AI Tidak Pernah Neutral (Bahagian 1/2)
Oleh : Joko Prasetyo (Jurnalis)
Kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) kini berkembang sangat cepat dan mula mengubah hampir seluruh aspek kehidupan manusia: pendidikan, media massa, ekonomi, militer, keselamatan, industri, hingga media sosial yang setiap hari membentuk pendapat umum.
Banyak orang menganggap AI hanyalah alat teknologi yang neutral. Padahal teknologi tidak pernah benar-benar bebas nilai. Di sebalik algoritma dan sistem kecerdasan buatan, selalu ada kepentingan, cara pandang, dan pihak yang mengendalikan arah penggunaannya.
Oleh kerana itu, membicarakan tentang AI tidak cukup hanya tentang kecanggihan teknologi, tetapi juga menyangkut pertarungan pengaruh, dominasi maklumat, dan arah peradaban manusia di masa depan.
Teknologi adalah Kekuatan
Di era moden, kekuatan tidak lagi hanya diukur daripada kereta kebal, peluru berpandu, atau kapal perang. Penguasaan data, perisian, cip, rangkaian maklumat dan AI kini merupakan bahagian penting dalam kekuatan strategik sesebuah negara.
Dalam kitab Dairat Tiknulujiya al-Ma’lumat wa al-Ittishalat (Direktorat Teknologi Maklumat dan Komunikasi) karya Hizbut Tahrir tahun 2026 dijelaskan, teknologi maklumat telah menjadi tulang belakang perang moden dan sangat menentukan kekuatan suatu negara.
Tanpa penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi, persenjataan canggih boleh hilang keberkesanannya dan bertukar menjadi “besi buruk” di medan perang.
Oleh kerana itu, negara-negara besar hari ini bersaing untuk membangunkan AI, industri cip, keselamatan siber, satelit, sistem komunikasi dan pusat data mereka sendiri.
Peperangan moden bukan lagi hanya berlaku di darat, laut dan udara, tetapi juga di ruang siber, rangkaian komunikasi, satelit, pusat data dan sistem kecerdasan buatan.
Masalahnya, sebahagian besar teknologi AI dunia pada hari ini dikuasai korporat raksasa dan negara-negara kuasa besar Barat. Mereka menguasai server, algoritma, platform digital, data pengguna, hinggalah infrastruktur maklumat global.
Akibatnya, banyak negara membangun hanya menjadi pasaran, pengguna dan objek pengumpulan data untuk kuasa digital global.
Algoritma Membentuk Cara Berfikir
AI dan algoritma tidak hanya mempengaruhi apa yang dilihat manusia, tetapi juga membentuk cara berfikir, selera, perhatian, bahkan pandangan masyarakat.
Media sosial, berita, dan pendapat umum hari ini banyak diarahkan oleh algoritma yang tidak difahami masyarakat.
Di sinilah AI menjadi berbahaya ketika digunakan tanpa kawalan nilai dan moral. Teknologi dapat dipakai untuk propaganda, manipulasi pendapat umum, sensor terselubung, perang maklumat, sehinggalah pembentukan gaya hidup tertentu secara besar-besaran.
Oleh itu, AI tidak pernah benar-benar neutral. Teknologi selalu mengikuti kepentingan pihak yang membuat dan mengendalikannya.
Kebergantungan Digital
Ketika umat Islam hanya menjadi pengguna teknologi asing tanpa menguasai industrinya, maka umat akan perlahan berada dalam pengaruh dan kawalan pihak yang membuat teknologi tersebut.
Kebergantungan digital bukan sekadar memakai aplikasi luar negeri, tetapi juga menyangkut penguasaan data, keselamatan maklumat, sistem komunikasi, dan arah pendapat umum (public opinion).
Kerana itu, negara yang tidak mandiri dalam teknologi akan mudah ditekan, dipantau, dipengaruhi, bahkan dikawal oleh kekuatan asing.
Allah SWT berfirman:
“Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang mukmin” (TMQ an-Nisa [4]: 141).
Ayat ini menunjukkan: Islam melarang kaum Muslim membuka jalan dominasi musuh ke atas umat, termasuk dalam bidang teknologi dan maklumat.
Dalam kitab Al-Ahkam ash-Shulthaniyyah karya Imam al-Mawardi dijelaskan, penguasa wajib menjaga kekuatan dan keselamatan umat daripada ancaman pihak yang memusuhi kaum Muslim.
Hari ini ancaman itu tidak lagi hanya berupa campur tangan militer, tetapi juga dominasi teknologi, perang siber, manipulasi maklumat, dan penguasaan digital global.
(Bersambung ke bahagian 2)
#PerangDigital #PerangTeknologi #AI #CelikTeknologi #SainsTeknologi