Pemimpin yang Wafat Tidak Lagi Mengawasi, Sebaliknya Akan Dihisab
Oleh: Aliya Ab Aziz
Jurnalis, Joko Prasetyo, menyatakan pemimpin yang wafat tidak lagi akan mengawasi sebaliknya akan dihisab.
“Tidak ada manusia yang setelah wafat tetap mengawal pemerintahan dunia selepas kematiannya. Yang ada adalah alam kubur, hisab, dan pertanggungjawaban atas seluruh amanah yang pernah mereka pegang sepanjang hidup,” tegasnya dalam penulisannya di laman Facebook beliau pada 13/6/ 2026 (Rabu).
Joko yang merespons tindakan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto —yang secara berseloroh berkata dia akan tetap mengawasi perjalanan bangsa Indonesia meskipun telah dipanggil Tuhan, —berkomentar bahawa persoalan utama bagi seorang pemimpin bukanlah sama ada dia terus dikenang atau memantau perjalanan negara selepas kematian, tetapi sama ada amal dan tanggungjawabnya dapat dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.
“Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dimintai pertanggungjawaban atas yang dipimpinnya,” tegasnya dengan memetik hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Joko berulang kali memperingatkan bahawa tidak ada sesuatu pun yang luput dari hisab Allah.
Katanya, “Pada hari kiamat kelak tidak ada jawatan, protokol, pengawal, imej, mahupun kekuatan politik yang dapat menyelamatkan seseorang daripada pertanyaan Allah SWT.”
“Islam tidak pernah mengajarkan kultus individu” sambungnya.
Menurutnya lagi, kelangsungan sesebuah masyarakat tidak sepatutnya disandarkan kepada individu tertentu kerana setiap manusia pada akhirnya akan meninggalkan dunia.
“Islam tidak menggantungkan pengawasan pada satu orang. Disitulah letaknya perbezaan mendasar antara Islam dan kebanyakan sistem politik hari ini,” katanya.
Tambahnya lagi, pengawasan dalam Islam tidak bergantung kepada individu tertentu, sebaliknya disokong oleh sistem yang terus berfungsi walaupun berlaku pertukaran kepimpinan.
TIGA DASAR PENGAWASAN DALAM ISLAM
Seterusnya, Joko mengungkapkan, “Ada tiga dasar pengawasan dalam Islam.”
- Pertama, individu yang bertakwa yang sentiasa merasakan dirinya diawasi Allah SWT.
“Inilah pengawasan paling kuat. Bukan kamera. Bukan algoritma. Bukan atasan. Melainkan keyakinan bahawa Allah SWT Maha Melihat segala sesuatu,” tekannya.
- Kedua, kawalan daripada masyarakat dengan melaksanakan amar makruf nahi mungkar.
Katanya, “Umat tidak sekadar berhak, tetapi wajib melakukan 𝑚𝑢ℎ𝑎𝑠𝑎𝑏𝑎ℎ 𝑙𝑖𝑙 ℎ𝑢𝑘𝑘𝑎𝑚, iaitu membetulkan, menasihati, dan mengawasi para penguasa ketika berlaku penyimpangan daripada syariat mahupun kezaliman terhadap rakyat.”
- Ketiga, peranan negara menerapkan syariat secara menyeluruh.
Katanya, “Khilafah tidak sekadar menjadi penonton yang menunggu masyarakat berbuat baik (secara) sendiri. Negara menerapkan syariat Islam secara kaffah. Negara mendidik rakyat dengan Islam agar bertakwa.”
Joko kemudian menegaskan bahawa ukuran kejayaan seorang pemimpin dalam Islam bukan terletak pada sejauh mana namanya terus dikenang selepas kematian, tetapi pada keadilan, amanah dan amal yang ditinggalkan untuk dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.
“Yang paling penting adalah apa yang dia tinggalkan di hadapan Allah SWT. Adakah dia meninggalkan keadilan atau kezaliman. Adakah dia meninggalkan syariat atau sekadar slogan. Adakah dia menjaga amanah umat atau sebaliknya menyia-nyiakannya,” tutupnya. []
#Kepimpinan #PertanggungjawabAkhirat