Membaca Retaknya Hubungan As-Eropah Dan Sikap Dunia Islam Yang Sepatutnya
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
BARAT kembali memperlihatkan wajah politiknya yang paling asli: penuh tekanan, sarat perhitungan; tetapi miskin kesetiaan.
Kenyataan Donald Trump tentang kemungkinan keluarnya NATO daripada payung keterlibatan Amerika bukan sekadar retorik politik domestik. Itu adalah pesanan keras kepada Eropah: bahawa perlindungan Amerika tidak pernah percuma dan tidak pernah diberikan tanpa syarat.
Dalam logik politik Washington, sekutu bukan rakan Kongsi yang setara. Sekutu adalah pihak yang perlu ikut membayar, ikut menanggung risiko dan ikut bergerak sesuai arah strategi yang ditentukan Amerika.
Oleh sebab itu ancaman semacam itu lebih tepat dibaca sebagai instrumen tekanan: memaksa Eropah menerima pembahagian beban baru di tubuh NATO; lebih besar biaya militernya, lebih luas keterlibatannya dan lebih tinggi tahap kepatuhannya terhadap agenda Amerika.
NATO dan Retaknya Kesefahaman Internal
Sejak awal, NATO selalu dipromosikan sebagai benteng pertahanan kolektif dunia Barat. Akan tetapi, di balik slogan solidariti keamanan itu, yang bekerja dengan sebenar-benarnya adalah atas pertimbangan kepentingan nasional masing-masing.
Hari ini, keretakan itu semakin jelas. Amerika mahu NATO terus efektif sebagai alat untuk mempertahankan hegemoninya. Sebaliknya, banyak negara Eropah mula mempersoalkan: sampai ke tahap mana mereka perlu terus menanggung risiko global yang sebahagian besarnya berpunca daripada kepentingan strategik Amerika sendiri?
Tarik menarik kepentingan inilah yang kini semakin ketara. Pakatan itu masih dikekalkan, namun persefahaman dan kesepakatan dalam kalangan anggotanya semakin menipis.
Eropah Tidak Mahu Menanggung Kos Perang Besar
Negara-negara Eropah memahami bahawa keterlibatan militer secara langsung dalam konflik besar boleh menyeret mereka ke dalam konfrontasi yang sukar dikawal, apalagi jika berhadapan dengan Rusia yang memiliki kekuatan nuklear. Oleh yang demikian, pilihan yang selama ini diambil sangat terukur: memberikan bantuan persenjataan, latihan militer, sokongan logistik, bantuan teknikal; tetapi menghindari pembenturan secara langsung. Mereka ingin pihak lawan melemah, tetapi diri sendiri tetap selamat. Mereka ingin hasil politik tercapai, tetapi kos perang tidak sepenuhnya mereka tanggung. Secara ringkasnya: mereka ingin memperoleh keuntungan tanpa jatuh ke jurang bahaya.
Eropah Sendiri Tidak Pernah Benar-Benar Satu
Masalah mendasarnya: Eropah tidak pernah benar-benar menjadi satu suara. Negara-negara Eropah Timur lebih keras kerana merasa ancaman berada dekat di depan mata mereka. Sebaliknya, Eropah Barat jauh lebih berhati-hati kerana dibebani permasalahan ekonomi, sumber tenaga, kestabilan sosial, serta tekanan pendapat awam di peringkat domestik.
Atas sebab itu, walaupun berdiri dalam satu pakatan, langkah mereka sering berbeza irama. Kedudukan geografi, kebergantungan sumber tenaga, kapasiti militer, dan orientasi politik nasional telah membuatkan setiap negara membuat perhitungan sendiri.
Amerika dan Eropah Tidak Lagi Sepenuhnya Sehaluan
Amerika memandang China sebagai pesaing strategik utama dalam jangka panjang. Namun, bagi Eropah, ancaman yang dirasakan paling dekat tetap Rusia. Perbezaan keutamaan ini menjadikan hubungan trans-Atlantik semakin rumit. Amerika mahu semua sekutunya bergerak seiring dalam satu garis strategi global. Sebaliknya, Eropah mahu terus mempunyai ruang untuk mempertahankan kepentingannya sendiri.
Dalam isu Iran, pendirian Eropah juga tidak sepenuhnya sehaluan dengan Amerika. Bagi banyak negara Eropah, Iran bukanlah ancaman langsung kepada NATO. Konflik antara Amerika dan entiti Yahudi dengan Iran lebih dilihat sebagai konflik serantau, bukannya alasan automatik untuk menyeret seluruh pakatan ke dalam penglibatan penuh. Oleh itu, Eropah cenderung mengambil sikap menjaga jarak.
Namun begitu, Amerika sentiasa mempunyai satu pendekatan yang konsisten: meningkatkan kos yang perlu ditanggung oleh mana-mana pihak yang memilih untuk tidak mengikut pendiriannya sepenuhnya.
Kapitalisme: Solidariti Semu, Tekanan Nyata
Apa yang terjadi hari ini sekali lagi menunjukkan watak asli politik Kapitalisme antarabangsa. Mereka bercakap tentang undang-undang antarabangsa, tetapi melanggarnya ketika kepentingan berubah. Mereka bercakap tentang solidariti, tetapi saling menekan ketika biaya semakin membesar. Mereka bercakap tentang keamanan bersama, tetapi tetap mendahulukan keselamatan nasional masing-masing.
Saatnya Dunia Islam Memiliki Kekuatan Politik Sendiri
Di tengah retaknya blok-blok besar dunia, sesungguhnya umat Islam sedang disuguhi pelajaran besar: bahawa bangunan politik Kapitalisme tidak pernah kukuh sebagaimana yang mereka tampakkan. Pakatan-pakatan besar ternyata dibangun di atas kepentingan, bukan kesetiaan. Kesepakatan mereka bertahan selagi keuntungan masih seimbang. Ketika biaya kian membesar, tekanan pun bermula.
Sayangnya, pada saat dunia memperlihatkan retaknya kekuatan internal mereka, kaum Muslim sebaliknya masih tercerai-berai, tanpa kepemimpinan politik yang menyatukan. Padahal Allah SWT telah menegaskan:
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sampai mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (TMQ ar-Ra’du: 11).
Imam Al-Qurtubi menjelaskan bahawa perubahan nikmat atau keadaan tidak akan berlaku sehinggalah manusia mengubah sikap, amal dan orientasi mereka sendiri. Kerana itu perubahan tidak lahir dengan sekadar menunggu. Perubahan lahir daripada kesedaran. Perubahan lahir daripada perjuangan. Perubahan lahir daripada kesungguhan menegakkan syariat Allah dalam kehidupan.
Selagi umat ini tidak memiliki kepemimpinan politik Islam yang hakiki, selagi itulah pula umat akan terus menjadi objek permainan kekuatan dunia. Selagi umat ini tercerai-berai oleh sempadan-sempadan nasionalisme, selagi itulah juga darah kaum Muslim tetap murah, negeri-negeri Islam tetap mudah ditekan dan kehormatan umat tetap diperkotak-katikkan di meja-meja diplomasi global.
Dunia sedang retak. Blok-blok besar sedang saling menekan. Akan tetapi, lebih menyakitkan daripada semua itu adalah ketika umat yang memiliki al-Quran, namun belum bangkit menjadi kekuatan yang disegani. Padahal sejarah telah berkali-kali membuktikan: ketika umat ini bersatu di bawah hukum-hukum Allah, di dalam naungan institusi pemerintahan Islam global (Khilafah), dunia bukan hanya menghormati mereka, bahkan dunia turut segan serta mempertimbangkan dengan sungguh-sungguh terhadap kekuatan umat Islam. Tidak seperti hari ini, ketika umat Islam jauh daripada hukum-hukum Allah SWT. Demikian juga ketika Khilafah yang menaungi mereka tidak ada, maka dunia begitu mudah meremehkan, menghinakan bahkan terus menimpakan berbagai ragam kezaliman terhadap mereka. Pertanyaannya: Sampai bila semua ini akan berakhir?! Sampai bila pula kita akan tetap diam?!
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.
Sumber: ABI-FOCUS/Forum on Contemporary Ummah Studies
#AyuhUmatBangkit #KesedaranUmmah #KebangkitanUmmah #NATO