Doa Mohon Keteguhan dalam Dakwah
Di tengah hiruk-pikuk kehidupan, menjaga istiqamah dalam dakwah dan amar makruf nahi mungkar bukanlah perkara mudah. Setiap hari seorang Muslim berhadapan dengan pelbagai urusan. Ada tanggungjawab keluarga, urusan mencari nafkah, serta pelbagai masalah yang menyita waktu dan fikiran. Ramai orang yang pada akhirnya merasa cukup dengan memperbaiki dirinya sendiri kemudian meninggalkan kewajipan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Di sisi lain, masyarakat sering kali menunjukkan sikap tidak ambil peduli terhadap dakwah. Seruan kepada kebenaran dianggap mengganggu keselesaan. Nasihat dipandang sebagai bentuk menghakimi. Bahkan tidak jarang para pengemban dakwah berhadapan dengan cemuhan, penolakan dan tuduhan yang tidak berasas. Dalam situasi seperti ini, semangat boleh menurun dan hati boleh merasa lelah.
Belum lagi godaan dunia yang datang silih berganti. Keinginan untuk hidup selesa, atau sekadar menikmati waktu lapang dapat membuatkan seseorang mengurangkan perhatian terhadap perjuangan. Sedangkan jalan dakwah selalu memerlukan pengorbanan, kesabaran, dan konsistensi.
Disebabkan itulah kita memohon kepada Allah ﷻ agar meneguhkan hati di atas agama-Nya, membimbing kita kepada ketaatan, dan menjaga kita agar tetap berada di atasnya.
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِيْنِكَ، وَاهْدِنَا إِلَى طَاعَتِكَ، وَثَبِّتْنَا عَلَيْهَا، وَأَحْيِنَا عَلَيْهَا، وَأَمِتْنَا عَلَيْهَا، وَابْعَثْنَا عَلَيْهَا، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ. يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ
(Yâ Muqallibal-qulûb, tsabbit qulûbanâ ‘alâ dînik, wahdinâ ilâ thâ‘atik, wa tsabbitnâ ‘alaihâ, wa ahyinâ ‘alaihâ, wa amitnâ ‘alaihâ, wab‘atsnâ ‘alaihâ, wa lâ takilnâ ilâ anfusinâ tharfata ‘ain. Yâ Hayyu Yâ Qayyûm.)
“Wahai Zat Yang Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati kami di atas agama-Mu. Tunjukkanlah kami kepada ketaatan kepada-Mu, dan teguhkanlah kami di atasnya. Hidupkanlah kami di atasnya, wafatkanlah kami di atasnya, dan bangkitkanlah kami di atasnya. Janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami sendiri walau sekelip mata. Wahai Yang Maha Hidup, Wahai Yang Maha Mandiri dan Mengurus segala sesuatu.”
Sumber: Sultan Channel
#doa #istiqamah #dakwahislamkaffah