka tidak diperbolehkan menyewakan lapangan terbang, pelabuhan, wilayah udara, laluan air dan sebagainya kepada kaum kafir, lebih-lebih lagi kafir harbiy yang jelas memerangi kaum muslim. Keberadaan pangkalan tentera AS di negeri muslim di Timur Tengah, mahupun cadangan AS untuk membenarkan pesawat tentera AS terbang di atas ruang udara negeri-negeri muslim dan hal seperti ini haram hukumnya. Mengizinkan negara lain untuk menggunakannya termasuk perbuatan memberi jalan bagi orang-orang kafir untuk mengalahkan atau menguasai muslim yang hukumnya haram. Allah SWT berfirman,
وَلَن يَجْعَلَ ٱللَّهُ لِلْكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
“dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.” [TMQ An-Nisa (4): 141]
Dengan melihat jejak sejarah, dalam pandangan syarak, Amerika Syarikat dihukumi sebagai ad-dawlah al-kafirah al -harbiyah al-muhâribah bi al-fi’li. Iaitu negara kafir harbi yang benar-benar sedang memerangi umat Islam secara nyata, atau biasa disebut kafir harbi fi’lan. Asas interaksi dengan negara kafir harbi fi’lan adalah interaksi perang; tidak boleh ada perjanjian apa pun dengan negara kafir seperti ini, contohnya perjanjian politik (seperti hubungan diplomasi), perjanjian ekonomi (seperti eksport-import), dan sebagainya. Perjanjian hanya boleh ada setelah ada perdamaian (ash-shulh).
Fakta mengungkapkan, pangkalan tentera AS selama ini digunakan oleh AS mahupun sekutunya untuk menyerang negeri-negeri muslim. Contohnya yang terjadi dalam Perang Iran yang berlangsung hari ini. Walaupun negara-negara Teluk berdalih tidak terlibat dalam Perang Iran, menurut France24, pangkalan tentera AS di Kuwait menjadi pangkalan peluru berpandu AS yang ditembak dengan pelancar HIMARS ke Iran. Sementara itu, bukti fotografi menunjukkan bahawa pesawat-pesawat pengisi bahan api milik AS yang terlibat dalam serangan ke atas Iran ditempatkan di Arab Saudi.
Keberadaan pangkalan tentera AS itu juga penting untuk melindungi Zionis. Pada Jun 2025 yang lalu, contohnya, banyak peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran ke arah Zionis telah dipintas oleh sistem pertahanan udara yang beroperasi dari pangkalan-pangkalan AS di Jordan dan Arab Saudi.
Sejarah mengungkap fakta peranan pangkalan tentera AS di Timur Tengah dalam pencerobohan AS ke atas negeri-negeri muslim. Pangkalan di Qatar, Kuwait dan Bahrain contohnya, berfungsi sebagai hab logistik untuk AS dan sekutunya dalam melancarkan serangan ke atas Afghanistan selepas 11 September 2001. Serangan AS telah membunuh 176,000–212,000 orang, 46,319–47,245 daripadanya adalah orang awam. (Dialeksis, 2 Mac 2026).
Pada tahun 2003 pencerobohan haram AS dan sekutunya untuk menggulingkan Saddam Hussein di Iraq sebahagian besarnya diselaraskan dari pangkalan di Qatar dan Kuwait. Jurnal perubatan PLOS Medicine menyatakan bahawa menjelang 2011, hampir 500,000 orang telah terkorban secara langsung dalam pencerobohan tersebut.
Sedangkan Iran, Afganistan mahupun Iraq adalah negara yang berdiri di tanah kaum muslim. Status tanah tersebut adalah tanah milik kaum muslim. Tanah yang dahulu dibebaskan oleh kekhilafahan melalui futuhat yang syarie. Hukum syarak atasnya adalah jihad terhadap orang kafir yang menyerang dan mendudukinya. Ini sebagaimana perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 190,
وَقَاتِلُوۡا فِىۡ سَبِيۡلِ اللّٰهِ الَّذِيۡنَ يُقَاتِلُوۡنَكُمۡ
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu …”
Jangankan berjihad melindungi tanah kaum muslim dengan mengerahkan seluruh kekuatan tentera dan tentera negeri muslim untuk mengusir Zionis dan AS dari Timur Tengah, negara-negara Teluk sebaliknya memberikan izin dan memudahkan negara kafir harbi untuk mendirikan pangkalan tentera yang digunakan untuk menyerang negeri muslim. Ini adalah haram dan kezaliman yang nyata.
Pengkhianatan Pemimpin Arab
Ini bukan kali pertama pemimpin kaum muslim di negara Teluk menunjukkan ketundukannya pada tuannya, Amerika Syarikat. Sebelum ini beberapa negara Teluk menyertai Board of Peace (BoP) awal tahun ini. Pada tahun 2020 hubungan antara Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Maghribi, Sudan, Mesir dan Jordan dengan Zionis dinormalisasikan melalui Perjanjian Abraham (Abraham Accord) yang diusahakan oleh Amerika Syarikat. Sedangkan, kedua-dua perjanjian ini jelas menempatkan Amerika dan Zionis sebagai penentu dasar dan pemilik kepentingan, serta menzalimi dan mengkhianati kaum muslimin, terutama di Gaza.
Pengkhianatan demi pengkhianatan mereka telah menampakkan betapa takutnya mereka kehilangan kekuasaan dan menyingkap penyakit wahn dalam hati mereka. Kemarahan Donald Trump jauh lebih mereka takuti daripada azab Allah di akhirat. Sedangkan, mereka menyaksikan bagaimana dengan mudahnya Amerika berkhianat dan menggulingkan boneka mereka di negeri-negeri muslim.
Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitab Mafahim Siyasi li-Hizbi at-Tahrir hlm.156 menjelaskan bahawa pemimpin negeri-negeri Arab terus melayani AS sehingga rela menjadi hamba mereka. Dengan demikian, mereka kehilangan kredibiliti di mata rakyatnya. “Majikan” mereka juga memandang rendah dan terus-menerus menghina mereka serta meminta mereka untuk semakin tunduk kepada AS. Dengan demikian, pemerintah negara-negara Arab ini telah menjadi alat yang mudah digantikan oleh musuh mereka, seperti yang berlaku kepada Saddam Husein dan ejen-ejen lain. Ketundukan pemerintah muslim dan penghinaan AS ke atas mereka dalam Perang Iran ini semakin kelihatan saat pengganas AS dengan angkuhnya meminta negara Teluk membiayai serangan mereka ke atas Iran.
Kezaliman dan pengkhianatan pemimpin Arab juga membuka mata umat bahawa kemenangan Islam dan kaum muslim tidak akan mungkin diraih melalui pemimpin boneka ini. Satu-satunya jalan untuk merebut kembali Baitul Maqdis, memerdekakan seluruh negeri muslim, dan melenyapkan entitas Zionis penjajah hanyalah dengan negara Khilafah. Inilah negara yang berideologikan Islam, menerapkan syariat, serta melakukan jihad fisabilillah.
Wallahualam.
#GeopolitikUmat #Palestin #FreePalestin #AyuhUmatBangkit #ArmiestoGaza