Masyarakat Muslim Ideal adalah Masyarakat Yang Terpenuhi Keperluan Asasnya
Aktivis Muslimah dari Indonesia, Ustazah Iffah Ainur Rochmah menyatakan bahawa Masyarakat Muslim Ideal menurut Islam bukan sekadar masyarakat yang aman dan makmur, tetapi masyarakat yang terpenuhi keperluan asas setiap individunya.
“Dalam pandangan Islam tentu disebut sebuah masyarakat ideal kalau terpenuhi keperluan-keperluan asas. Manusia itu Allah berikan kehidupan, Allah berikan rezeki,” ujarnya dalam program Muslimah Tea Break bertajuk “Masyarakat Muslim Ideal: Sudah Idealkah Kehidupan Umat Hari Ini?” di laman Facebook Muslimah HTM, pada Sabtu (6/6/2026).
Beliau menjelaskan bahawa Islam tidak menerima situasi di mana masih wujud golongan yang gagal terpenuhi keperluan asasnya sedangkan sumber dan kekayaan tersedia.
Katanya, “Misalnya kita lihat hari ini dunia masih memiliki sekitar jutaan orang yang hidup dalam keadaan kelaparan”.
“World Health Organization setiap tahun memperingati hari makanan sedunia. Padahal ada sumber-sumber makanan dunia yang jumlahnya melimpah. Maka ini tidak boleh diterima oleh Islam,” sambungnya.
Mengulas ciri masyarakat ideal menurut Islam, katanya pemenuhan keperluan asas hendaklah meliputi seluruh aspek kehidupan.
“Menurut pandangan Islam, ideal life itu adalah terpenuhinya keperluan-keperluan asas. Apakah itu pakaian, makanan, kemudian perumahan, kesihatan, pendidikan dan keselamatan. Ini diperintahkan oleh syariat Islam untuk dipenuhi,” katanya.
Menurutnya juga, keperluan asas seperti pendidikan serta kesihatan adalah dua aspek penting yang mesti dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.
“Manusia memerlukan pendidikan, manusia memerlukan sumber-sumber untuk mencerdaskan dirinya, maka dalam pandangan Islam ini juga mestilah dipenuhi,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun ada negara menawarkan pendidikan percuma hari ini, tetap saja realitinya ia masih belum tuntas dan masih ramai yang belum mendapat akses pendidikan yang layak.
Beliau mencontohkan situasi pendidikan di Indonesia, “Meskipun ada `free’ dalam pendidikan dasar, tapi masyarakat juga belum menikmati atau mendapatkan pendidikan secara layak. Maksudnya, tidak benar-benar percuma. Kerana yang percuma itu hanya wang biaya ke sekolahnya, sedangkan biaya untuk buku, biaya untuk kasut, biaya untuk makan dan seterusnya, ternyata ini belum dapat diberikan. Tidak benar-benar percuma.”
Seterusnya, Iffah turut menegaskan bahawa Islam tidak membenarkan pengabaian terhadap individu yang ditimpa sakit.
“Islam juga memerintahkan tidak boleh membuat orang yang sakit itu menderita, yakni dia dibiarkan tidak mendapatkan perawatan, ubat-ubatan dan seterusnya,” katanya.
Beliau juga menyampaikan realiti di beberapa negeri Islam hari ini yang masih menghadapi masalah kemiskinan dan kelaparan, serta membandingkan situasi di Arab Saudi yang sejahtera dengan keadaan di Yaman yang terus memburuk.
“Sangat dekat antara Yaman dengan Saudi. Di Saudi, penduduk di sana mungkin boleh dikatakan sejahtera secara ekonomi. Tapi tidak jauh dari situ, penduduk Yaman sedang kelaparan dalam jumlah yang tidak kecil, puluhan juta penduduk. Mereka tidak dapat memenuhi keperluan asasnya, makan pun tidak mampu, kesihatan juga tidak mampu, dan bahkan bergantung hidup dari sumbangan derma antarabangsa,” jelasnya.
Namun, Iffah menegaskan bahawa Islam memiliki standard dan kaedah khusus dalam menentukan serta memenuhi keperluan-keperluan asas manusia.
“Islam itu mempunyai tirozun khossun. Mempunyai caranya sendiri dan mempunyai ukurannya sendiri yang berbeza dengan peradaban mana pun. Islam mempunyai special civilization, special standard dan Islam juga mempunyai metode tersendiri untuk memenuhi keperluan-keperluan (manusia),” ujarnya.
[] Aliya Ab Aziz
#MasyarakatMuslimIdeal #KeperluanAsas #HidupSejahteradenganSyariah #Kapitalisme