Tangani Isu Buli Perlu Sokongan Semua Pihak
Oleh: Syamsiyah Jamil
Aktivis Muslimah Malaysia, Dr Norini memperlihatkan bahawa sokongan daripada semua pihak diperlukan untuk menangani isu buli.
“Untuk menangani isu buli, kita tidak boleh melepaskannya semata-mata kepada pihak sekolah, individu ataupun keluarga sahaja. Ia memerlukan sokongan daripada semua pihak,” katanya dalam Bicara Muslimah Online bertajuk Buli: Ancaman Terhadap Kesihatan Mental Anak-anak dalam saluran YouTube Fikratul Ummah, Sabtu (5/9/2025).
Sebagai ibu bapa, Dr Norini menjelaskan bahawa mereka perlu mengawasi perubahan tingkah laku anak-anak.
“Kalau nampak anak suka membuli adik-beradik atau orang lain, perkara itu perlu dicegah. Kalau terdapat aduan daripada ibu bapa atau pihak lain tentang sikap anak, ibu bapa perlu menyiasat dan memastikan perkara tersebut tidak diteruskan,” ujarnya.
Walaubagaimanapun, beliau menyatakan kekecewaan kerana gajet telah mengambil alih sebahagian peranan ibu bapa pada zaman sekarang.
“Anak-anak lebih mudah tertarik kepada gajet sehingga interaksi dengan ibu bapa semakin berkurangan. Akibatnya, ibu bapa tidak tahu apa yang anak-anak mereka tengok, apa pengaruh apa yang telah masuk ke dalam pemikiran mereka,” katanya.
Beliau mengingatkan ibu bapa untuk mengambil pengajaran daripada kes di Banting di mana seorang anak terpengaruh dengan satu kumpulan WhatsApp yang mendorongnya untuk membalas balik perbuatan orang yang tidak baik kepada dia.
“Peranan ibu bapa sangat penting, memberikan pengawasan, memberikan teguran. Jangan tinggalkan anak-anak. kalau ada masalah, mestilah ibu bapa dulu menjadi orang pertama. Jangan sampai anak-anak mencari orang lain di luar sana,” tegasnya.
Namun, beliau mengatakan bahawa ibu bapa juga tidak boleh dipersalahkan kerana sistem ekonomi yang menekan sekarang telah memaksa kedua ibu bapa keluar bekerja.
“Perhatian kepada anak-anak berkurang. Kadang tak sempat pun nak jumpa anak. Pagi keluar, balik anak dah tidur. Lepas itu, esok keluar lagi. Jadi, tak ada komunikasi. Sistem hari ini yang tidak menyokong,” jelasnya.
Selain itu, beliau menerangkan bahawa sekolah juga mempunyai peranan untuk menangani buli dengan mengikuti peraturan yang dikeluarkan, bukannya menyembunyikan kes.
“Kalau ada aduan yang datang, dia cuba nak tutup kadang-kadang supaya nama baik sekolah tak tercemar. Ini tak sepatutnyalah sebab kalau tak selesaikan masalah ini, takut akan berlaku pada orang lain, sampai menyebabkan jenayah,” ucapnya.
Lanjutnya, “Sekolah perlu mengambil tindakan yang tegas. Kalau ada aduan, kena siasat, jangan sorok. Kalau ada aduan, pembuli kena diluruskan, kena diberi nasihat, bukan dibiarkan.”
Beliau berpendapat, kaunseling juga sangat penting kepada pembuli dan mangsa.
“Kalau terus buang sekolah, nanti dia akan buat lagi dekat tempat lain. Jadi kena bimbinglah budak itu. Kena beri kaunseling yang sepatutnya kepada pelaku dan juga kepada mangsa,” tuturnya.
Di samping itu, beliau memandang bahawa masyarakat perlu menjalankan peranan mencegah budaya yang salah.
“Memang kena jadi masyarakat yang amar ma’ruf nahi mungkar supaya budaya yang tak elok ini dibanteras. Janganlah masyarakat bersikap tak nak jaga tepi kain orang,” ujarnya.
Beliau menyimpulkan, peranan semua orang penting untuk membanteras masalah buli.
“Jadi, sistem sokongan bukan sahaja membantu memulihkan kesihatan mental mangsa tapi juga boleh menghalang pelaku daripada terus melakukan kitaran keganasan,” tutupnya.
#buli #HentikanBuli #stopbullyingstandupspeakout