HIJRAH ATAU TERUS TERJAJAH
(Catatan Tahun Baru 1 Muharram 1448 H tentang Kebangkitan dan Perubahan Menyeluruh)
Oleh: Joko Prasetyo
Umat Islam berjumlah kira-kira dua bilion orang. Negeri-negeri Muslim terbentang luas dari Asia hingga ke Afrika. Sumber alamnya pula sangat melimpah-ruah. Sejarahnya juga pernah melahirkan tamadun hebat yang memimpin dunia selama berabad-abad.
Namun, mengapakah umat ini kini sebaliknya menjadi antara golongan yang paling kerap menjadi mangsa konflik, eksploitasi dan campur tangan asing?
Mengapakah banyak negeri Muslim kaya dengan sumber alam, tetapi rakyatnya hidup dalam kesusahan?
Mengapakah umat yang memiliki Al-Quran sebagai petunjuk hidup ini sebaliknya diatur oleh sistem yang lahir daripada pemikiran manusia?
Persoalan-persoalan ini amat wajar direnungkan apabila Muharram kembali menjelma dan umat Islam mengenang peristiwa hijrah Rasulullah SAW.
Hal ini kerana hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal dari Mekah ke Madinah. Hijrah ialah perpindahan daripada jahiliah kepada Islam. Daripada aturan manusia kepada hukum Allah. Daripada keterpurukan kepada kebangkitan.
Oleh itu, persoalan tentang hijrah sebenarnya masih hidup sehinggalah ke hari ini:
Adakah umat ini akan berhijrah menuju Islam secara kaffah (syumul/menyeluruh), atau terus bertahan dalam pelbagai bentuk penjajahan yang lahir daripada sistem jahiliah?
Makna Hijrah
Ramai orang memahami hijrah sebagai perubahan peribadi. Sedangkan hijrah Rasulullah SAW jauh lebih besar daripada itu.
Semasa Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, yang berpindah bukan hanya individu-individu Muslim, yang berpindah adalah pusat kehidupan umat. Daripada masyarakat yang diatur oleh jahiliah, menuju masyarakat yang diatur oleh syariat Islam.
Oleh kerana itu, hijrah bukan sekadar meninggalkan dosa. Hijrah juga bermaksud meninggalkan aturan yang bertentangan dengan Islam menuju aturan yang bersumber daripada wahyu Allah SWT.
Jahiliah Moden
Jahiliah bukan sekadar nama sebuah zaman. Jahiliah adalah keadaan yang mana manusia menolak petunjuk Allah dan tidak menjadikan wahyu sebagai dasar kehidupan. Oleh sebab itu, jahiliah boleh muncul dalam pelbagai bentuk pada setiap masa termasuk pada era moden ini.
Hari ini manusia hidup di tengah kemajuan teknologi yang luar biasa. Namun begitu perang terus berlaku. Kesenjangan ekonomi semakin melebar, manakala krisis moral pula kian meluas sehingga menjejaskan institusi kekeluargaan. Malah, pelbagai bentuk penyelewengan kini dipromosikan atas nama kebebasan.
Banyak negeri Muslim, rakyat terbeban dengan masalah ekonomi, sementara itu kekayaan alam yang melimpah tidak digunakan sepenuhnya untuk kemaslahatan umat.
Hal ini bukan sekadar kegagalan individu atau kesilapan dasar yang bersifat sementara. Akar umbi kepada kemelut ini adalah lebih mendasar, iaitu apabila manusia mengambil alih hak Allah SWT dalam menentukan syariat dan sistem kehidupan.
Punca Utama Kejatuhan Umat
Apabila halal dan haram ditentukan oleh kepentingan politik, pasaran, atau suara majoriti, maka wahyu tidak lagi menjadi rujukan utama.
Di sinilah sekularisme bekerja. Agama hanya sekadar di masjid, sementara kehidupan diatur oleh ideologi buatan manusia. Kesannya, umat terus disibukkan dengan implikasi yang timbul, namun jarang menyentuh akar umbi kepada masalah tersebut.
Mereka merungut tentang ketidakadilan ekonomi, namun tetap mempertahankan sistem yang melahirkannya. Mereka mengeluh tentang kerosakan moral, tetapi membiarkan piawaian moral ditentukan oleh manusia. Mereka meratapi perpecahan, namun terus mempertahankan sistem yang memecah-belahkan umat.
Bermulanya Kebangkitan
Tiada kebangkitan tanpa perubahan, tiada perubahan tanpa hijrah.
Umat Islam pernah memimpin dunia bukan kerana jumlah atau kekayaan semata. Umat bangkit kerana Islam dijadikan asas kehidupan.
Daripada akidah Islam lahir cara pandang yang benar tentang manusia, kehidupan, dan tujuan hidup. Daripada akidah yang sama lahir sistem kehidupan yang melahirkan keadilan dan kemuliaan.
Oleh sebab itu, kebangkitan umat tidak mungkin dibangun atas dasar kapitalisme, sekularisme, nasionalisme, atau ideologi lainnya, tetapi asas kebangkitan umat adalah Islam.
Hijrah Kaffah
Masalah umat bukan hanya berlaku kepada individu. Oleh kerana itu, solusi Islam juga tidak boleh terbatas kepada individu.
Islam bukan hanya mengatur ibadah, tetapi juga ekonomi, pergaulan, pendidikan, politik, undang-undang, dan kehidupan masyarakat.
Maka, hijrah yang diperlukan bukan hanya hijrah peribadi, tetapi hijrah kehidupan. Hijrah individu berarti memperbaiki akidah dan amal. Hijrah masyarakat berarti menjadikan nilai-nilai Islam sebagai standard kehidupan. Hijrah politik berarti menjadikan syariat Islam sebagai rujukan dalam pengaturan urusan masyarakat umum.
Ringkasnya, jika masalahnya menyeluruh, maka hijrahnya pun mesti menyeluruh.
Jalan Perubahan
Islam bukan sahaja menjelaskan tujuan, tetapi juga menjelaskan bagaimana cara untuk mencapainya.
Rasulullah SAW tidak mengubah masyarakat jahiliah hanya dengan nasihat untuk akhlak semata. Rasulullah SAW membina umat dengan akidah Islam, melakukan pergolakan pemikiran terhadap jahiliah, membina pendapat umum yang mendukung Islam, lalu menegakkan pemerintahan Islam di Madinah sehingga syariat dapat diterapkan secara kaffah.
Inilah thariqah (kaedah baku) yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Oleh sebab itu, pembahasan tentang penerapan syariat secara menyeluruh tidak dapat dipisahkan daripada institusi yang menerapkannya.
Dalam khazanah politik Islam, institusi itu dikenal sebagai Khilafah ‘ala Minhajin Nubuwwah, iaitu kepemimpinan umum bagi kaum Muslim sedunia untuk menerapkan syariat Islam dan mengurus urusan umat berdasarkan hukum Allah SWT.
Syariat memerlukan institusi yang menerapkannya. Kesatuan umat memerlukan kepemimpinan. Hukum Allah memerlukan kekuasaan yang menegakkannya.
Hari Kebangkitan dan Akhirat
Namun hijrah bukan hanya urusan dunia. Setiap manusia akan berdiri di hadapan Allah SWT pada Hari Kebangkitan. Kekayaan akan ditanya. Jawatan akan ditanya. Kekuasaan akan ditanya. Setiap Muslim akan ditanya tentang bagaiman sikapnya terhadap perintah dan larangan Allah SWT.
Maka, hijrah bukan sekadar pilihan gaya hidup. Hijrah adalah kewajipan syar’i. Hijrah bukan hanya keperluan peribadi. Hijrah adalah keperluan umat. Hijrah bukan hanya jalan menuju perubahan di dunia. Hijrah juga merupakan jalan menuju keselamatan di akhirat.
Syurga disediakan bagi mereka yang beriman dan taat kepada Allah SWT. Sedangkan neraka menjadi peringatan bagi mereka yang berpaling daripada petunjuk-Nya.
Muharram mengingatkan kita bahawa perubahan besar selalu dimulai dengan keberanian meninggalkan jahiliah dan kembali kepada Islam.
Maka pertanyaannya bukan lagi adakah umat memerlukan hijrah. Pertanyaannya adalah:
Sampai bilakah umat mahu terus mengeluh tentang kesan jahiliah, namun pada masa yang sama enggan meninggalkan jahiliah itu sendiri?
Sampai bilakah umat mendambakan kebangkitan, tetapi masih tetap bertahan dengan sistem yang menjadi punca utama kemunduran?
Hijrah atau terus terjajah!
#Hijrah #MuhasabahMuharram #IslamKaffah