Keteguhan Iman Sultan Muhammad III
Sultan Muhammad Khan III menduduki kesultanan pada tahun 1003 Hijrah, 12 hari selepas kewafatan ayahnya.
Meskipun kemunduran mula melanda Daulah Uthmaniyyah, panji-panji jihad melawan kaum Salibis tetap berkibar. Antara faktor-faktor kelemahan negara dalam peperangan yang disedari oleh Sultan ialah apabila para Sultan tidak lagi keluar dan memimpin sendiri pasukan mereka. Maka beliau pun akhirnya sertai sendiri medan perang, sebagai panglima tertinggi seluruh pasukan.
Maka apabila beliau sendiri keluar untuk memimpin, semangat keagamaan dan jiwa ketenteraan kembali berkobar di dalam diri pasukan. Mereka berjaya menakluki Arlo (Eger), sebuah kubu kuat yang dahulu gagal ditakluki oleh Sultan Sulaiman pada tahun 1556 Masihi. Beliau juga telah memusnahkan pasukan Hungary dan Austria di Dataran Keresztes berhampiran kubu tersebut pada 26 Oktober 1596 Masihi.
Salah seorang guru daripada Sultan Muhammad III ialah Syeikh Sa’duddin Efendi, dialah yang mendorong Sultan untuk keluar sendiri memimpin pasukan. Dalam salah satu pertempuran, Sultan hampir ditawan setelah para tentera dan pengawal di sekelilingnya melarikan diri.
Di saat kritikal itu, Syeikh Sa’duddin berkata: “Bertahanlah wahai Sultan; kerana sesungguhnya engkau akan menang dengan pertolongan Tuhanmu (Allah), yang telah memberikan kurnia kepadamu dan melimpahkan nikmatNya atasmu.” Maka Sultan pun segera menunggangi kudanya, menghunus pedangnya, dan berdoa dengan penuh ketundukan kepada Al-Qawiyyul ‘Azîz. Belum sampai sejam berlalu, pertolongan dari Allah Al-Wâhidul Qahhâr pun datang.
Pada masa pemerintahannya, negara juga menghadapi pemberontakan dalaman yang sengit, namun Sultan berjaya menumpasnya walaupun dengan kesukaran yang besar.
Selain mempunyai tahap pendidikan, budaya dan kesusasteraan yang tinggi, Sultan ini juga sangat warak dan cenderung ke arah aliran tasawuf. Sultan juga mempunyai kebiasaan, setiap kali mendengar nama Nabi Muhammad SAW disebut, beliau akan segera berdiri tegak sebagai bentuk pengagungan dan penghormatan kepada seorang Pemimpin Segala Makhluk.
Sumber: “Ad-Dawlah al-Utsmāniyyah” – Ali Muhammad ash-Shallabi
#Kepimpinan #Pemimpin #Takwa #KhilafahUthmaniyyah #AkhlakPemimpin