Sa’id bin Zaid, Lelaki Mulia yang Doanya Makbul
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Dari Abdurrahman bin Auf, Rasulullah SAW bersabda, “Abu Bakar di syurga. Umar di syurga. Uthman di syurga. Ali di syurga. Thalhah (bin Ubaidillah) di syurga. Az-Zubair (bin al-Awwam) di syurga. Abdurrahman bin Auf di syurga. Saad (bin Abil Waqqash) di syurga. Sa’id (bin Zaid) di syurga dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah di syurga.” [HR Ahmad dan At-Tirmidzi].
Di antara para sahabat Nabi terdapat seorang tokoh yang keimanan, ketakwaan, kesetiaan, dan keberaniannya menjadi inspirasi kekal bagi umat Islam sepanjang zaman. Beliau ialah Sa’id bin Zaid. Beliau berasal daripada keluarga Quraisy yang terpandang, dilahirkan di Mekah pada tahun 593 Masihi atau 22 tahun sebelum peristiwa hijrah. Beliau menjadi sahabat yang menempuh jalan perjuangan Islam sejak awal dakwah. Kisah beliau menunjukkan iman yang dizahirkan dalam tindakan nyata, bermula daripada keberanian di medan peperangan, kepimpinan dalam pembukaan kota, hinggalah doa yang makbul..
Sa’id bin Zaid merupakan salah seorang daripada sepuluh sahabat Rasulullah SAW yang dijamin masuk syurga. Hal ini sebagaimana yang tercatat dalam hadis Rasulullah SAW. Sa’id bin Zaid memeluk Islam bukan bersendirian, bahkan beliau mengucapkan dua kalimah syahadah bersama isterinya. Beliau juga sentiasa berada di barisan hadapan dalam perjuangan bersama Rasulullah SAW.
Permulaan Keislaman
Ketika Nabi Muhammad SAW menyeru orang ramai untuk memeluk Islam, Sa’id bin Zaid segera menyahut seruan baginda. Beliau menjadi pelopor dalam kalangan orang yang beriman kepada Allah dan membenarkan kerasulan baginda. Tidak menghairankan jika Sa’id begitu cepat menerima seruan Muhammad SAW. Hal ini kerana sesungguhnya beliau dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mencela dan mengingkari kepercayaan serta adat istiadat orang-orang Quraisy yang sesat.
Sa’id dididik oleh seorang ayah bernama Zaid bin Amr bin Nufail yang sepanjang hidupnya gigih mencari agama yang benar. Meskipun hidup pada zaman jahiliah, ayahnya tidak pernah sujud kepada selain Allah. Di tengah kegelapan jahiliah menjelang kewafatannya, ayahnya berkata, “Ya Allah, jika Engkau sememangnya tidak menghendaki kebaikan ini (agama Islam) untukku, janganlah Engkau menghalangi anakku (Sa’id) daripadanya.” Ayahnya yang hanif itu wafat ketika sedang berlari dalam kepayahan mencari agama yang benar. Beliau tidak mengetahui siapa yang harus diikuti kerana pada zaman itu belum ada Rasul yang diutus.
Setelah Sa’id bin Zaid memeluk Islam, beliau disakiti, dianiaya, dan dipaksa oleh kaumnya supaya kembali kepada agama mereka. Akan tetapi, bukan sahaja mereka gagal mengembalikan Sa’id kepada kepercayaan nenek moyang mereka, bahkan Sa’id dan isterinya sanggup menjadi sebab kepada keislaman seorang lelaki Quraisy yang paling unggul, baik dari segi fizikal mahupun intelektualnya. Lelaki itu ialah Umar bin al-Khattab. Sa’id bin Zaid bin Amr bin Nufail mengabdikan seluruh daya dan tenaga mudanya untuk berkhidmat kepada Islam.
Setia Mendampingi Rasulullah SAW
Nama dan nasab lelaki mulia itu ialah Sa’id bin Zaid bin Amr bin Nufail bin Abdul Uzza al-Adawi. Beliau berasal daripada kabilah yang sama dengan Umar bin al-Khattab RA. Beliau termasuk salah seorang as-sâbiqûn al-awwalûn, iaitu orang-orang yang terawal memeluk Islam. Beliau memeluk Islam melalui dakwah Abu Bakar as-Siddiq RA.
Sa’id bin Zaid berkahwin dengan Fatimah binti al-Khattab RA, adik kepada Umar bin al-Khattab. Adapun Umar berkahwin dengan saudara perempuan beliau, iaitu Atikah binti Zaid. Tidak banyak riwayat yang menceritakan tentang Sa’id bin Zaid. Namun yang perlu diketahui tentang sahabat Nabi ini, beliau sentiasa setia kepada Rasulullah SAW. Kesetiaannya dapat dilihat melalui penglibatan aktif dalam peristiwa-peristiwa penting dan peperangan. Beliau merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang hampir tidak pernah terlepas daripada menyertai peperangan menentang musuh. Satu-satunya peperangan besar yang tidak disertainya ialah Perang Badar (624 M/2 H). Pada ketika itu, Rasulullah SAW menugaskannya bersama Talhah bin Ubaidillah untuk menjejaki kafilah dagang Quraisy. Meskipun tidak bertempur secara langsung, beliau tetap menerima bahagian harta rampasan perang. Hal ini menunjukkan bahawa jihad boleh dilakukan melalui peranan strategik selain pertempuran fizikal.
Kemudian Sa’id turut menyertai Perang Uhud (625 M/3 H) dan Perang Yarmuk (636 M/15 H) menentang Rom di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid. Keberanian dan strateginya banyak menentukan kemenangan kaum Muslim. Selain itu, Sa’id juga terlibat dalam pembukaan kota Damsyik (635–636 M/14–15 H), lalu dilantik sebagai wali kota. Hal ini membuktikan kemampuan kepimpinannya di medan peperangan dan dalam urusan pemerintahan.
Seorang Sahabat yang Doanya Makbul
Di antara keutamaan Sa’id bin Zaid ialah beliau memiliki doa yang makbul. Hal ini menunjukkan kedekatannya dengan Allah SWT. Pada suatu hari, seorang wanita bernama Urwa bin Uwais yang hidup pada awal zaman Bani Umayyah telah memfitnah Sa’id. Ketika itu berlaku banjir besar yang menghilangkan tanda sempadan pemilikan tanah. Wanita tersebut menzalimi Sa’id dengan menuduh bahawa Sa’id telah mengambil tanah miliknya. Tuduhan itu disebarkannya kepada masyarakat luas sehingga sampai ke pengetahuan gabenor Madinah, Marwan bin al-Hakam. Kemudian Marwan menghantar beberapa utusan untuk menyelesaikan pertikaian tanah antara Sa’id dan Urwa.
Sa’id yang pada awalnya hanya berdiam diri, mula bersuara kerana tidak tahan dengan tuduhan wanita tersebut. Beliau berkata, “Ramai orang menuduhku telah menzalimi Urwa binti Uwais. Bagaimana mungkin aku menzaliminya, sedangkan aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka pada Hari Kiamat dia akan dikalungkan (dengan tanah tersebut) dari tujuh lapis bumi.’
Kemudian Sa’id pun berdoa kepada Allah, “Ya Allah, wanita tersebut telah menuduhku menzaliminya. Jika dia telah berbohong atas tuduhannya itu, butakanlah matanya. Jatuhkanlah dia ke dalam sumurnya yang dia pertikaikan kepadaku. Tampakkanlah kebenaranku sebagai cahaya kepada kaum Muslimin bahawa aku tidak menzaliminya.”
Tidak lama kemudian, ternyata doa Sa’id bin Zaid dimakbulkan oleh Allah SWT. Kedua-dua mata Urwa bin Uwais menjadi buta. Sa’id pun menceritakan bahawa beliau melihat Urwa bin Uwais meraba-raba dinding kerana kebutaan. Wanita itu berkata, “Aku terkena doa keburukan yang diucapkan oleh Sa’id.” Ketika sedang berjalan di dalam rumahnya, wanita itu melalui tepi sebuah perigi, lalu terjatuh ke dalamnya. Akhirnya perigi itu menjadi tempat peristirahatan terakhirnya.
Pelajaran Berharga
Daripada kehidupan seorang sahabat yang mulia, Sa’id bin Zaid, kita dapat mengambil banyak pengajaran yang berharga tentang keimanan, keteguhan, dan tawakal beliau kepada Allah SWT. Meskipun tidak terkenal seperti para sahabat yang lain, keutamaan Sa’id terletak pada kesederhanaan dan kesetiaannya dalam membela Islam sejak awal. Kesetiaannya dalam mendampingi Rasulullah SAW dalam pelbagai kesempatan menunjukkan kecintaan Sa’id kepada insan yang paling dicintai, iaitu manusia yang paling mulia.
Kecintaan Sa’id kepada Allah dan RasulNya bukan sahaja menjadikan beliau seorang yang gagah berani di medan peperangan. Bahkan, beliau adalah seorang yang dekat dengan Allah SWT sehingga doanya mudah dimakbulkan olehNya, seolah-olah tiada penghalang. Kisah doanya terhadap wanita yang memfitnahnya mengajarkan bahawa kezaliman akan kembali kepada pelakunya dan orang yang dizalimi sentiasa dilindungi oleh Allah SWT.
Seorang ulama besar, Imam Nawawi, mengulas kisah Sa’id bin Zaid sebagaimana yang dipetik daripada tulisan Sayyid Uthwah. Beliau menyebut Sa’id bin Zaid sebagai seorang yang memiliki manqabah (keutamaan) berupa doa yang dimakbulkan. Beliau menambah bahawa mendoakan keburukan dibolehkan jika ditujukan kepada orang yang berbuat zalim dan menghina pemilik kemuliaan.
Demikianlah kisah inspirasi daripada seorang sahabat Rasulullah SAW yang dipercayai, iaitu Sa’id bin Zaid bin Amr bin Nufail. Meskipun kurang dikenali berbanding Umar, Uthman atau Ali, namun beliau tidak kurang utamanya di sisi Allah dan RasulNya. Sa’id ialah seorang sahabat yang mulia yang hidup dalam kesederhanaan, tetapi dijamin masuk syurga. Ini kerana keimanannya yang tulus, pembelaannya terhadap Islam, keteguhannya menjaga kebenaran, dan yang paling istimewa, doanya sentiasa dimakbulkan oleh Allah SWT.
Kisah ringkas Sa’id bin Zaid ini juga membuktikan besarnya kekuatan “jalur langit”, iaitu doa. Hendaklah kita semua mengambil pengajaran agar sentiasa menjadikan Allah sebagai sandaran hidup, serta sentiasa menyertakan doa dalam setiap langkah kita, baik dalam keadaan susah mahupun senang. Wallahu a‘lam bissawab.
#DoaSenjataMukmin #TokohInspirasi #Sahabat