Pendekatan Negara untuk Membentuk Akidah Masyarakat
Oleh: Syamsiyah Jamil
Aktivitis Muslimah Malaysia, Dr Norini mengutarakan bahawa negara sepatutnya mempunyai sistem atau pendekatan untuk membentuk akidah masyarakat.
“Sistem itu tentang bagaimana pendekatan negara untuk membentuk akidah masyarakat. Masyarakat perlu dididik, ditanamkan akidah yang benar. Maknanya negara kena memastikan masyarakatnya tahu apa yang benar, apa yang salah,” ujarnya dalam Bicara Muslimah Online bertajuk Buli: Ancaman Terhadap Kesihatan Mental Anak-anak dalam saluran YouTube Fikratul Ummah, Sabtu (5/9/2025).
Beliau menjelaskan pentingnya akidah dalam membentuk akhlak masyarakat supaya masalah buli dapat ditangani.
“Keperibadian Islam perlu ditanamkan kepada setiap individu dalam masyarakat bermula daripada akidah lagi. Sebab daripada akidah itu akan membentuk akhlak yang mulia,” katanya.
Beliau memberitahu empat peranan negara dalam membentuk aqidah masyarakat. Pertama, menerapkan sistem pendidikan yang bertujuan membentuk keperibadian (syakhsiyah) Islam.
“Sistem pendidikan perlu bukan hanya untuk melahirkan tenaga kerja ataupun menjana kekayaan negara atau keluarga sahaja. Pendidikan itu untuk melahirkan individu yang bersyakhsiyah Islam dan dapat memberikan manfaat kepada manusia lain. Bukannya mengambil kesempatan ataupun memudaratkan orang lain,” jelasnya.
Tambahnya, “Perbuatan, tolok ukurnya dalam Islam mestilah berdasarkan halal dan haram. Bukannya pertimbangan akal kita.”
Beliau menerangkan peranan kedua negara iaitu mengawal media.
“Apa saja yang dipaparkan di media perlu ditapis. Kalau filem aksi keganasan memang akan mempengaruhi pemikiran anak-anak. Game itu semua perlu ada kawalan daripada negara. Negara sahaja yang boleh kawal supaya pengaruh yang rosak dibanteras,” tuturnya.
Beliau memandang bahawa media sepatutnya mendidik umat. “Media pula sepatutnya menjadi alat yang penting untuk mendidik umat dengan nilai-nilai yang baik, nilai-nilai Islam, nilai saling hormat-menghormati,” tegasnya.
Beliau menambah, peranan negara yang ketiga adalah menyediakan perkhidmatan kesihatan.
“Negara perlu menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan percuma. Bukan hanya kesihatan fizikal tapi juga mental. Perkhidmatan kesihatan yang percuma yang mudah diakses,” ungkapnya.
Lanjutnya, “Mereka yang perlukan rawatan sepatutnya dirawat dengan sebaik-baiknya, sama ada kaya ataupun miskin. Semua itu adalah hak rakyat yang perlu dipenuhi. Kalau tak sihat mentalnya, memang akan mengganggu dia punya aktiviti,” tambahnya
Yang terakhir, beliau mengatakan, negara juga mempunyai peranan untuk menguatkuasakan undang-undang.
“Negara sebenarnya adalah pelaksana hukum syariat. Hukum syariah ini, kalau tak ada negara, siapa yang nak laksanakan?,” soalnya.
Beliau menyampaikan, Islam mempunyai hukum jenayah yang terperinci terhadap setiap kesalahan mencederakan orang untuk melindungi dan menjamin keadilan setiap individu.
“Hukum yang adil dan layak hanyalah hukum daripada Allah. Jadi, fungsi undang-undang dalam Islam akan mencegah daripada benda itu berlaku lagi dan seterusnya menghukum. Menghukum dengan hukuman yang setimpal,” terangnya.
Begitulah beliau memperlihatkan pentingnya peranan negara. “Bila ada penerapan (hukum Islam) oleh negara, peranan masyarakat, ketakwaan individu, semua menjadi asas dalam membina negara yang aman, sejahtera. Tak boleh individu sahaja, masyarakat tak ambil tahu ataupun negara tak ambil tahu,” simpulnya.
#Buli #BahayaBuli #HentikanBuli #stopbullying