SISTEM PERGAULAN ROSAK: AWAL KEHANCURAN MASYARAKAT
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
SUNGGUH memprihatinkan. Hari demi hari masyarakat disajikan berita yang menjijikkan sekaligus menyedihkan. Ada segelintir ikon agama yang menjadi pemangsa seksual. Ada segelintir syeikh yang terjerumus dalam penyelewengan seksual. Ada ustaz tertangkap berzina. Bahkan tidak sedikit aktivis dakwah yang mula terbiasa `haha-hihi’ dengan lawan jenis, bergurau-senda tanpa batas, bergambar mesra, bercampur-baur tanpa rasa malu, lalu menganggap semua itu “biasa saja”.
Padahal kehancuran besar sering bermula daripada sesuatu yang mula-mula dianggap kecil. Awalnya hanya chat ringan. Awalnya hanya bergurau-senda. Awalnya hanya rapat berdua. Pada mulanya hanya saling meluahkan perasaan. Pada mulanya hanya bergambar bersama. Pada mulanya hanya ‘teman berbincang tentang dakwah’
Akan tetapi, syaitan tidak pernah tidur. Sebab itu Islam tidak hanya mengharamkan zina. Islam bahkan menutup seluruh pintu menuju zina. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
“Janganlah kalian mendekati zina. Sungguh zina itu adalah perbuatan keji dan jalan yang buruk.” (TMQ al-Isra’: 32).
Perhatikan. Allah SWT tidak sekadar berfirman, “Jangan berzina.” Akan tetapi, “Jangan mendekati zina.” Maksudnya, seluruh jalan menuju zina wajib ditutup.
Sistem Pergaulan Liberal: Racun Peradaban
Hari ini banyak orang hanya sibuk mengecam pelaku, tetapi enggan membongkar akar masalahnya. Padahal akar masalahnya sangat jelas: rosaknya sistem pergaulan. Kapitalisme-sekularisme telah menjadikan interaksi bebas antara lelaki dan perempuan sebagai sesuatu yang normal. Ikhtilath dianggap lumrah. Khalwat dianggap biasa. Tabarruj dipromosikan sebagai gaya hidup. Aurat dipertontonkan atas nama kemodenan. Hubungan tanpa batas dibungkus dengan istilah ‘profesional’, ‘mesra’, ‘pergaulan terbuka’, ‘kolaboratif’, malah ‘ukhuwah’.
Akibatnya? Syahwat dilepas tanpa kawalan. Rasa malu dicabut perlahan-lahan. Hati menjadi kotor. Lalu lahirlah berbagai penyimpangan. Benarlah sabda Rasulullah SAW:
مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ
“Aku tidak meninggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi lelaki setelahku daripada fitnah perempuan.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Baginda turut bersabda:
فاتقوا الدنيا واتقوا النساء، فإن أول فتنة بني إسرائيل كانت في النساء.
“Takutlah terhadap fitnah dunia dan kaum wanita. Sungguh fitnah pertama yang menimpa Bani Israil adalah kaum wanita.” (HR Muslim).
Oleh yang demikian, Islam datang bukan sekadar memberi nasihat moral, tetapi membangun sistem sosial yang menjaga manusia daripada kerosakan.
Islam Menutup Pintu Kerosakan Sejak Awal
- Islam mengharamkan khalwat. Rasulullah SAW bersabda:لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ الشَّيْطَانُ ثَالِثَهُمَا
“Tidaklah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang perempuan kecuali syaitan menjadi yang ketiganya”. (HR at-Tirmidzi).
- Islam juga memerintahkan lelaki dan perempuan menjaga pandangan:قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ
“Katakanlah kepada lelaki mukmin agar mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka.” (TMQ an-Nur: 30).Demikian juga kepada kaum perempuan:
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ
“Katakanlah kepada perempuan Mukmin agar mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka.” (TMQ an-Nur: 31).
- Islam juga melarang tabarruj:وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ
“Janganlah kalian bertabarruj sebagaimana tabarruj Jahiliah dulu.” (TMQ al-Ahzab: 33).Tabarruj bukan sekadar membuka aurat. Segala bentuk menampakkan kecantikan dan membangkitkan syahwat di hadapan lelaki asing termasuk tabarruj. Imam Mujahid berkata bahawa tabarruj adalah seorang wanita yang keluar lalu berjalan (dengan menampakkan perhiasannya/kecantikannya, pen.) di hadapan lelaki (Ath-Tabari, Jaami’ al-Bayaan fii Ta’wiil al-Qur’aan, 19/158).
Jangan Merasa Aman daripada Fitnah
Yang lebih berbahaya adalah ketika orang merasa dirinya aman daripada fitnah. Merasa dirinya ustaz/ustazah. Merasa dirinya aktivis senior. Merasa dirinya hafal al-Quran. Merasa dirinya sudah lama berdakwah.
Padahal syahwat boleh menghancurkan sesiapa saja.
Oleh sebab itu para salaf sangat takut terhadap fitnah perempuan. Sa’id bin al-Musayyib, misalnya. Walaupun beliau sudah tua dan salah satu matanya buta, beliau tetap berkata, “Aku tidak merasa aman atas diriku daripada fitnah perempuan.” (Adz-Dzahabi, Siyar A’lam al-Nubalaa’, 4/217).
Lihatlah. Ulama salaf pun takut pada fitnah. Sebaliknya, hari ini sebahagian orang malah menikmati suasana fitnah.
Aktivis Dakwah Pun Tidak Terkecuali Boleh Tergelincir
Oleh yang demikian, jangan pernah meremehkan perkara pergaulan. Ada aktivis yang awalnya hanya sering bergurau-senda dengan akhwat. Lalu mula merasa selesa chatting peribadi. Mula saling meluahkan. Mula sering video call. Mula saling berkirim gambar. Mula merasa “serasi”. Lalu terjadilah khalwat. Kemudian terjadilah zina.
Semua itu jarang terjadi secara tiba-tiba. Hampir selalu berlaku secara bertahap. Syaitan sangat sabar menghancurkan manusia. Imam Ibnul Qayyim menyatakan bahawa pandangan adalah pangkal kebanyakan musibah yang menimpa manusia (Ibnu al-Qayyim, Al-Jawaab al-Kaafi, hlm. 125).
Oleh itu, budaya bergurau-senda bebas antara lelaki dan perempuan bukan perkara ringan. Demikian juga budaya bergambar bersama-sama tanpa rasa malu, bercampur-baur tanpa batas, saling bersentuhan, saling menggoda, atau membuat konten-konten murahan demi populariti. Semua itu adalah racun.
Rosaknya Sistem Pergaulan = Rosaknya Tatanan Sosial
Islam memahami bahawa rosaknya hubungan lelaki dan perempuan akan menghancurkan masyarakat secara keseluruhan. Ketika zina merebak, nasab rosak. Ketika aurat dibuka, syahwat liar. Ketika khalwat dianggap biasa, kecurangan pun meningkat. Ketika tabarruj dipromosikan, keluarga hancur. Ketika ikhtilat tanpa peraturan dijadikan budaya, maka kehormatan masyarakat runtuh.
Oleh itu Islam mewajibkan adanya sistem sosial Islam yang menjaga kemuliaan manusia. Bukan sekadar ceramah moral. Sistem Islam menjaga: aurat; interaksi lelaki dan perempuan; pendidikan berasaskan takwa; media yang tidak merosak moral; hukuman tegas bagi pelaku zina; budaya malu; serta masyarakat yang aktif beramar makruf nahi mungkar.
Sebaliknya Kapitalisme-liberalisme telah menjadikan tubuh perempuan sebagai komoditi. Industri hiburan dibangun di atas syahwat. Media sosial dipenuhi eksploitasi aurat. Bahkan banyak orang mencari populariti dengan menjual sensualiti.
Lalu masyarakat pura-pura hairan ketika kes zina, pelecehan seksual, LGBT, kecurangan, dan predator seksual terus meningkat.
Jangan Hanya Mengutuk Pelaku. Bongkar Sistemnya!
Sudah tentu pelaku maksiat mesti dihukum. Akan tetapi, sekadar mengutuk pelaku kemudian berhenti tanpa membongkar sistem rosak yang melahirkan mereka, adalah kebodohan. Selagi sistem pergaulan liberal tetap dipertahankan, kerosakan akan terus berulang. Hari ini mungkin seorang bergelar ustaz. Esok seorang pegawai. Esok lagi seorang guru. Lalu aktivis. Kemudian mahasiswa. Seterusnya anak-anak muda. (Nauzubillah) Semua ini boleh berlaku disebabkan sumber racunnya masih mengalir. Itulah sistem sekular.
Allah SWT benar-benar menginginkan masyarakat yang bersih. Oleh itu, Islam tidak sekadar mengubati akibat, tetapi memutus akar kerosakan.
Sudah masanya kaum Muslim kembali serius menjaga hukum-hakam pergaulan dalam Islam. Bukan malah mencemuh hukum-hakam Islam sebagai “kolot”, “kaku”, atau “tidak relevan”. Sebaliknya, di situlah terletaknya kemuliaan Islam.
Sesungguhnya, ketika hukum-hakam itu ditinggalkan, masyarakat perlahan-lahan berubah menjadi rimba syahwat yang menjijikkan.
WalLaahu a’lam bi ash-shawaab.
#SistemPergaulan #DemokrasiSistemRosak #BahayaSekularisme #BahayaLiberalisme #PergaulanDalamIslam #HindariMaksiat #JauhiZina