Di Sebalik Baiat Aqabah: Sumbangan Muslimah dalam Membuka Jalan Hijrah
Penulis: Farisha Aris
Peristiwa Baiat Aqabah memiliki kedudukan yang amat signifikan dalam perjalanan dakwah Rasulullah SAW. Peristiwa ini merupakan titik tolak utama yang merintis jalan kepada penghijrahan Baginda ke Madinah. Dalam catatan sirah, terdapat dua siri Baiat Aqabah yang berlaku di Mekah, iaitu Baiat Aqabah Pertama (621 M) dan Baiat Aqabah Kedua (622 M), yang masing-masing berlaku pada tahun ke-12 dan ke-13 pasca kenabian.
Baiat Aqabah Pertama dan Kedua
Memasuki tahun ke-11 kenabian, dakwah Islam di Mekah berhadapan dengan fasa statik. Penentangan keras dan permusuhan daripada kaum kafir Quraisy telah membantutkan perkembangan Islam di sana. Menyedari situasi ini, Rasulullah SAW mula mencari nusyrah (pertolongan) dengan mendatangi para ketua kabilah di luar Mekah.
Walaupun sering kali ditolak dengan penghinaan, Baginda tidak pernah berputus asa. Pada musim haji pada tahun ke-11 kenabian, Baginda terus mendatangi kabilah-kabilah, walaupun terpaksa berhadapan dengan fitnah jahat yang disebarkan oleh kafir Quraisy. Sinar harapan mula terpancar apabila satu rombongan haji dari Madinah memberikan respons positif terhadap dakwah Baginda.
Rentetan daripada pertemuan awal itu, pada musim haji tahun berikutnya (tahun ke-12 kenabian), seramai 12 orang tokoh dari Madinah datang menemui Rasulullah SAW. Di sinilah termeterainya Baiat Aqabah Pertama, satu sumpah setia untuk meneguhkan keislaman mereka. Antara isi kandungan baiat tersebut termasuklah janji untuk tidak menyekutukan Allah, tidak mencuri, tidak berzina, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak, tidak melakukan fitnah, dan tidak akan melakukan kemaksiatan.
Setelah Baiat Aqabah Pertama selesai, Rasulullah SAW mengutus Mus’ab bin Umair ke Madinah sebagai duta Islam. Tugas beliau adalah untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh penduduk Madinah. Hasil ketabahan Mus’ab, Islam mula tersebar luas sehingga satu demi satu penduduk Madinah termasuk tokoh-tokoh pentingnya memeluk Islam.
Dalam tempoh kurang setahun, Mus’ab bukan sahaja berjaya menyebarkan syiar Islam, malah beliau berjaya mempersiapkan prasyarat bagi tegaknya sistem kehidupan Islam. Beliau menyusun sokongan daripada golongan ahlul quwwah atau ahlun nushrah (pemilik kekuatan dan pembela) yang bersedia menyerahkan kekuasaan mereka kepada Rasulullah SAW.
Pada tahun ke-13 kenabian (622 M), Mus’ab kembali ke Mekah membawa khabar gembira mengenai perkembangan pesat Islam di Madinah. Beliau memaklumkan bahawa pada tahun tersebut, sekumpulan umat Islam yang memiliki keimanan yang kental dan kesediaan tinggi untuk mendakwahkan dan mempertahankan agama Allah akan datang menemui Baginda.
Berita ini memberikan harapan besar kepada Rasulullah SAW untuk menjadikan Madinah sebagai tapak hijrah. Namun, Baginda perlu memastikan sejauh mana kesanggupan mereka untuk melindungi dakwah dan berkorban di jalan Islam. Oleh itu, dirancang Baiat Aqabah Kedua yang juga merupakan Baiat Perang yang menjadi asas kepada penubuhan Negara Islam.
Peristiwa bersejarah ini dihadiri oleh 75 orang Muslim dari Madinah, yang terdiri daripada 73 lelaki dan dua orang wanita, iaitu Nusaibah binti Ka’ab (Ummi ‘Imarah) dari Bani Mazin bin an-Najjar, dan Asma’ binti ‘Amru bin ‘Adiy dari Bani Salamah.
Baiat Aqabah Kedua merupakan petanda jelas peralihan fasa dakwah daripada interaksi dengan umat (marhalah tafa’ul) menuju fasa penegakan sistem Islam (nuqtah irtikaz). Melalui baiat ini, Rasulullah SAW secara rasmi diiktiraf sebagai pemimpin negara Islam Madinah, sekali gus membuka pintu hijrah bagi kaum Muslimin dari Mekah
Manifestasi Peranan Strategik Muslimah dalam Perjuangan dan Pembinaan Masyarakat
Penyertaan Nusaibah binti Ka’ab dan Asma’ binti ‘Amru membuktikan bahawa peranan kaum Ansar dalam perjuangan ini tidak terhad kepada kaum lelaki sahaja. Kehadiran mereka sebagai wakil wanita Ansar dalam baiat yang penuh risiko ini membawa mesej politik yang sangat kuat. Mereka bukan sekadar pemerhati, tetapi turut berikrar setia untuk melindungi Rasulullah SAW. Keberanian Nusaibah khususnya, kemudian terbukti dalam pelbagai medan perang demi mempertahankan Baginda. Penglibatan aktif kedua-dua tokoh ini dalam politik dan pertahanan Islam sejak awal menunjukkan bahawa Muslimah memiliki kedudukan yang strategik dalam perjuangan membela agama.
Prinsip penglibatan aktif ini melangkaui sempadan sejarah, di mana Islam telah menggariskan peranan Muslimah dengan sangat mulia. Walaupun peranan utama wanita adalah sebagai ibu dan pengurus rumah tangga (rabbal bait), tanggungjawab mereka tidak terhenti di situ sahaja. Dalam kerangka membina tamadun, Muslimah berhak mendapat pendidikan yang sempurna agar dapat menyumbangkan kepakaran demi kemaslahatan umat. Wanita adalah pendidik generasi; mereka bertanggungjawab membentuk syakhsiyyah (keperibadian) Islam dalam diri anak-anak bagi melahirkan generasi yang bakal memimpin masyarakat pada masa hadapan.
Khatimah
Dalam usaha membina semula kegemilangan Islam, Muslimah perlu terlibat aktif dalam agenda amar makruf nahi mungkar. Ini termasuklah mendidik umat serta mengambil peduli terhadap isu-isu yang melanda dunia Islam.
Seiring dengan kebangkitan kesedaran politik Muslim di peringkat global, suara dan sumbangan Muslimah dalam ruang ini tidak seharusnya dikesampingkan. Tanggungjawab ini perlu dipikul dengan penuh kesungguhan sebagai bentuk ketaatan kepada perintah Allah SWT. Sudah tiba masanya Muslimah bangkit mengajak masyarakat kembali kepada Islam secara kaffah (syumul/menyeluruh).
Wallahu a’lam bis shawab
#hijrah #muhasabahmuharram #masyarakatmuslimideal #muslimahideal